24 Disember 2013

dunia memang begitu

cukuplah merintih
kerana rintihan hanya
membuatkan kau cepat letih.

hidup sememangnya keras
untuk mereka yang malas,
tetapi pentas untuk sipemeras.

benarlah kuman di seberang
juga dipandang orang.

kudrat yang tumpah
dan semangat melimpah
tak mungkin kering
andai kau tidak mengalah.

dunia memang begitu.

seorang penyeluk kantung negara
lebih mulia daripada
seorang penjual air tebu.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
24 disember 2013


19 Disember 2013

pagi yang dirai

menyingkap langsir pagi
ada senyum matahari.

unggas khusyuk berzikir
memuji kindahan alam.

pohon menggeliat kesejukan
mengharap selimut tiba.

bunga-bunga bertasbih
mohon cantik dan harum.

keriut gesel pagar
tanda manusia membuka mata.

sahrunizam abdul talib
bera,
19 disember 2013

03 Disember 2013

di negeri tengkujuh

di bumbung rumahku ada suara hujan
sesekali berbisik dan sesekali bertempik
langit bagai mata seekor harimau jantan
mengidamkan empuk tubuh manusia
matahari tewas dipukau awan hitam
sinarnya  berbalam seperti wajah senja.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
03-disember-2013



02 Disember 2013

catatan dalam hujan

harga petrol lama naik
gaji yb banyak naik
tarif elektrik baru naik
cukai pintu esok naik
air sungai makin naik
darah tinggi sudah naik.

hanya hujan tak naik ke langit.
 
sahrunizam abdul talib
bera, pahang
02 disember 2013
 
 

kubuka langsir, kujenguk wajah pagi

kubuka langsir, kujenguk wajah pagi
burung-burung entah berkicau di ranting mana
alam benar diam andai tanpa hujan
suara hujan sesekali tertiarap di bumbung
sesekali bisik-berbisik,sesekali raung-meraung
saling bertindih menumpahkan warna tengkujuh.

sahrunizam abdul talib
bera
02-disember-2013

01 Disember 2013

pejuang demokrasi

di seluruh pelosok alam kau memancang tiang sesekali goyah tak mudah kau gelabah meminjam wajah ibu kau mudah disanjung juga budimu dijunjung. meski waktu berlari kau tetap berdiri di sana memegang keyakinanmu angka di hujung usiamu hanya mampu mengedutkan wajahmu namun tidak semangatmu. kau pejuang demokrasi di balik tirai besi meski langkahmu dirantai jiwamu bebas menari. tapi sayang rupanya demokrasi hanyalah bersayap di bibirmu harum namamu hanya sekejap rohingnya membuka pekungmu dalam saat singkat. sahrunizam abdul tali bera, pahang 01 dismeber 2013

dalam hujan lebat

dalam hujan lebat
kulepaskan engkau sahabat
kembali ke negeri asal kita.

beristirahatlah engkau di sana
tenang bertamu, bertemu Tuhan.

dalam hujan lebat
kenangan sesekali turun
perlahan-lahan ke dadaku.

dalam hujan lebat
kulepaskan engkau perlahan-lahan.

sahrunizam abdul talib
kampung gali lurus,
raub.
01/disember/2013