26 Januari 2012

sahabat, terima kasih jua

saat aku kesakitan
kautampil dengan segelas ubat
meskipun pahitnya dari lidah
lalu singgah di telinga
namun manisnya kuyakin
pasti tiba.

sahabat, terima kasih jua
kerana segelas ubat
yang kauhulurkan padaku
tetap pahit yang ubat
bukannya manis yang racun.

sahrunizam abdul talib
260112

22 Januari 2012

encik mamat penabur gandum

walau di mana dia pergi
di tangannya seplastik gandum.

dia menabur gandum
dan merpati memagutnya.

ada yang makan di tangan
dan ada yang makan berhampiran
kakinya.

encik mamat penabur gandum
di mulutnya ada gula
di hatinya ada cuka.

sahrunizam abdul talib
bera,
22 januari 2012

20 Januari 2012

sebentar di wilayahmu, dan

sepetang kita bersama
di wilayah mandirimu
aku tamu yang kagum
pada tukang dan tekunmu.

di daerah muda ini
kau kembali dari rantau jauh
menyatukan bakat dan minat
untuk hari depan yang
kaya duga dan
gamat khalayak yang
buta indera seninya.

rintik hujan hadiah dari langit
dan segelas teh tarik
mengalir dari poketmu
menjadi saksi pertemuan ini

aku dari dunia kata
bermain dengan aksara
kau dari dunia garis
bermain dengan warna
di sukma seni kita bertaut.

aku percaya dan
di kanvas, garis dan warnamu
akan terus berdenyut.

sahrunizam abdul talib
20 jan 2012

18 Januari 2012

dunia tergamam

aku kehilangan suara
jeritanku hanya bergomol
di kerongkong.

di hadapan mataku
berguling kebiadapan.

mereka jauh dihanyutkan dunia.

sahrunizam abdul talib
bera
18-01-11

15 Januari 2012

lelaki, juta dan gandum

di negeri yang jauh dari negeriku
dia lelaki separuh abad menabur juta
seperti orang menabur gandum buat merpati.

di mana sahaja lelaki itu pergi
dia tanpa berlengah membuka peti khazanah
seperti orang membuka tali pengikat plastik
berisi gandum.

seperti merpati yang kelaparan
rakus memagut gandum
mereka memagut juta dengan lahapnya
di tangan lelaki separuh abad itu.

dengan bibir dan lidah
lelaki separuh abad itu
meneran intonasi
dari mulutnya tumpah berjuta-juta
seperti gandum tertumpah dari tangan.

sahrunizam abdul talib
bera
150112

10 Januari 2012

gugur seekor helang

telah gugur seekor helang
yang dongaknya sentiasa ke langit
sayapnya mengimpi awan
paruhnya tak henti mematuk
dan kerongkongnya sentiasa bergetar
kagumnya sentiasa pada kepak,
paruh dan kerongkong yang dimiliki.

membidik masa lalu
helang tak pernah bermain di ranting
seperti merbah yang setia
dongak helang sentiasa ke langit
dan sayapnya mengimpi awan.

kerongkongnya sentiasa bergetar
di hadapan lensa kepaknya semakin ligat
kerongkongnya sentiasa begetar
dongaknya sentiasa ke langit
helang baginya bukan belatuk ataupun
enggang.

tapi helang selalu lupa pada angin
helang juga selalu lupa pada cuaca
pada angin yang kencang
dan cuaca yang berubah
kerongkong helang sentiasa bergetar
bisanya meracun kawan
tetapi madu buat lawan.

helang lupa pada alam yang ditumpang
helang lupa pada rumput, pada ranting
dan pada pohon yang pernah ditenggeknya
kerongkong helang sentiasa bergetar
kerana kerongkongnya pernah menjadi
lombong emas suatu ketika dahulu.

helang tetaplah helang
dia bukan merbah, tekukur atau belatuk
dongaknya sentiasa ke langit
tempatnya bukan di ranting,
di sangkar rotan mahupun di batang buruk.

kerongkong helang tetap bergetar
meskipun sayapnya
dan jasadnya telah kembali ke tanah
kelmarin.

sahrunizam abdul talib
bera
100112

08 Januari 2012

sampai bila?

di hadapan khalayak
sedikit demi sedikit
kau tanggalkan pakaian
yang semenjak lama membungkus
dirimu.

yang kau sangka bijaksana
rupanya hanyalah kedunguan
yang menjadi askar penjajah
di wilayah mayamu.

sampai bila kau harus
berselindung di balik
gaya intelekmu
dengan bumbu falsafah
dan sarat pembaharuan?

sampai bila kau harus
telanjang ditelan kebodohan panjang?

sahrunizam abdul talib
080112

05 Januari 2012

telah mati

di sini, segala ilmu yang kuhirup
dari daerah masa lalu
telah mati

mereka telah membunuh segala rasa
cinta pada dunia yang kudiami
semenjak berbelas tahun

di sini, telah mati rasa hormat
oleh hidup yang kian biadap
dan lupa asal

sahrunizam abdul talib
bera
05 jan 2011