Ada peribahasa Melayu yang berbunyi 'Lembu punya susu sapi dapat nama'. Namun, lain pula ceritanya apa yang berlaku di Kuantan, Pahang. 'Lembu punya tahi, sapi kena cuci'. Senario inilah yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.
Kaedah pengeluaran bauksit yang tidak dirancang dengan teliti telah membawa kemudaratan kepada penduduk dan alam sekitar. Alam yang indah, berubah merah. Ombak yang biru, berubah merah. Pohon yang hijau, berubah merah. Warung yang meriah, bertukar suram. Segalanya kerana bauksit.
Dalam beberapa hari ini, petugas khas terdiri daripada beberapa agensi kerajaan telah dikerah membersihkan debu dan tanah merah yang telah mencemarkan kawasan sekitar. Soalnya mengapa agensi kerajaan yang dikerah dan bukannya pihak pengusaha bauksit?
Maka benarlah dan ada kewajaran 'Lembu punya tahi, sapi kena cuci'. Pada zaman yang dikatakan serba moden ini, nampaknya budaya membuli masih lagi berleluasa. Ketidakadilan bercambah bagai
'Cendawan selepas hujan'.
Pihak yang bertanggung jawab mecemarkan alam tidak harus cuci tangan. Usahlah emas dipunggah, hampas dibiarkan bersepah. Teringat kembali pada seungkap kata ' Kita tidak mewarisi alam ini daripada generasi semalam, tapi sebenarnya kita meminjam alam ini daripada generasi esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan