27 Mac 2014

zaman meniti zaman

pegangan dan perjuangan
banyak menuntut dari memberi
sekali teguh percaya
selamanya tak mungkin goyah
hanya kerana ugut hukuman
selebihnya kalian lebih yakin
mati hanya sekali.

nil bakal merah dan melimpah
darah syuhada banjirnya
menenggelamkan rasa pencinta
sedang kalian lebih merindui
harum kasturi di syurga abadi.

zaman meniti zaman
sirah sentiasa hidup di lembar
tahrir tampil menjadi saksi 
hukum upaya membunuh jasad
tapi selamanya gagal menundukkan
kepercayaan.

sahrunizam abdul talib
27 mac 2014





24 Mac 2014

daun-daun merah

inilah harga pada sebuah setia
yang diwarisi dari generasi ke generasi
daun-daun merah luruh digoreng matahari
pohon-pohon yang dahaga
dan bagai enggan menyusukan rezeki.

tiada siapa yang peduli
pada sebuah gelisah milik kalian
di dewan-dewan penuh kemuliaan
dengan tali leher yang bergantungan
dan sut membungkus segala bangga
mereka lupa pada sebuah setia.

tiada sepatah pembelaaan
tiada sepatah harapan
tiada sepatah ingatan
di sana bicara mereka semakin liar
sesekali bertempik untuk mulut
sesekali berteriak untuk perut
dan banyak berfikir dengan lutut.

pada suatu hari selepas subuh
matahari sebentar lagi tersenyum
di tanah sepetak kecil pusaka
kalian terduduk dan hanya mampu
membilang daun-daun merah
yang gugur sehelai demi sehelai.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
24 mac 2013

23 Mac 2014

senyum matahari

matahari tiba dengan senyuman
langsir alam perlahan diselak
siang ahad menerima amanah
sejarah sekejap lagi bakal tertulis
setelah matahari pulang ke sarang
antara dua, seorang dijulang menang.

pensel, peti dan dakwat
menjadi pelengkap sebuah demokrasi
suara rakyat tumpah di kertas
sebuah kerusi di dewan berdebar
menanti pemilik tanggungjawab.

antara tanggungjawab dan harapan
rakyat bebas menentukan pilihan.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
23 mac 2014












tewas adalah guru

hidup ini tak selalunya di atas
sesekali engkau pasti tewas
dan  belajar menelan pahit
setelah lama kau teguk manis.

meski arenanya negeri lahirmu
itu bukan pasport
untuk kau lolos menjejak podium
dan girang senyum bersama piala.

dalam pertempuran ini
seteru pasti tak diam
sesekali alpa menghurung aksi
selamanya perit menikam rasa.

biarkan air matamu tumpah
lebat hujan pasti membasuh tebing
biarkan kenangan berlumpur
dihanyut arus deras
untuk sebuah matahari esok.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
23 mac 2014

17 Mac 2014

hidup selalunya keras

bijaksana di kertas
tak bermakna engkau juga
cendekiawan di pentas.

hidup selalunya keras
untuk mereka yang
sering kehilangan waras.

dalam jerebu
membiak tanda soal
membungkus akal.

hidup sebenarnya simpang
tanpa papan tanda
dan tunjuk arah.

tanpa penobatan
wang adalah Tuhan
yang sentiasa di atas.


sahrunizam abdul talib,
bera, pahang.
17 Mac 2014









12 Mac 2014

rahsia tuhan

seluruh dunia termangu dan keliru
rindu sesekali turun bagai lebat hujan
dan titisnya bertakung di pipi.

dalam sebuah kehilangan
ada teka-teki panjang
semakin dicari,
semakin misteri.

saat gundah membarah
sumbang suara membingit
degarnya menjolok langit.

huruf demi huruf
di sebaliknya ada rahsia
rahsia langit
dan rahsia Tuhan.

sahrunizam abdul talib
bera.
12-03-14








 

08 Mac 2014

sejarah

sejarah tetap sejarah
dicatat atau dibiarkan
pergi bersama masa
datang penuh makna.

sejarah takkan berulang
setiap peristiwa hanya sekali
datang untung dikenang
pergi dan dilupai.

sejarah adalah universiti
tanpa bangku dan dewan kuliah
hanya penuntut yang bijaksana
akan memungut hikmah.

sejarah adalah sebahagian kita
di tangan kita ada pilihan
mencipta sejarah atau
menjadi bahan sejarah.

setiap saat adalah sejarah
semalam satu lagi sejarah
esok pasti ada sejarah.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
08 mac 2014


07 Mac 2014

malam ini bulan tenggelam

kata menjadi teramat mahal
saat penyair memilih diam
sedang di sana pemabuk kata
sedang berdansa dalam pesta
malam ini benar
bulan telah tenggelam.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
070314

02 Mac 2014

BERMAIN DENGAN LAUT

berpuluh tahun engkau di sana
bermain dengan laut
sesekali ribut menerpa
sesekali ombak menduga
sesekali bahterapun bocor
namun hingga saat ini
engkau masih di sana
meski busana yang kausarung
jelas berbeza namun
bahteranya masih serupa.

emgkau masih di sana
berkawan denga laut
meski sesekali kudrat renta dicabar
namun kau masih memimpin debar.

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang.
02 Mac 2014