25 Jun 2011

antara dua mulut

pagi itu di meja sarapan
kausumbat telinga kami dengan
gumpalan kata.

aku hanya tunduk dan diam
kerana diam yang emas
lebih baik daripada
berbicara yang perak.

diamku mengalir
pagi merayap perlahan
sunyi mengambil tempat.

antara dua mulut
kaupinta kami berpuasa
hujahmu sunat dan tentunya
pahala.

sedang di sana
tangan berkudismu tak henti
menyuapkan lazat makanan
ke mulut para penjilat
yang satu khemah dan fikiran
meskipun kau tahu
tentang hitam dan putih.

sahrunizam abdul talib
bera

23 Jun 2011

sedang membaca

catatan dari penjara perempuan, sebuah memoir tulisan nawal el saadawi, dr. sebuah buku terjemahan daripada buku asalnya memoirs from the women's prison terbitan yayasan obor indonesia.

buku yang menarik; teladan dan sempadan berada di celah-celah lembarnya. saya hanya mengutip dan sesekali mengunyahnya.

22 Jun 2011

cerita di pinggir pasu

pagi membukakan tingkapnya
hidungku segera ditusuk harum
santalia.

di pinggir pasu
kuning daun menjadi dalil
segalanya hanyalah kesementaraan.

dari tingkap yang ternganga
bagai mulut paus mengidam mangsa
pandangku berlari-lari anak.

di luar sana dongeng merayap
menjadi seekor tedung
bisa patuknya menuju ke jantung.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
22 jun 2011

21 Jun 2011

tak pernah aku cemburu

tak pernah aku cemburu
kerana takwa tidak disukat
berdasarkan kerap kau.

meski seratus kali
kaucium dan kaukucup
batu hitam itu
namun sayang
hatimu tak pernah
putih.

sahrunizam abdul talib
21 jun 2011

di padang woodball

di sini petangnya hijau
oleh rumput yang berceracak.

di laman ini
kita tidak beradu kebolehan
dengan sesiapa.

pertarungan hanya berlangsung
dalam diri.

yang menang dan yang tewas
hanyalah kita.

selebihnya sabar kita kerap
digulingkan oleh nafsu.

sahrunizam abdul talib
21 jun 2011

irdina

akhirnya gerabak kehidupan
menumpangkan engkau ke stesen
yang keempat.

di stesen ini kau tak perlu
turun.

hanya panjangkan lehermu
hulurkan ke luar jendela
dan kau lihatlah ke belakang
pada landasan yang telah
ditinggalkan.

di hadapan kaulihatlah
perjalananmu masih panjang
sebentar lagi engkau bakal
tiba di stesen berikutnya.

sahrunizam abdul talib
21 julai 2011

kaupilih

di tong-tong sampah itu
kau hidup dan membiak
di antara joget ulat
dan busuk yang tajam
kau selesa di sana
membidik ksempatan
dengan mata ghairah.

biar diseru berulang kali
kau gelengkan kepala
antara dua pilihan
kaupilih kekotoran.

sahrunizam abdul talib
21 jun 2011

15 Jun 2011

terima kasih Tuhan

terima kasih Tuhan
kerana masih memberikan
aku kesempatan
untuk menghirup rahmatMu.

aku tidak pasti
kembara ini mampu bertahan
sampai bila?

segalanya dalam genggamMu.

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
15 jun 2011

12 Jun 2011

maafkan aku sahabat

akhirnya kau kembali jua ke sana
tanpa sedetik cepat dan sesaat lewat
sms wan pada malam yang sepi
bukan sekadar mengejut lena
tapi ibarat pesanan malaikat maut
jarak antara aku dengan saat itu
semakin dekat.

yang tinggal kini hanyalah masa silam
hampir satu jam kenangan itu berguling
pada malam yang benar-benar sepi
lantai rumah pena menjadi saksi
saat kita gelandangan memburu aksara
di mirama dan di acara baca puisi
kita kerap bertemu di satu titik
titik yang mendekatkan kita
di kotamu kita saling bersatu fikiran
bersilang hujah tentang sastera dan siasah.

maafkan aku sahabat
waktu dan jarak sering dihukum
untuk menghalalkan kekerdilan diri
moga engkau damai di sana
sesungguhnya hidup ini ibarat
sebuah memoir yang berjudul
dari tanah mula ke tanah akhir.

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
12 jun 2011

03 Jun 2011

mengenal manikam

kalian harus bijak
mengenal manikam
sesumpah ada di mana-mana
bercokol di kopiah
bersembunyi di jubah.

02 Jun 2011

mari dan mari

mari kita bariskan bunga manggar
dan palukan kompang
menyambut racun yang bakal
menyerbu ke rumah kita
sebentar lagi.

mari kita ucapkan terima kasih
kepada tuan-tuan yang budiman
dan puan-puan yang bijakawan
kerana berhemah dalam keputusan
dan bijaksana dalam tindakan.

sahrunizam abdul talib
02 Jun 2011