CATATAN 07/01/15
i) Melalui bandar Temerloh. Ternyata masih banyak kesan banjir yang menerkam Temerloh. Terdapat masih banyak rumah yang belum dibersihkan.
i) Cepatnya masa bergerak. Hari ini sudah hari ketujuh tahun 2015. Sepanjang jalan ke Kuala Lumpur, di sepanjang Lebuh raya Karak aku melihat banyak sekali konvoi kemanusiaan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Pantai Timur. Pelbagai bendera pada kenderaan masing-masing menandakan identiti kumpulan masing-masing.
ii) Destinasi pertama di Kuala Lumpur ialah ke ITBM untuk membeli kumpulan puisi kelima, Dari Pagi ke Diksi. Malangnya buku tersebut masih belum berada di atas rak Kedai Buku 1Malaysia, ITBM. Satu naskhah buku tersebut dipamerkan di ruang lobi ITBM. Mujur sekali nasibku, kerana buku yang aku tempah belum dipos. Terus memunggah sekotak buku berisi 50 naskhah. Allhamdulillah dapat juga menatap buku terbaharu yang penuh makna ini.
iii) Balik dari ITBM terus ke sate Samuri berdekatan di tepi Jalan Hulu Klang. Satenya enak, besar dan harga berpatutan.
iv) Dalam hujan rintik menuju ke stesen LRT Taman Melati. Destinasi tujuan untuk ke KLCC. Di KLCC tiada apa yang mampu dibeli. Semua harga mampu tengok.
v) UIA ambil Along. Membelah Banjaran Titiwangsa balik ke Pahang dalam hujan. Sesekali lebat, sesekali rintik dan sesekali teduh.
HUJAN RINTIK DI KUALA LUMPUR
Selera tengkujuh masih belum reda
titik-titik hujan masih ghairah dan bernafsu
langit masih termenung jauh.
Dalam hujan rintik, di perut LRT
stesen demi stesen disinggahi dan ditinggalkan
seperti juga usia kita
singgah sekejap dan begitu pantas berlalu.
Kota ini seperti lazimnya
sendat dan sering keliru
semuanya menghambat waktu
berjalan laju tidak seperti rentak di kampungku.
Hujan masih belum sidang
ngeri mimpi semalam masih bernyawa.
Sahrunizam Abdul Talib
Bera, Pahang.
07-01-15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan