28 Februari 2013

benar

benar.

kalian boleh mengheret kakiku
untuk menapak berjuta langkah
tapi  belum tentu kalian berjaya
memaksa hatiku untuk beranjak
walaupun seinci.

benar.

kalian mampu memenjarakan
hatiku seribu tahun lamanya
tapi percayalah kalian akan
kecewa untuk mengepung
hatiku walaupun sesaat.

benar. 

sahrunizam abdul talib
bera.
280213


27 Februari 2013

pujuk bendera

semuanya sudah sedia
warna bendera meski berbeza
lambainya sama
pujuknya serupa.

bisiknya lembut penuh makna
kau mesti tinggalkan dia
dan pilihlah aku.

meski kuyup oleh hujan
dan garing dimamah matahari
bahasanya tetap bahasa bendera.

semuanya sudah sedia
hanya mamanda yang teraba-raba
mencari kalendar.

sahrunizam abdul talib
bera
270213




23 Februari 2013

kubawa kaki

dengan apakah akan
kuseret jasad ini
dengan kaki atau
dengan hati ?

benar, kalian
berjaya memaksa
kaki tapi bukan
hatiku.

pasti kubawa kaki
ini dan kutinggalkan
hati sebagai bukti
aku masih hidup.

selain senyuman
beracun bahasa apa
lagi yang bakal
menyambutku nanti?

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
23.02.13

21 Februari 2013

percik di wajahmu

di tepi tasik tenang
kau membongkok
memilih batu
untuk dilontar
dan kelak
perciknya
di wajahmu
sendiri.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
21 02 13

ketika bulan serpih di langit

(saat kaki belum mencium tangga
dan kalian masih di halaman
terpinga-pinga mencari kunci
buat membuka pintu yang
bermangga)

tiba-tiba ada rempuhan
kasar dari belakang
mahu merebut kunci
yang sudah hampir
di genggaman.

pada malam itu juga
ketika bulan serpih di langit
di halaman ada bayang
yang retak.

perlahan-lahan mereka
memilih untuk menjadi
duri menyusup  licik
ke daging di jasad sendiri.

sahrunizam abdul talib
bera,
21-02-13


20 Februari 2013

kau, di balik timbunan buku

kau memasuki kotak sempit
dengan hujah melimpah
lagak bagai ahli falsafah
tersohor di lembar sejarah.

dengan kanta ilmumu
kau ragui masa hadapan
tetapi setia bergayut pada
kesilapan semalam.

di balik timbunan buku
dan gurumu yang satu
taksubmu melimpah
bagai serbuk kopi
meleleh di gelas.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
20 januari 2013


19 Februari 2013

hanya matanya

dia kini diasak
hingga ke dinding
tersandar tanpa suara
hanya matanya
yang beraksi
memanjat dinding
merayap di siling
tapi yang ditemui
hanya sekawan cicak
rakus melahap
serangga.

 matanya terus beraksi
terjun dari siling
dan terhempas di lantai.

dia meraba-raba jasadnya
bisik hatinya
"lega tubuhku masih
belum
berkecai"

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
190213



 

17 Februari 2013

waktu, menjadi saksi

restoran dan warung semakin riuh

senyum pemilik turun ke telinga
semuanya kembali ke asal
berlonggok membentang janji
untuk dibeli dan ditawar harga.

gelas dan piring membusut

asap berlegar mencari peluang
dari puntung berganti puntung
dari bibir terjun ke hidung
atau lemas di jantung.


kopi yang diteguk dan
teh yang dihirup
menjadi saksi betapa
permainan sudahpun bermula
meski wisel belum ditiup.

semuanya kembali ke asal
dari rumput turun ke rumput
tak ke mana helang melangit
tak ke mana seluang melaut
waktu tak mungkin berundur
bagai embun naik ke langit.

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
170213














lelah bertukar ribut

pentas kembali gelap
pulau sejemput tersenyum sinis
ada kata yang tak bersahut
ada hajat yang tak bersambut
ada niat yang tak sempat disebut.

hidup tak semuanya manis
ringgit mampu memborong semua
kecuali yakin di dada.

sesekali rasakan kecewanya
hidup seorang pengemis
apabila tangan yang ditadah
tidak diendah. 

pentas kembali gelap
pulau sejemput tersenyum manis
ada kata yang tak bersahut
ada hajat tak bersambut
ada niat yang tak sempat disebut.

di kamarnya nanti malam
ada lelah yang bertukar ribut.
.

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
17 februari 2013

14 Februari 2013

tak semanis pulaumu

bahasa resah seorang tua
berlegar hangat
dalam dunia tanpa wayar
dan segala seranah sumpahmu
berputar ligat tanpa batas
juga sempadan.

kauhamun tetamu kerana
katamu terlupa mengetuk pintu
tapi kau juga tuan rumah yang pelupa
kerana bahasa di bibirmu
tak semanis senyum kemaafan
milik tetamu.

sahrunizam abdul talib
bera,pahang
14 februari 2013

teruskan berduka gebku

silakan gebku
teruskan berduka
kerana semua pintu
gembira telah tertutup
buat kita.

tetapi biarkanlah
tingkap dan pintu duka
terbuka gebku
agar semuaderita
itu berlonggok
di rumah kita.

tutup mulutmu
seperti mereka
menutup mata dan
telinga mereka
padamu.

suaramu nanti
akan perlahan-lahan
ditelan ratapan anak
anak yang menyesali
nasib sendiri.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
140213

katakan ya kepada tidak

setelah tiga tidak gagal kaujinakkan
maka kau harus kembali bertapa
di gua diri mencari kembali masa
silam yang telah kaupersiakan.

elok juga sesekali kaukatakan ya
kepada tidak setelah sekian lama
mereka menghadiahi kau dengan
ya tetapi kau jarang menghargainya.

sekiranya berkata ya bukannya paksaan
jadi kaujuga tak boleh memaksakan
ya kepada tidak untuk hanya memuaskan
nafsumu yang sekejap tegang dan sekejap
kendur.

setelah sekian lama mereka menyerahkan
ya kepada engkau malangnya engkau masih
gagal membaca fikiran dan kemahuan mereka
hari ini mereka kembali menjadi diri mereka
sendiri setelah berpuluh musim mereka menjadi
mereka di dalam kepungan engkau.

katakanlah ya kepada tidak kerana itu lebih
bererti daripada engkau mengatakan
tidak kepada ya.

sahrunizam abdul talib
bera,pahang
140213

masihkah kau berzapin gadisku?

ketika yang lain
masih asyik berzapin
dan mabuk di atas kuda kepang
dia gadis baru pulang dari menara
meredah kepungan tangan bangsa
yang masih disihir lagu setia
keluar mengheret jasadnya
memilih jalan sendiri
mempertahan masa silam
demi mencipta masa depan.

dia sedar di hadapannya
cabaran tak semudah teori
di bilik-bilik kuliah
di jalan itu nanti dia kerap keseorangan
ketika bangsanya masih asyik berzapin,
mabuk di atas kuda kepang dan bibir
masih rancak melagukan setia.

dia tak mampu lagi untuk berhenti
dengan langkah seorang srikandi
dia akan terus berjalan dan berjalan
dengan kakinya sendiri.

masihkah kau berzapin gadisku?

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
14 februari 2013



yang masih mengerang

tanah sejemput di selatan
mengerang kesakitan
di antara bersimpang pilihan
dia terpilih menerima hukuman
menjadi korban sebuah perubahan.

dia terus mengerang kesakitan
antara manis kenangan dan
kelat masa hadapan
dia memilih untuk menerima
dengan seluruh terpaksa yang bersisa.

meskipun pedih dan sedih
zaman sering mengajarnya
betapa marhaen sering kehilangan suara
kerana sekali tersilap memberi
padahnya seumur hayat dirasai.

tanpa diduga sekejap lagi
akan musnah segalanya
kenangan beratus tahun dan
segala monumen tercinta
akan kabur dari ingatan.

sayang, yang masih mengerang
hanya sedikit sedang yang
lain masih bernyanyi sayonara
sambil bertepuk tangan.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
14 februari 2013

13 Februari 2013

aku membacamu tanpa jemu

semalam aku memasuki lembarmu
perlahan-lahan aku membaca
pelayaran jauhmu.

dari sebuah perahu kecil
teroleng-oleng di tengah laut
puas diduga ombak dan diterpa ribut
kini kau puas di sebuah bahtera.

laut tanpa sempadan
sering mencabarmu untuk
terus berkayuh dan berkayuh.

dan, kau kini telah tiba
di pulau yang kerap
menjadi igauan ramai
tetapi hanya sedikit yang
berjaya menjejaknya.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
130313



meminjam pagi

berbekal tompok dosa
oh! tuhan izinkan aku
meminjam pagiMu
untuk kuhirup
sepuas-puasnya
anugerahMu yang
masih berbaki
untukku.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
130213

engkau masih serupa

engkau masih di sana
mengulang kata-kata lusuh
dan meminjam telinga kami
dalam riuh tepuk yang panjang.

di belakangmu ada beban
yang tersangkut di sepanjang
lorong usia menirus.

sihat yang kaupinjam dariNya
tak pernah kausyukuri.

engkau masih serupa.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
130213




nota kecil buatmu

di hadapanmu laut menganga
tempik ribut dan terjah ombak
buih-buih letih tersangkut
di kaki pantai dan sampah-sarap
bagai setinggan di pinggir bandar.

dalam laut tak perlu diduga
ribut dan ombak bukan kawanmu
usah memandang remeh pada buih
juga sampah-sarap yang
berselerak sepanjang pantai.

benar, laut barangkali bahasa
kehidupanmu
telah kauhafal segala permainannya
dan kauingat segala lenggoknya.

namun laut sentiasa mengintai
sedikit alpa yang menerpa
akan menghukummu.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
13 februari 2013

12 Februari 2013

di hadapan kerdip kamera

sekian lama kaubiarkan pohon-pohon itu hampir menemui ajalnya. kaubiarkan dan biarkan. kau lupa pohon-pohon itu sering kehausan. kau lupa pohon-pohon itu sering kebuluran. tanpa air. tanpa baja dan tanpa kasih sayang.

sesudah sekian lama, kaudatang kembali untuk bersama-sama pohon itu. dengan penuh rendah hati kau dirikan khemah di antara pohon-pohon itu. kau bermalam untuk bersama-sama pohon-pohon itu. di tanganmu air dan baja. dengan bibir yang tak pernah berhenti tersenyum, kausiram air dan tabur baja di hadapan kerdip kamera.

sahrunizam abdul talib,
bera,
pahang
12 februari 2013

satu soalan

tubuhmu yang renta
terbongkok-bongkok
memikul beban sejarah
atau apakah dosa
yang sedang kaukandar?

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
12 februari 2013



11 Februari 2013

cerita sebuah nama

untuk apa sebuah nama
yang kerap dipuja
atau dibangga
hingga kita saling
mengasah keris tumpul
untuk  melekatkan
karatnya di dada
masing-masing?

kata sahabatku
di petak sempit itu
benar.

selain sebuah nama
yang kerap bertenggek
di atas kertas putih
maka aku tak punya
apa-apa untuk dibangga
pada sebuah nama
yang semakin terhakis
benarnya.

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
11 februari 2013

10 Februari 2013

setiap kali menaiki tangga

lutut dan kaki
serentak menjerit
engkau sudah
jauh diseret usia.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
10 februari 2013

09 Februari 2013

larut dalam usia

antara diam dan menikam
kau kembali mengasah
bibir berkarat

demi baki hayat
yang kian singkat.

masa lampau
mengajarmu membaca
masa hadapan
yang menghendap
di balik aksara.

antara dosa dan jasa
kau larut dalam
usia yang melurut
sesekali kau pinjam
masa lalu
untuk terus berdiri.

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
09 februari 2013



waktu yang beralun

selain sepasang bibir
dan ringgit yang
beranak-pinak
di kantung peribadi
kau tidak lagi
punya apa-apa
selain waktu
yang beralun
menyongsang baki
usia.

semuanya tidak
lagi memihak padamu
kecuali ketakutan
yang hinggap
dan semakin ligat
menggoncang jasad
rentamu.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
9 februari 2013

kau tergesa di tangga

mendung tiba
kau tergesa di tangga
mencurah segala
di tempayan itu
seperti esok
tidak akan kembali
kepadamu atau
kaki engkaukah yang
tidak lagi
berharap untuk
pulang mencium
tangga?

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
09 februari 2013



06 Februari 2013

pengocak zaman

wajah lusuhmu
dijajah zaman
seperti mahu
kembali bergayut
di dahan silam.

kau bukannya jahil
ranting yang
sedang kautenggek 
semakin tua
dan mereput.

mimpi masa depan
benar-benar
menggoncang
ranjangmu
tadi malam.

di tengah malam
kau kembali
mencari mulutmu
yang lama bersembunyi
di bawah bantal
untuk kau terus
mengocak di lain zaman.


sahrunizam abdul talib
bera, pahang
6 februari 2013

diammu bukannya emas


diam kata cendekia
itu emas.

tapi, diammu
bukan lagi emas
tapi rimas.

tak selamanya
engkau harus
menyimpan
mulut.

atau,
sudikah engkau
digelar pengecut?

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
06 februari 2013

memilih pulau

di antara dua pulau
kau mesti memilih
satu
laut dan gelombang
tak selamanya
menjanjikan
bahagia buatmu.

kakimu belum
cukup kuat
untuk terus
mengangkang
seperti sekarang.

kau harus
tegap berdiri
di sebuah pulau
yang kauyakini.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
06 februari 2013




03 Februari 2013

membuka bimbang

dia kembali membuka
bungkusan silam
dan melonggokan
kejahilannya
di hadapan khalayak
yang sekejap singgah
dan sekejap berlalu.

berbekal wajah silam
dia juga membuka
bungkus kebimbangan
yang sekian lama
beranak-pinak
di kepalanya.

meskipun tanpa
diacah dia semakin
kerap mempamer
tingkah gelabah.

sahrunizam abdul talib
bera
03 februari 2013

02 Februari 2013

jinak simerpati

dia muncul tanpa diajak
dan aku tak suka mendesak
untuk dia beranjak.

sengaja kubiarkan sesekali
janggal intonasi
menggetarkan gegendang
telinga.

di tangannya sekampit
gandum
untuk jinak simerpati.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
2 februari 2013



membuka pagi

matahari masih di ranjang
dan belumpun menggeliat
di sana menunggu petak
kosong yang harus kuisi
dengan jawapan dari
jujur kata hati.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
2 februari 2013