02 Disember 2016

SAJAK-SAJAK YANG BELUM SIAP

Seperti juga aku
engkau barangkali masih di sana
meneman dinihari
menunggu titis embun pertama
sambil
menulis baris-baris akhir
sajak-sajak yang yang belum siap
dan bertaburan di lantai pagi.

Menulis sajak juga seperti
menulis kehidupan
siap sebuah akan tiba lagi
sebuah yang menagih perhatian.

Biarpun sajak-sajakku
seorangpun tak pernah peduli
aku akan terus di sini
menemani  pagi
menyiapkan baris-baris akhir
sajak-sajak yang belum siap
dan bertaburan di lantai pagi.

02 disember 2016
Bera, Pahang

01 Disember 2016

CATATAN RINDU YANG TERLALU BERKUASA

Aku tak punya masa
hanya tinggal beberpa minit sahaja
untuk mengatur huruf
di papan kekunci.

Waktu kadang kala teramat pengasih
tapi ada ketikanya teramat kejam.

Aku masih di sini
mengumpulkan seluruh kekuatan
untuk berhadapan dengan
rindu yang kian menggila.

Selalunya yang tertewas
hanyalah aku jua.

01 disember 2016
bera, pahang

16 Oktober 2016

BIARLAH HUJAN MELEBAT

Huruf-huruf  yang tertinggal di sini
kukutip kembali satu demi satu.

Kususun kembali menjadi rindu
yang tak pernah selesai.

Ketika ingatan seperti bulan
yang tak pernah gugur-gugur.

Biarlah hujan melebat
dan petir bertingkah dengan guruh.

Aku tetap di sini
mengumpul kenangan.

Sahrunizam Abdul Talib
Bera, Pahang.
16:10:16





24 Januari 2016

GELOJOH

Saya bukanlah seorang yang pemalas. Tetapi bukanlah juga seorang yang terlalu rajin. Saya datang antara yang paling awal. Tetapi tentu sekali saya tidak akan pulang antara yang paling lewat. Saya redha pada ketentuan Tuhan yang meletakkan saya pada posisi ini.

Saya sukakan anak-anak di sekeliling saya. Remaja mereka barangkali melambatkan proses ketuaan saya. Hanya barangkali. Saya menyukai dunia remaja yang jauh berbeza dengan dunia orang dewasa.
Mereka punyai masalah. Namun, mereka bijak menyimpan masalah.

Namun, saya tidak menyukai orang yang gelojoh. Gila nama, gila pangkat, gila publisiti dan gila untuk ke puncak dengan cara yang cepat. Saya benar-benar tidak menyuaki manusia yang seperti ini. Cerewet dan mempunyai sikap tidak percaya kepada orang lain secara yang keterlaluan.

Sehingga sekarang saya masih mencari masa lalu yang lebih aman. Setiap hari saya terpaksa berhadapan dengan manusia gelojoh ini. Manusia yang hanya mementingkan diri tanpa memikirkan perasaan orang lain. Manusai yang beberapa kali menunjukkan sikap tidak bertimbang rasa.

Saya kerap berdoa di dalam hati agar manusia gelojoh ini cepat pergi. Saya benar-benar merindui detik aman beberapa tahun yang lalu. Sebelum manusia gelojoh ini tiba. Saya mahu dunia yang lebih aman bagi meneruskan sisa yang tinggal.

POLITIK

Dua tiga hari ini, carian dalam google versi Malaysia barangkali tidak dapat mengatasi carian nama Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Kedah. Saya tidak mempunyai data yang lengkap. Tetapi saya kuat mempercayai Mukhriz merupakan Menteri Besar yang termuda di Malaysia.

Mukhriz merupakan anak kepada mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.  Meskipun pelbagai spekulasi mengenai kedudukan Mukhriz sebelum ini berhubung dengan kerusi panas yang didudukinya, kedudukan beliau kelihatan tidak pula goyah.

Khabar dari utara bertiup, Mukhriz merupakan seorang ketua negeri yang disenangi oleh rakyat. Tidak ada skandal besar dan hingga sekarang memiliki pakej yang hampir lemgkap, baik dari segi reputasi, imej dan prestasi mengemudi sebuah negeri.

Namun, tiba-tiba tanpa pokok bergoyang terlalu kuat, Mukhriz dikatakan meninggalkan suatu majlis secara tergesa-gesa sebaik sahaja mendapat khabar satu sidang media khas diadakan oleh hampir ke semua pemimpin partinya bagi menyatakan rasa tidak percaya terhadap kepimpinannya.

Saya yakin semua pihak terkejut. Mukhriz terkejut, Rakyat terkejut, dan sudah tentu yang paling terkejut mungkin bapa beliau iaitu Mahathir. Pada pendapat saya  Mukhriz memang tidak bersalah.
Yang bersalah ialah Mahathir. Hal ini kerana nama Mahathir sentiasa mengekori nama Mukhriz.

16 Januari 2016

JAKARTA

Minggu ini Jakarta digegar bom. Anak sulung saya yang baharu kali pertama ingin ke Jakarta  bersama beberapa orang rakannya telah dinasihatkan untuk menangguhkan wisata ke kota metropolitan itu oleh pihak  agensi pelancongan.

Saya telah menjejakkan kaki sebanyak empat kali ke ibu kota Indonesia itu. Andai diberikan peluang saya tidak pernah berasa jemu untuk berkunjung lagi ke Jakarta, walaupun kesibukan lalu lintasnya menyebabkan tekanan darah kita mudah sekali melonjak.

Jakarta, kota sejuta cerita. Ragam warganya, lalu lintas yang sendat, jerit hon yang serba gamat, bajaj dan angkut kota saling berebut penumpang benar-benar menambah pesona. Saya terlalu merindui kota berpuluh juta penduduk itu. Jika ada kesempatan saya mahu ke sana lagi.

Jalan Kwitang yang dipenuhi penjaja buku, Taman Ismail Marzuki tempat anak-anak seni memperaga bakat, Tanah Abang yang tidak pernah diam walau sebentar, Masjid Istiqlal yang sentiasa menggamit kehadiran, hidangan masakan padang penuh semeja semuanya menerbitkan kerinduan.

Mengapa Jakarta yang dipilih selepas Perancis. Kasihan anak sulung saya. Kembara pertamanya ke kota Jakarta, kota sejuta cerita, kota berjuta warga tergendala sementara. Saya benar-benar teringatkan Jalan Kwitang, syurga buku-buku terpakai sebelum digusur pemerintah. Oh, Jakarta.

BOLA SEPAK

Bolasepak sering kali dikaitkan dengan kaum lelaki. Sebab itu permainan bola sepak melibatkan pertembungan fizikal yang memerlukan pemainnya memiliki sifat lasak. Meskipun terdapat juga kaum perempuan yang bermain bola sepak, namun prestasi mereka jauh untuk menyamai lelaki.

Industri bola sepak moden yang dikatakan bersifat profesional tidak dapat lari daripada penajaan.
Penajaan dalam era bola sepak moden sering kali dikaitkan dengan prestasi sesebuah pasukan. Dalam liga Malaysia, pasukan yang mantap penajaannya biasanya mudah untuk ke podium menjulang piala.

Dalam konteks ini, dunia bola sepak Malaysia digegarkan dengan seorang jutawan kosmetik dan barangan kesihatan, Dr Vida yang dilaporkan bakal menaja pasukan negeri kelahirannya, Kelantan dalam persaingan liga domestik musim ini.

Satu hal yang menarik, jutawan kosmetik itu telah menetapkan 33 syarat yang perlu dipatuhi oleh pasukan Kelantan termasuklah menukar warna stadium kepada warna pink dan menamakan semula pasukan tersebut dengan jenama produk beliau.

Langkah Dr Vida itu juga rupanya mula mendapat perhatian banyak pihak, termasuklah usahawan kosmetik yang lain. Jelas sekali, tembok dunia bola sepak yang selama ini dibina oleh kaum lelaki perlahan-lahan dicerobohi oleh golongan wanita. Sebagai penaja dan tukang sorak.

CUCI

Ada peribahasa Melayu yang berbunyi 'Lembu punya susu sapi dapat nama'. Namun, lain pula ceritanya apa yang berlaku di Kuantan, Pahang. 'Lembu punya tahi, sapi kena cuci'. Senario inilah yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.

Kaedah pengeluaran bauksit yang tidak dirancang dengan teliti telah membawa kemudaratan kepada penduduk dan alam sekitar. Alam yang indah, berubah merah. Ombak yang biru, berubah merah. Pohon yang hijau, berubah merah. Warung yang meriah, bertukar suram. Segalanya kerana bauksit.

Dalam beberapa hari ini, petugas khas terdiri daripada beberapa agensi kerajaan telah dikerah membersihkan debu dan tanah merah yang telah mencemarkan kawasan sekitar.  Soalnya mengapa agensi kerajaan yang dikerah dan bukannya pihak pengusaha bauksit?

Maka benarlah dan ada kewajaran 'Lembu punya tahi, sapi kena cuci'. Pada zaman yang dikatakan serba moden ini, nampaknya budaya membuli masih lagi berleluasa. Ketidakadilan bercambah bagai
'Cendawan selepas hujan'.

Pihak yang bertanggung jawab mecemarkan alam tidak harus cuci tangan. Usahlah emas dipunggah, hampas dibiarkan bersepah. Teringat kembali pada seungkap kata ' Kita tidak mewarisi alam ini daripada generasi semalam, tapi sebenarnya kita meminjam alam ini daripada generasi esok.

11 Januari 2016

EMAK

MALAM ini saya membawa emak ke klinik. Saya baru mendapat tahu badan emak sakit-sakit. Emak lemah dan kehilangan tenaga. Emak tidak bermaya. Di klinik emak dimasukkan air. Selepas proses rawatan tersebut, emak kelihatan kembali bertenaga. Alhamdulillah.

Semua orang yang lahir ke dunia punya emak. Saya juga begitu. Punya emak yang baik dan penyayang. Sewaktu saya kecil emak banyak berkorban untuk saya dana adik- beradik. Emak tidak pernah membantah, malahan turut menyokong setiap tindakan abah berkait dengan pelajaran kami.

Emak sentiasa memahami saya. Jika sesekali ke rumah emak, emak sentiasa ligat memasak untuk kami sekeluarga. Air tangan emak sememangnya tiada tolok bandingya dalam dunia ini. Chef yang bertaraf lima bintang sekalipun akan kalah berbanding air tangan ibu.

Emak sentiasa mengingati saya selaku anak sulung. Emak sentiasa ingat kepada anak-anaknya. Pada ketika-ketika tertentu, emak akan memasak makanan kegemaran kami dan mneghantarnya terus ke muka pintu

Emak,jasa emak tidak akan pernah terbalas oleh kami semua. Emaklah wanita pertama saya. Emaklah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Vida dengan kapal laut. Hidup perlu diteruskn meski dugaan bergalang ganti


11


10 Januari 2016

VAPE

SAYA bukan pencandu vape. Tidak juga rokok, shisha, cerut, paip dan speisis yang sejenis dengannya. Saya benci dengan asap vape yang sesekali dihembuskan secara berkepul-kepul ke muka saya sewaktu saya sedang khusyuk menikmati sarapan nasi berlauk di warung Mek.m

Saya juga bukan peniaga vape. Saya juga tidak pernah menjejakkan kaki ke mana-mana premis perniagaan vape. Saya hanya meminjamkan mata melihat premis vape yang tiba-tiba tumbuh subur bagai kulat taun selepas hujan.

Saya juga tidak menggemari kebanyakan premis vape yang mengabdikan bahasa Inggeris pada kebanyakan nama perniagaan mereka. Saya cuma bersangka baik. Barangkali peniaga vape di Malaysia ini semuanya Mat Saleh dan perniagaan ini juga disasarkan kepada pelanggan Inggeris.

Saya juga tidak senang jika mengetahui tiga orang anak teruna saya menjadi pencandu vape. Moga dijauhkan oleh Tuhan akan hal ini. Seperti juga halnya saya tidak menyukai keturunan saya menjadi hamba kepada asap rokok.

Namun, saya sedikit terkilan dengan kaedah tergesa- gesa dalam menangani dan langsung mengharamkan perniagaan vape. Bagi saya matlamatnya sangat suci tetapi kaedah perlaksanaannya sedikit tercemar. Sewajarnya peniaga kecil ini diberikan sedikit waktu. Modal dilabur bukan kecil.

10:01:16

BAUKSIT

HARI ini belajar sedikit tentang bauksit daripada akhbar. Rupanya bauksit ini merupakan bahan mentah untuk dijadikan aluminium. Seingat , saya mulai mengenal perkataan bauksit sewaktu belajar geografi di sekolah menengah. Selebihnya saya memang tahu bauksit merupakan sejenis galian.

Hari ini bauksit merupakan antara perkataan yang paling popular di negara kita. Jangan silap eja sudahlah. Bauksit dan biskut dua perkara yang berbeza sejauh langit dan bumi. Hari ini bauksit sejenis galian yang terpendam di dasar bumi semenjak berjuta-juta tahun menjadi popular.

Bauksit benar-benar menggemparkan negara. Pahang Darul Makmur telah berubah menjadi Pahang Darul Merah. Angkara bauksit, satu sudut di wilayah Kuantan, ibu negeri Pahang dilanda wabak merah. Merah hinggap di mana-mana. Merah adalah debu kesan daripada penggalian bauksit.

Banyak pihak yang berasa simpati. Biarpun, berat mata memandang, berat lagi derita warga Kuantan yang diserang petaka debu.Sungai merah. Laut merah. Bumbung dan warung merah. Pokok hijau bertukar merah. Hati sedia merah bertambah merah. Akhirnya merah bertukar marah.

Marah diterjemahkan dalam pelbagai bentuk.Beberapa buah lori bauksit khabarnya dibakar rentung.
Namun di sebalik ramai yang sengsara, terdapat juga khabarnya mereka yang bertukar status menjadi jutawan segera. Tanpa berfikir panjang, hijau ladang sawit sekelip mata bertukar merah bauksit.

10:01:16

DLP

2016 bukanlah tahun yang menggembirakan buat pencinta bahasa. 2016 datang bersama DLP . Program dua bahasa. Kembar seiras PPSMI . DLP merupakan satu lagi petaka besar kepada nasib dan martabat bahasa Melayu.

Rupanya bangsa Melayu, khususnya kepala bangsa tidak pernah belajar apa-apa dari masa lalu. Bagi mereka masa lalu adalah sekadar masa yang telah pergi dan tidak mungkin akan kembali lagi. Mereka tidak pernah merasa berdosa menikam tubuh bahasa ibu berkali-kali.

DLP adalah benih dari rahim para dewi kayangan yang tidak pernah berhenti menghasut para kepala agar memotong terus lidah bahasa Melayu. Mereka ini golongan elit yang anak- anak mereka lahir ke dunia menangis dalam bahasa Inggeris. Mereka ini adalah dewi dari kayangan.

Apa yang lebih mengaibkan, DLP yang sedang dicuba-cuba, tidak akan menjengahkan taringnya ke Sekolah Jenis Kebangsaan. Lihatlah bagaimana kaum selain Melayu bermati-matian mempertahankan kubu pertahanan bahasa mereka dari dibolosi.

Akhirnya, yang kekal bodoh ialah kepala bangsa Melayu. Mereka tidak sedikit pun punya rasa sayang terhadap bahasa mereka. Mereka lebih sayangkan kedudukan, pangkat, kuasa, harta dan mahligai. Mereka benar-benar tidak punya apa-apa perasaan selain perasaan cintakan dunia.

10:01:16

02 Januari 2016

CATATAN DUA JANUARI

i) Saya semakin bingung. Menatap wajah yang telah saya akrabi semenjak hampir 20 tahun yang lalu. Budaya angkat-mengangkat semakin ketara mutakhir ini. Engkau angkat aku. Aku angkat engkau. Engkau pilih yang aku. Aku pilih yang engkau.Budaya angkat juga bukan rendah-rendah. Malahan angkatnya setinggi langit. Akhirnya, hanya masa yang akan menghakimi.

ii) Esok Pahang FC(PFC) akan mengumumkan barisan pemain yang bakal beraksi dalam kancah Liga elahMalaysia tahun hadapan. Diharapkan PFC akan lebih berjaya dan mara lebih 50 langkah ke hadapan. Semoga CEO baharunya orang muda serta barisan kejurulatihan 'Din' akan berjaya mencorakkan kejayaan yang sentiasa didambakan penyokong setia.

iii) Khabarnya penduduk Kuantan terpaksa menunggu lagi. Merah telah menjajah udara, laut, pantai, bumbung rumah. Lebih parah lagi, merah telah melanda hati dan perasaan warga yang terlibat. Mereka tidak tahu ke mana lagi ingin mengadu. Setelah yang lain semuanya menjadi tembok dan bata.

iv) Esok, seorang lagi anak akan meninggalkan rumah. Tinggalah kami bertiga sahaja. Terasa baharu semalam, anak-anak bermain, bergurau, merengek dan ketawa di hadapan mata. Hari ini mereka telah dewasa. Mereka meninggalkan kami untuk mengejar masa hadapan. Perlahan-lahan, saya mulai belajar berkongsi perasaan emak dan abah yang telah lama kami tinggalkan.


01 Januari 2016

HARI PERTAMA 2016

MASA terlalu pantas berlari. Rasanya seperti baharu semalam 1 Januari 2015 hadir. Hari ini 1 Januari 2016 mengambil kedudukan.

Sementara cuti masih bersisa, sebelah pagi diisi dengan pulang sebentar ke desa kelahiran. Restu ibu bapa penting bagi melayari segara 2016. Siapalah kita tanpa ibu bapa yang telah banyak berkorban segala-galanya. Sempat menikmati hidangan celur kuning patin sangkar  bersama talapia sangkar goreng.

Sebelah petang selepas solat Jumaat bersama keluarga menuju ke Bahau . Di Bandar Baru Serting sempat singgah menikmati roti canai di salah sebuah warung. Kemudian Singgah di Texco Bahau. Selepas solat Asar di Masjid India Bandar Bahau kami sekeluarga ke Restoran Haslinda Sim Abdullah iaitu sebuah restoran yang menghidangkan masakan Cina Muslim. Hidangan ikan Siakap masakan mangga begitu enak sekali.