29 Disember 2010

kata pagi

belajarlah rahsia embun
di pucuk rumput
jernih fikir
bersih rasa
dan akur pada
asal alam.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
29 disember 2010

27 Disember 2010

pasca kepulangan (1)

kau pulang dengan
sepotong gelar
di pangkal nama.

perlahan-lahan
kaulupakan
air matamu yang tumpah
di tanah kewajipan
yang pernah mencairkan
hatimu
telah kaulontar
manis mabrur
dari janji Tuhan.


kau kembali menjadi
ibu serigala mengaum
dalam dingin udara
di bilik muafakat.

kaulupakan sebongkah kekuatan
kau cungkil sezarah kelemahan
kami terpinga-pinga
dalam kebingungan
panjang .

sungguh
kami insan punya rasa
dan harga diri
benar rezeki dari Tuhan
kami tak pernah mengemis
walau sedebu darimu
kau juga hamba
tidak sempurna
seperti kami.

di helai terakhir takwim
kau memilih untuk
bergelar ibu serigala
di tunggul kuasa.

sahrunizam abdul talib
bilik muafakat
24 disember 2010

24 Disember 2010

pasca kepulangan

bezanya tiada
kau hanya menambah
sepotong gelar
di pangkal nama.


sebentar tadi
kaumuntahkan segalanya
di hadapan kami
segala yang terperam
diperutmu kaulambakkan
di lantai
busuknya menikam rasa.

puas kucuba belajar
memahami
yang menerpa otakku
hanyalah sederet
tanda tanya.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.

21 Disember 2010

angkuh sepotong kata

nyenyak dicubit dering
redup di petang
berpindah garing di rasa
dari layar telbim
tuding sepotong kata
angkuh dalam senyap.

kubaca sepotong kata
lahir dari rahim jiwa
milik manusia
lapar kuasa.

sebelum noktah
angkuh menerjah!



sahrunizam abdul talib
bera. pahang. malaysia
21 disember 2010

13 Disember 2010

seorang negarawan ulung

seorang negarawan ulung
bicara politik
selepas potong riben
tanda rasmi
sebuah kedai roti
lima bintang
di lembah elit.

seorang negarawan ulung
bicara politik
di mana sahaja
di kedai kopi
di kedai roti
hatta di kamar kecil.

seorang negarawan ulung
bicaranya politik
dari tegang subuh
ke kedut malam.

13-12-10
Bera.

07 Disember 2010

akhirnya dinasti tikus putih

seekor tupai putih
akhirnya jatuh jua
ke tanah.

tika punya taring tajam
dihumban jujur nasihat
ramai yang merapat
dengan niat
dan muslihat.

dari dahan ke dahan
dia melompat
dan mengelak
mengelak lagi
dan melompat lagi.

hari ini
seekor tupai putih
gugur ke tanah
di sisinya daun kering
melontar senyum
sinis.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
07-12-2010

04 Disember 2010

lunak bicara

demi memutihkan tindak
diolahnya bahasa lunak
katanya ini bukan kenaikan harga
tapi cuma turunnya subsidi
dengan penuh diplomasi
dibancuh manipulasi
dengan kelok ekonomi terkini
dibandingnya jiran kanan dan kiri
katanya kita masih
yang paling rendah antara
yang paing tinggi.


rakyat jauh di desa
membayar harga setia dengan
angguk kosong di depan tivi..


sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
04-12-10

30 November 2010

begitu kata mereka

kata mereka
kami tak peduli
pada gempita huruf
tentang balah beza
untuk lekatkan tuan
di dahi siapa.

kata mereka
itu cuma dongeng
hampas dan sifar makna
tak mungkin mengubah
apa-apa.

kata mereka
siapapun tuan
mereka tetap begini
mengunyah janji
tanpa gigi.


sahrunizam abdul talib
bera, Pahang
30- November-2010

29 November 2010

emel buat tok lah

selama mana
mahu kausembunyikan
busuk dengki dalam lilit
serbanmu?

dalam labuh jubahmu
kau simpan racun
untuk dituang
ke dalam gelas
saudaramu sendiri.

kaulah patung bernyawa
yang memilih hidup
untuk menjadi kuda
tunggangan
atau lembu yang
ditindik hidung
atau babi belaan
yang gemuk di kandang.

sahrunizam abdul talib
bera.
29 November 2010

10 November 2010

bermain politik di dalam selut

permainan ini selalunya aneh
mereka bermain tanpa batas masa
dan sempadan ruang.

mereka pintar mengolah helah
dengan akal sejemput
dan nafsu melaut
mereka membiak
bagai ulat
di tengah
kudis derita insan lain.

segalanya peluang
meskipun sedikit ruang
sekali tangan menghulur
bibirnya berombak takbur.

di dalam selut
segalanya teratur menurut plot.


sahrunizam abdul talib,
bera, Pahang
10-11-10

04 November 2010

mataku masih di sini

dalam baris-baris aksara
aku tenggelam
di sebuah dunia asing
yang jauh berbeza
dengan negeriku.

di dunia itu
kulihat raksasa
kepalanya dua
dan lidahnya dua
tapi kepalanya
bercantum
dan nafsunya melekat
bagai kembar siam.

di dunia asing itu
raksasa mengganas
dan kembali menggans.

mataku masih
di sini.

sahrunizam abdul talib
bera,pahang
04-11-10

31 Oktober 2010

di hujung kata

kuyup bajumu di sayup pandangku
kau makin jauh diheret tangan nafsu
terlontar di tengah rimba kata
yang hijau pucuk menggoda hati
tapi selirat akar menduga kaki.

besar kata-kata bagai hujan batu
gugur satu demi satu dari langit
dan jeritnya di bumbung rumahku
di telingaku banjir hebat mengamuk
lumpurnya beraja di kalbumu.

saban musim sesat di hujung kata
kau masih setia di bangku percaya
lelap dalam tepuk gamat memuja
kerana bagimu hidup tak usah
meminta
cukuplah sekadar berkongsi percaya.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.

(mingguan malaysia, 31 oktober 2010)

29 Oktober 2010

catatan kecil

sebelum kembali
izinkan aku mencatat
sebaris dua sajak.

sebelum kembali
izinkan aku berenang
dalam diriku sendiri.

sebelum kembali
izinkan aku terbang
mencari rahsia langit.

sebelum kembali
izinkan aku.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
29 oktober 2010

25 Oktober 2010

terus mengamat dan mencatat

Saya akan terus mengamat dan mencatat, baik dalam bentuk prosa mahupun sajak di dalam blog ini. Moga kehadirannya dapat memberi manfaat dan menghindari mudarat. Kata-kata dan saya tentunya tidak dapat dipisahkan. Insyallah saya akan berusaha untuk menampilkan yang baik dan terbaik dalam siri tulisan mendatang.