28 Oktober 2012

dia

dia sedar. hayatnya bagai dahan mati yang menunggu jerkah angin
untuk gugur dan berkubur. hidupnya semakin singkat. dia tidak punya
waktu untuk berpantun seloka. di lidahnya ada bisa ular. dia memilih
waktu tepat . dari mulutnya yang berhimpun noda semalam dia
menyembur tepat ke muka tuannya. tuannya hanya tergamam.
tanpa sepatah kata lahir dari bibir merah tuannya. tentu sekali tuannya
sudah mati sebelum mati.

28.10.12
bera

09 Oktober 2012

kau pilih duri

antara harum mawar
dan tajam duri
kau pilih untuk menyucuk
daripada dihidu.

kau nyata terpesona
oleh gamat tepuk
dan puja sementara
dalam kerdip lampu
kau hanyut dalam arus menduga.

kau sengaja memilih duri
dan tercegat di muka pintu
untuk selanjutnya diusir
dan akhirnya bakal
disarungkan tengkolok dan
disambut dengan palu kompang
dan iring bunga manggar.

sahrunizam abdul talib
09-10-12
bera





02 Oktober 2012

maafkan aku, ibu

tubuh dan akalmu
keduanya dibungkus kolonial
dari jauh mereka datang
dengan seutas tali
yang diikat di hidung kita.

dudukmu yang tinggi
tak pernah memanjangkan akal
tali lehermu yang panjang
menyimpul akalmu.

dari jauh aku membacamu
dengan sejarah tempang
kau ulang langkah pincang.

sahrunizam abdul talib
02 oktober 2012 

25 September 2012

musim bergilir musim

musim bergilir musim
aku masih di sunyi sudut
mencari ghaib kata
yang terbang di
pucuk tualang.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
25 september 2012

24 September 2012

antara watak dan waktu

jalan yang kutempuh kian keliru antara watak dan waktu aku dikepung masa silam. yang terbakar perasaan yang menggelepar harapan yang terdampar ingatan. puas kupujuk rasa namun yang tiba hanyalah sebutir bintang serpih di langit malam. sahrunizam abdul talib bera, 23 september 2012

01 September 2012

di tengah gempita itu

di tengah gempita
yang sengaja direka
jauh di tengah hati
kau diterpa sunyi.

sahrunizam abdul talib
01-09-12

19 Ogos 2012

SATU SYAWAL

kemenangan akhirnya mengisi ruang
tanpa sedetik cepat dan sedetik lewat.

syawal tiba dan syawal pergi
hidup seperti gerabak lrt
singgah sebentar di stesen
dan kemudian berlalu.

sesingkat bunyi mercun
singkat lagi baki pinjaman ini.

19 ogos 2012/1 syawal 1433 hijrah
johor

31 Julai 2012

dari pagi ke diksi

di tengah rusuh kalbu
pagi mengheretku membaca diri
masih banyak akasara tanpa makna
di lembar hayat.

di hadapan kabus kian berteka-teki
yang terdaya kukuak hanya sedekit
sedang yang lain melekat di cermin.

dari pagi ke diksi
aku menulis puisi ini
untuk melenyapkan kebisuan panjang.

bera
31 julai 2012

19 Julai 2012

di wilayah luka ini

tiap detik
engkau menghitung titis darah
yang bertakung
menjadi lautan.

dan wilayah luka ini
menjadi saksi
pada pahit kenyataan.

sahrunizam abdul talib
bera
19 julai 2012

12 Julai 2012

masa silam bukan lagi guru

seperti lazim
helah untuk mengambus salah
dalih untuk kelihatan salih.

di tebal bibir, rakyat di atas
di nipis hati. nafsunya lemas.

tabir diselak bergilir
meminjam ungkap primadona padang ragut
dia tidak keseorangan
di limbah noda.

masa silam bukan lagi guru
tetapi degil menerpa

12 julai 2012

08 Julai 2012

lidah di tepi padang

Waktu hanya mampu melenturkan
wajahnya tapi tidak lidahnya.

Dari tepi padang
dia tak mampu diam.

Di dadanya, resah bergulung
bagai ombak di musim tengkujuh.

Tajam lidahnya tak pernah
disumbingkan nasihat.

Tua hanya mengedutkan kulitnya
tapi tidak akalnya.

Sahrunizam Abdul Talib
Bera

27 Jun 2012

sajak kepada malaysiaku

engkaukah malaysiaku
yang masih meringkuk di ranjang itu
ketika setiap penjuru alam
sedang meraikan kehadiran
sinar matahari?

tiba-tiba sahaja
mata-mata yang liar
jinak di wajahmu malaysiaku
sambil mencari kata-kata
yang sering diperkosa asli
dan tulusnya.

engkaukah malaysiaku
yang masih duduk di sudut ranjang
terpinga-pinga dalam serpih mimpi?

aku tak ingin memaksa
tetapi tiada salahnya
sesekali bukalah jendela yang
telah lama tertutup
dan kau tataplah wajah dunia
yang sudah berubah sepuasnya.

sahrunizam abdul talib
bera
27 jun 2012

16 Jun 2012

puisi di sudut tirus

ucap dan doa yang kuterima semalam
tiba-tiba menjadi ketakutan yang panjang
bagai mimpi ngeri membelah malam.

aku yang sering alpa telah diseret
semakin jauh dan waktu untukku telah
terkepung di sudut yang kian tirus.

daun-daun kuning yang gugur
ranting rapuh dan bunga-bunga layu
dan suram wajah senja
menyerbu ke sudut itu dengan diam
tapi tergesa-gesa.

di sudut tirus ini
fikir merayap perlahan seperti
siput di celah-celah pasu.

sahrunizam abdul talib
bera
16 jun 2012

08 Jun 2012

cerita di petak kecil

di petak kecil ini
aku terus membaca dan mengembara
di antara baris aksara
mataku kerap bertembung
aneka watak dan tindak.

segala yang bernama rahsia
telah berderai bagai tembikai
terhempas di aspal.

di petak kecil ini
ruang manusia menampal bangga
pada sebuah papan hidup
yang sentiasa berkata-kata.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
080612

07 Jun 2012

di lembah tanpa nama

di lembah tanpa nama
setiap hari lucah dilelong
dengan harga yang begitu murah
menjadi tajuk-tajuk utama
di lembar paling atas.

rasuah umpama sebiji bola
di padang kuasa dan politik
bergolek dari kaki ke kaki
ditendang bukan bermakna benci.

fitnah dijaja dari pintu ke pintu
dilontarkan ke ruang tamu
atas nama kebebasan
daging-daging saudara dimakan
tanpa secalit rasa dosa.

budaya gasar rimbun
dalam tandus pekerti adab
bahasa santun telah lama pulang
ke negeri abadi.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
07-06-12

04 Jun 2012

dongeng pelahap angka

seribu tahun dahulu
di sebuah wilayah tanpa nama
lahirlah beratus-ratus makhluk
yang tidak suka pada lazat hidangan
di bawah tudung saji
tetapi punya nafsu
pada angka-angka yang gebu
lagi menggiurkan.

di sebuah wilayah lain yang berjiran
angka yang rendang dibonsaikan
dan angka yang bonsai segera
dirimbunkan.

di wilayah ini dan itu
dongeng pelahap angka
berkerumun pada zaman yang termangu
bagai laku kelkatu pada lampu.


sahrunizam abdul talib
bera, pahang
4 jun 2012

29 Mei 2012

pemburu tin di jalanan

resah nafas, gelisah tindak dan
geliat hidupnya
dari sebuah tong ke sebuah tong
menyelongkar untung nasib
demi sebungkus nasi dan
seplastik sirap.

lupakan sebentar tentang
tusuk bau dan terjah matahari
menujah hidung dan tercacak di ubun
dunianya bukan
dunia pelahap angka dan aksara
yang menumpang bahagia
di laut peluh marhaen.

dia tetap berbangga
dengan gelar pemburu tin di jalanan
yang lebih mulia hidupnya
dari pelahap angka dan aksara
yang menyeluk ringgit dari
poket-poket kaum buruh
di seluruh sudut tanah dan air.

buat anak dan cucunya
dia berbangga untuk bercerita
tentang dunianya, tin dan jalanan
berbanding dunia pelahap angka
yang bakal diludah oleh zamannya.

sahrunizam abdul talib
bera
28 mei 2012

18 Mei 2012

catatan yang sedikit terlewat-buat guru bahasa melayuku di darjah satu

kita bukan lagi klise lilin
membakar diri buat menerangi
orang lain.

zaman meluncur bagai monorel
meredah landasan.

telah lama kita tinggalkan
catatan lesu di papan hijau
dengan kapur di tangan.

di hadapan anak-anak
memanjat tubuh dan menyucuk
mata kita.

dengan dunia secanggih lcd
kita lambai bangsa penjajah
dengan jiwa serapuh buih
kita sumbat poket mereka
dengan ganjaran puluhan ribu
hanya untuk watak penilai
yang sentiasa menghukum
kebebalan kita.

di dalam tong-tong sampah
bahasa di rumah asal
meraung-raung dalam
kebusukan menggila.

sahrunizam abdul talib
16 mei 2012
bera

dari mata sajak

setelah jauh mengheret langkah
tabah dan goyah berganti duduk
aku tak mampu berpaling lagi
untuk berkomplot membohongi hati
biarpun sebungkus mi segera
lebih mahal daripada harga
sebuah puisi.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
18 mei 2012

02 Mei 2012

kita tidak perlu memilih

mulai sekarang
mari kita belajar memejamkan mata
dan memekakkan telinga.

ambil tangan dan segera
silangkan ke tubuh
berdirilah bagai robot
berfikirlah seperti bayi.

pedulikan pada segala
peristiwa yang berpusar
pedulikan pada segala
dusta yang diputar
kita hanya perlu hidup
untuk tekak dan usus.

lupakan pada segalanya
antara benar dan dusta
kita tidak perlu memilih.



sahrunizam abdul talib
02 mei 2012
bera

30 April 2012

ibu, sebatang penyapu dan sekotak mancis

duduk-duduk di petang begini
kerap mengirimkan aku
pada kenangan ketika usiaku
belum mencecah angka 18.

jika tidak kepalanya berdenyut
ibu setiap petang dengan penyapu lidi di tangan
membersihkan halaman rumah kami
daripada daun rambutan yang berguguran.

longgokan daun-daun gugur setinggi busut
segera berasap apabila dicucuh api.

asap yang berlegar di mata ibu
tanpa berlengah mencucuk mata ibu.

Mata ibu berair.

Tetapi ibu tidak pernah serik
esok petang ibu kembali semua ke laman
dengan sebatang penyapu di tangan kanan
dan sekotak mancis di tangan kiri
ibu terus membakar longgokan sampah:
semak dan kotor
meskipun matanya akan kembali berair.

sahrunizam abdul talib
bera,
pahang.
30 april 2012

20 April 2012

menggayut mimpi di langit

dengan penuh debar
semua mata kini
tepaku pada sepasang bibir.

meski telah ramai nujum
sekejap timbul dan
sekejap tenggelam
menjaja keahlian
segalanya masih terapung
di laut tanda soal.

ini musim menggayut mimpi
di langit
hanya yang pintar
bermain mata dan kata
akan muncul sebagai kepala.

sahrunizam abdul talib
bera
20-april-2012

13 April 2012

dari tenang ke tegang: sebuah memoir lembu kurus

tenang musim kempen bertukar tegang
cerah pagi berubah gelisah
poster wajah calon yang paling kacak
pada sebelah malam
ditampal oleh penyokong paling setia
berubah menjadi seekor lembu kurus
pada pagi yang bakal dikenang
sampai bila-bila.

sahrunizam abdul talib
bera
13-04-12

nasi sebungkus dan sirap seplastik

bagai sebuah gunung berapi
yang sedang mengamuk dan kemaruk
memuntahkan lahar
dia menyihir jiwa hamba dengan
kata-kata yang ditabur gula.

bagai langit keruh
yang meluruhkan hujan
musim tengkujuh
dia menggugurkan kata-kata
untuk sebuah utopia.

di hadapannya khalayak terpukau
oleh sogok nasi sebungkus
dan sirap seplastik.

sahrunizam abdul talib
bera
13-04-12

11 April 2012

kerongkong asia kehilangan kata-kata (ii)

ya Tuhanku kau lindungilah
saudara-saudaraku di utara tanahair
di acheh, di sumatera, selatan thai
di mana sahaja dari ujian yang hebat
dan tidak tertanggung dahsyat.

hanya kepada-Mu kami berlindung
dan memohon pertolongan.

amin

sahrunizam abdul talib
bera,
11-04-12

10 April 2012

ini bukan padangmu lagi

kau telah lama di tepi padang
kau bukan lagi jurulatih atau
pemain simpanan
kau hanyalah bekas pemain
yang pernah meraikan gol demi gol
yang pernah meratapi bolos demi bolos
sepanjang kariermu selama 22 musim.

itu rumput hijau dan limpah lampu
bukan lagi duniamu
eramu telah lama dihadam masa
yang tinggal selamanya menjadi milikmu
hanyalah kenangan yang tak mampu
diputar kembali.

ini bukan padangmu lagi
simpanlah sorak dan jerit di halkummu
sesekali bibirmu meluruhkan kata-kata
yang terpamer hanyalah kejahilanmu
yang semakin dalam.


sahrunizam abdul talib
bera
10-04-12

02 April 2012

tokoh

seperti juga lidahnya
demikianlah juga akalnya
kontot dan memualkan.

lagak pintarnya
memulas segala bijaksana
berbekalkan dalih hodoh
dia menampilkan watak badut
pada sosok tokoh murahan.

seperti juga akalnya
lidahnya juga beku
untuk mencairkan kiub bodoh
yang mengeras di jiwanya.

dia tidak keseorangan
lihat di sana
puluhan manusia sepertinya
berbaris menunggu gilir
untuk menyelak aib diri.

sahrunizam abdul talib
bera
02-04-12

21 Mac 2012

mereka punya laut dan pantai yang lain

dengan licik kata-kata
mereka memperdagangkan percaya
dengan taburan gandum
berkulit emas.

segala rintih dan rayu
tak pernah menggoncang gegendang
apa lagi perasaan yang lama
menjadi patung di almari perhiasan.

mereka balas dua gelas susu
yang pernah dihulur
kira-kira tiga musim lalu
dengan curahan racun dari
langit hitam yang tumpang berduka.

mereka tak pernah peduli
pada laut yang bakal mengerang
dan pantai yang pasti tercengang
yang kita warisi
kerana mereka mampu membeli
ratusan laut
dan pantai yang lain sekelip mata.

sahrunizam abdul talib
bera
21-03-12

13 Mac 2012

seorang lelaki di hujung jalan tirus

ketika ingatannya mulai kabur
direbut waktu
ramai yang masih mengingati
tindak songsangnya
yang memercikkan kontroversi.

dia lelaki yang punya segala
kecuali satu; tasik tenang di jiwa.

dengan raut garang dia gemar
memancung hujah seteru
tetapi sesekali diasak dan diterjah
dia mudah gelisah dan gelabah
penapis di dadanya mulai bocor.

seorang lelaki di hujung jalan tirus
sedang menghitung hari-hari terakhir.

sahrunizam abdul talib
bera
13-03-12

12 Mac 2012

mak limah pemain drama

dengan skrip longgar
dan plot yang klise
dia memilih saat yang
mengundang curiga.

mak limah pemain drama
memperdaya penonton
dengan linang air mata srikandi.

ketika gincu dan kain larut
dalam merah yang garang
dia akhirnya layu
seperti semalu di bawah
sepatu bertumit tinggi.

mak limah pemain drama
gugurnya tidak seperti gugur
sebiji durian buruk.

sahrunizam abdul talib
12 -03-12
bera

07 Mac 2012

sajak untuk burung

di atas ranting yang berbuai
ketika ribut menerkam
kalian riuh berkicau
masih berebutkan ulat
yang sejemput
dan makin mengecut.

di sana sarang kalian
sedang dilahap oleh
mulut-mulut buas
segala nikmat yang dihirup
segera berubah menjadi madat
yang mengkhayalkan.

ribut kian rakus menerkam
hujan bakal tiba pada
bila-bila masa
sarangmu makin laju berbuai
di luar segala racun
telah lama menghendap
dan bakal masuk tanpa ketuk
dan jemput.

di telingaku kicaumu
kian lantang berguling.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
07-03-12

01 Mac 2012

ini rumah kita

telah berpuluh tahun
halaman ini kita tanam ratusan pohon
yang tumbuh di tangkainya bunga
pelbagai warna juga aroma
ditatap cantiknya
dan dihirup aromanya.

semalam tanpa duduk di meja bulat
kau bukakan pagar, pintu dan jendela
untuk segerombolan musafir
menyiram racun di pangkal
pohon-pohon rimbun
yang kita baja puluhan tahun
di halaman rumah kita.

ketika hijau mulai pudar
di halaman rumah kita
hitam masa lalu kembali
berhimpun di sukma bimbang.

sahrunizam abdul talib
010312

26 Februari 2012

pagar

kau boleh cacakkan
di mana-mana
tapi bukan di hatiku.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
25-02-12

14 Februari 2012

gula-gula

bagai sebiji gula-gula
dalam mulut
seluruh jasad dan manisnya
dihisap senyap dan perlahan.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
14-02-12

26 Januari 2012

sahabat, terima kasih jua

saat aku kesakitan
kautampil dengan segelas ubat
meskipun pahitnya dari lidah
lalu singgah di telinga
namun manisnya kuyakin
pasti tiba.

sahabat, terima kasih jua
kerana segelas ubat
yang kauhulurkan padaku
tetap pahit yang ubat
bukannya manis yang racun.

sahrunizam abdul talib
260112

22 Januari 2012

encik mamat penabur gandum

walau di mana dia pergi
di tangannya seplastik gandum.

dia menabur gandum
dan merpati memagutnya.

ada yang makan di tangan
dan ada yang makan berhampiran
kakinya.

encik mamat penabur gandum
di mulutnya ada gula
di hatinya ada cuka.

sahrunizam abdul talib
bera,
22 januari 2012

20 Januari 2012

sebentar di wilayahmu, dan

sepetang kita bersama
di wilayah mandirimu
aku tamu yang kagum
pada tukang dan tekunmu.

di daerah muda ini
kau kembali dari rantau jauh
menyatukan bakat dan minat
untuk hari depan yang
kaya duga dan
gamat khalayak yang
buta indera seninya.

rintik hujan hadiah dari langit
dan segelas teh tarik
mengalir dari poketmu
menjadi saksi pertemuan ini

aku dari dunia kata
bermain dengan aksara
kau dari dunia garis
bermain dengan warna
di sukma seni kita bertaut.

aku percaya dan
di kanvas, garis dan warnamu
akan terus berdenyut.

sahrunizam abdul talib
20 jan 2012

18 Januari 2012

dunia tergamam

aku kehilangan suara
jeritanku hanya bergomol
di kerongkong.

di hadapan mataku
berguling kebiadapan.

mereka jauh dihanyutkan dunia.

sahrunizam abdul talib
bera
18-01-11

15 Januari 2012

lelaki, juta dan gandum

di negeri yang jauh dari negeriku
dia lelaki separuh abad menabur juta
seperti orang menabur gandum buat merpati.

di mana sahaja lelaki itu pergi
dia tanpa berlengah membuka peti khazanah
seperti orang membuka tali pengikat plastik
berisi gandum.

seperti merpati yang kelaparan
rakus memagut gandum
mereka memagut juta dengan lahapnya
di tangan lelaki separuh abad itu.

dengan bibir dan lidah
lelaki separuh abad itu
meneran intonasi
dari mulutnya tumpah berjuta-juta
seperti gandum tertumpah dari tangan.

sahrunizam abdul talib
bera
150112

10 Januari 2012

gugur seekor helang

telah gugur seekor helang
yang dongaknya sentiasa ke langit
sayapnya mengimpi awan
paruhnya tak henti mematuk
dan kerongkongnya sentiasa bergetar
kagumnya sentiasa pada kepak,
paruh dan kerongkong yang dimiliki.

membidik masa lalu
helang tak pernah bermain di ranting
seperti merbah yang setia
dongak helang sentiasa ke langit
dan sayapnya mengimpi awan.

kerongkongnya sentiasa bergetar
di hadapan lensa kepaknya semakin ligat
kerongkongnya sentiasa begetar
dongaknya sentiasa ke langit
helang baginya bukan belatuk ataupun
enggang.

tapi helang selalu lupa pada angin
helang juga selalu lupa pada cuaca
pada angin yang kencang
dan cuaca yang berubah
kerongkong helang sentiasa bergetar
bisanya meracun kawan
tetapi madu buat lawan.

helang lupa pada alam yang ditumpang
helang lupa pada rumput, pada ranting
dan pada pohon yang pernah ditenggeknya
kerongkong helang sentiasa bergetar
kerana kerongkongnya pernah menjadi
lombong emas suatu ketika dahulu.

helang tetaplah helang
dia bukan merbah, tekukur atau belatuk
dongaknya sentiasa ke langit
tempatnya bukan di ranting,
di sangkar rotan mahupun di batang buruk.

kerongkong helang tetap bergetar
meskipun sayapnya
dan jasadnya telah kembali ke tanah
kelmarin.

sahrunizam abdul talib
bera
100112

08 Januari 2012

sampai bila?

di hadapan khalayak
sedikit demi sedikit
kau tanggalkan pakaian
yang semenjak lama membungkus
dirimu.

yang kau sangka bijaksana
rupanya hanyalah kedunguan
yang menjadi askar penjajah
di wilayah mayamu.

sampai bila kau harus
berselindung di balik
gaya intelekmu
dengan bumbu falsafah
dan sarat pembaharuan?

sampai bila kau harus
telanjang ditelan kebodohan panjang?

sahrunizam abdul talib
080112

05 Januari 2012

telah mati

di sini, segala ilmu yang kuhirup
dari daerah masa lalu
telah mati

mereka telah membunuh segala rasa
cinta pada dunia yang kudiami
semenjak berbelas tahun

di sini, telah mati rasa hormat
oleh hidup yang kian biadap
dan lupa asal

sahrunizam abdul talib
bera
05 jan 2011