27 Mac 2013

harumnya mengiringimu ke syurga

bagai kurma ranum di tangkai
kau gugur mencari asalmu
antara mimbar dan lembar kitab
darahmu terpercik
di peta syriamu.

benarlah jika itu janjiNya
sedetik tidak berlebih
sedetik juga tidak berkurang
meski seluruh alam berkata tidak
yaNya tak mungkin ditunda.

yang pergi hanyalah jasadmu
namun ambar kasturi yang
pernah kau renjis di maya ini
harumnya mengiringimu
ke syurga.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
270313



24 Mac 2013

senyummu tak berkembang

dengan tongkat di tangan
kau heret langkah
disuntik gamat
sedikit gelisahmu terubat.

di belakang rostrum
kau menjumpai mikrofon
dengan sumbang intonasi
suaramu sesekali kendur
sesekali tegang
sesekali berundur dan
sesekali menyerang.

di rautmu beriak bimbang
di bawah kumis nipis
senyummu kehilangan manis
dan tak sempurna kembang.

seusai acara pentas bergelap
kakimu di karpet merah
batinmu tak henti berdarah .

sahrunizam abdul talib
tangkak, johor
240313-ahad

18 Mac 2013

eloklah kau diam

eloklah kau diam
menikmati alam
dan merenung
kembali jejakmu
yang tertinggal
di celah rintih
dan jerih
bangsamu.


pohon ini
bukan lagi
pohon yang pernah
kau bertenggek
dan bersiul nyaring
di rantingnya.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
180313


kebenaran kembali

kebenaran selamanya tersesat
di tengah gumpalan awan hitam
akhirnya bercerai dari langit
terjun bersama hujan
basah dalam dakapan rumput .

satu demi satu kebenaran
yang tertunda kembali
dipulangkan kepada tuannya
di tengah keluh-kesah
manusia-manusia tanpa nama
tanpa suara tapi kaya rasa.

kebenaran kembali ke riba
bersama doa tanpa putus.

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
180313


17 Mac 2013

membeli masa

di hadapanmu jalan mati
meski kau mampu membeli semua

namun kau tak mampu membeli masa.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
170313


 


12 Mac 2013

selamat jalan hugo

antara beratus kepala
yang tegak dan tunduk
engkau seorang
antara yang jarang
memilih berseteru
daripada bersekutu.

yang berlalu
sekadar jasadmu,
diam di negerimu
keberanian dan
sesekali dari sudut
bertentangan
dinamakan kedegilan.

selamat jalan hugo
dunia pasti mengenangmu
lelaki yang berani
menyanggah dan
disanggah.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
200313

09 Mac 2013

bisik pagi

seekor kupu-kupu
hinggap di skrin
seekor monyet
bergayut di dahan
seekor manusia
bertenggek pada
namanya.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
090313

07 Mac 2013

di gelap ini

ketika tanganmu
masih di suis
kami kembali duduk
dalam bulatan
di gelap ini
untuk menjadi
tukang ramal.

sahrunizam abdul talib
bera
070313

dengan angka

dengan wajah keliru
dan kata yang celaru
engkau datang kembali
dengan angka
yang sentiasa
bergentayangan
di negeriku.

sahrunizam abdul talib
bera
070313

05 Mac 2013

sekilas ingatan

puluhan tahun berlalu
tanganmu yang kini
berjuta kedut
menyemai
benih pohon beracun.

akhirnya hari ini
terjawab sudah segala
bimbang yang bertingkah
di dalam dada.

bergelimpangan jasad
tanpa nama di bawah
pohon yang kautanam itu
kerana zaman juga
selalu terlupa mengingatkan
betapa pohon beracun
buahnya juga pasti beracun.

jika ingatanmu belum cukup
sempurna
biarlah aku yang menjadi
pengingatnya.

pohon beracun yang rendang
hari ini
benihnya pernah berada
dalam genggammu.

sahrunizam abdul talib
bera,
050313

03 Mac 2013

sepanjang malam gelisah

sepanjang malam
dia gelisah
memikirkan esok
yang cerah.

suara itu terus
berpesta
di telinganya.

sahrunizam abdul talib
bera
030313

memilih teka-teki

kau masih di penjuru itu
memilih teka-teki.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
030313

pagi menuntut fikiran

kubuka gulungan pagi
selonggok fikir di dalamnya
aku mencari sesuatu yang hilang.

sahrunizam abdul talib
bera
030313

02 Mac 2013

esok parlimen bubar

bendera resah berkibar
teka-teki semakin lebar
yang diramal tersasar
jantung calon berdebar
mamanda masih bersabar.

tiba-tiba kerongkong bergetar
esok parlimen bubar!

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
020313






hidup bukan lagi pilihan

antara simpang siur peluru
dan tindak melulu
akhirnya darah tumpah,
melimpah menjadi
sejarah.

dalam petempuran
pasti ada korban.

hidup dan mati
bukan lagi pilihan
tetapi satu
kemestian.

sahrunizam abdul talib
bera
020313