Catatan 05-01-14
i) Banjir telah mulai surut. Air telah semakin hilang dihisap bumi. Matahari kembali garang menumpahkan sinarnya. Rumah-rumah yang berendam di sepanjang tepian Sungai Pahang sudah kembali timbul dan masih tegak, biarpun kesedihan masih bertakung di sana-sini.
ii) Pasca banjir 2015 agak luar biasa. Pengalaman merasai banjir besar pada tahun 1988, 2007 dan 2014 tidak sama dengan pengalaman selepas banjir pada tahun ini. Selut yang luar biasa sekali di dalam dan luar rumah serta di atas jalanraya menceritakan tentang alam yang semakin sakit.
iii) Semalam bergotong-royong bersama keluarga membersihkan segala lumpur yang masih bersisa dan sangat tebal di luar rumah. Almari di bahagian atas rumah emak semua sekali tidak boleh digunakan lagi. Semua bahagian bawah dan kaki almari telah kembang.
iv) Menyusur sepanjang jalan di kampung halamanku, Kuala Triang menyaksikan satu pemandangan yang sangat menyentuh rasa. Sepanjang-panjang jalan kesan rumah ditenggelami air. Di hadapan rumah masing-masing beselerakan barang-barang yang rosak, pakaian yang dibuang dan bau lumpur yang menyerang hidung. Malahan masjid Kuala Triang masih lagi berstatus antara masjid terapung di negara kita.
MUSIBAH DI DALAM SELUT
Air mata beransur kering di kelopak
tapi pasti lama bertakung di hati.
Sesekali sungai yang setia
memuntahkan amarah
musibah pun tak memilih mangsa
ketika sang celaka memilih diam
di atas bukit istana agam.
Sahrunizam Abdul Talib
05-01-14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan