30 April 2012

ibu, sebatang penyapu dan sekotak mancis

duduk-duduk di petang begini
kerap mengirimkan aku
pada kenangan ketika usiaku
belum mencecah angka 18.

jika tidak kepalanya berdenyut
ibu setiap petang dengan penyapu lidi di tangan
membersihkan halaman rumah kami
daripada daun rambutan yang berguguran.

longgokan daun-daun gugur setinggi busut
segera berasap apabila dicucuh api.

asap yang berlegar di mata ibu
tanpa berlengah mencucuk mata ibu.

Mata ibu berair.

Tetapi ibu tidak pernah serik
esok petang ibu kembali semua ke laman
dengan sebatang penyapu di tangan kanan
dan sekotak mancis di tangan kiri
ibu terus membakar longgokan sampah:
semak dan kotor
meskipun matanya akan kembali berair.

sahrunizam abdul talib
bera,
pahang.
30 april 2012

20 April 2012

menggayut mimpi di langit

dengan penuh debar
semua mata kini
tepaku pada sepasang bibir.

meski telah ramai nujum
sekejap timbul dan
sekejap tenggelam
menjaja keahlian
segalanya masih terapung
di laut tanda soal.

ini musim menggayut mimpi
di langit
hanya yang pintar
bermain mata dan kata
akan muncul sebagai kepala.

sahrunizam abdul talib
bera
20-april-2012

13 April 2012

dari tenang ke tegang: sebuah memoir lembu kurus

tenang musim kempen bertukar tegang
cerah pagi berubah gelisah
poster wajah calon yang paling kacak
pada sebelah malam
ditampal oleh penyokong paling setia
berubah menjadi seekor lembu kurus
pada pagi yang bakal dikenang
sampai bila-bila.

sahrunizam abdul talib
bera
13-04-12

nasi sebungkus dan sirap seplastik

bagai sebuah gunung berapi
yang sedang mengamuk dan kemaruk
memuntahkan lahar
dia menyihir jiwa hamba dengan
kata-kata yang ditabur gula.

bagai langit keruh
yang meluruhkan hujan
musim tengkujuh
dia menggugurkan kata-kata
untuk sebuah utopia.

di hadapannya khalayak terpukau
oleh sogok nasi sebungkus
dan sirap seplastik.

sahrunizam abdul talib
bera
13-04-12

11 April 2012

kerongkong asia kehilangan kata-kata (ii)

ya Tuhanku kau lindungilah
saudara-saudaraku di utara tanahair
di acheh, di sumatera, selatan thai
di mana sahaja dari ujian yang hebat
dan tidak tertanggung dahsyat.

hanya kepada-Mu kami berlindung
dan memohon pertolongan.

amin

sahrunizam abdul talib
bera,
11-04-12

10 April 2012

ini bukan padangmu lagi

kau telah lama di tepi padang
kau bukan lagi jurulatih atau
pemain simpanan
kau hanyalah bekas pemain
yang pernah meraikan gol demi gol
yang pernah meratapi bolos demi bolos
sepanjang kariermu selama 22 musim.

itu rumput hijau dan limpah lampu
bukan lagi duniamu
eramu telah lama dihadam masa
yang tinggal selamanya menjadi milikmu
hanyalah kenangan yang tak mampu
diputar kembali.

ini bukan padangmu lagi
simpanlah sorak dan jerit di halkummu
sesekali bibirmu meluruhkan kata-kata
yang terpamer hanyalah kejahilanmu
yang semakin dalam.


sahrunizam abdul talib
bera
10-04-12

02 April 2012

tokoh

seperti juga lidahnya
demikianlah juga akalnya
kontot dan memualkan.

lagak pintarnya
memulas segala bijaksana
berbekalkan dalih hodoh
dia menampilkan watak badut
pada sosok tokoh murahan.

seperti juga akalnya
lidahnya juga beku
untuk mencairkan kiub bodoh
yang mengeras di jiwanya.

dia tidak keseorangan
lihat di sana
puluhan manusia sepertinya
berbaris menunggu gilir
untuk menyelak aib diri.

sahrunizam abdul talib
bera
02-04-12