27 Jun 2012

sajak kepada malaysiaku

engkaukah malaysiaku
yang masih meringkuk di ranjang itu
ketika setiap penjuru alam
sedang meraikan kehadiran
sinar matahari?

tiba-tiba sahaja
mata-mata yang liar
jinak di wajahmu malaysiaku
sambil mencari kata-kata
yang sering diperkosa asli
dan tulusnya.

engkaukah malaysiaku
yang masih duduk di sudut ranjang
terpinga-pinga dalam serpih mimpi?

aku tak ingin memaksa
tetapi tiada salahnya
sesekali bukalah jendela yang
telah lama tertutup
dan kau tataplah wajah dunia
yang sudah berubah sepuasnya.

sahrunizam abdul talib
bera
27 jun 2012

16 Jun 2012

puisi di sudut tirus

ucap dan doa yang kuterima semalam
tiba-tiba menjadi ketakutan yang panjang
bagai mimpi ngeri membelah malam.

aku yang sering alpa telah diseret
semakin jauh dan waktu untukku telah
terkepung di sudut yang kian tirus.

daun-daun kuning yang gugur
ranting rapuh dan bunga-bunga layu
dan suram wajah senja
menyerbu ke sudut itu dengan diam
tapi tergesa-gesa.

di sudut tirus ini
fikir merayap perlahan seperti
siput di celah-celah pasu.

sahrunizam abdul talib
bera
16 jun 2012

08 Jun 2012

cerita di petak kecil

di petak kecil ini
aku terus membaca dan mengembara
di antara baris aksara
mataku kerap bertembung
aneka watak dan tindak.

segala yang bernama rahsia
telah berderai bagai tembikai
terhempas di aspal.

di petak kecil ini
ruang manusia menampal bangga
pada sebuah papan hidup
yang sentiasa berkata-kata.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
080612

07 Jun 2012

di lembah tanpa nama

di lembah tanpa nama
setiap hari lucah dilelong
dengan harga yang begitu murah
menjadi tajuk-tajuk utama
di lembar paling atas.

rasuah umpama sebiji bola
di padang kuasa dan politik
bergolek dari kaki ke kaki
ditendang bukan bermakna benci.

fitnah dijaja dari pintu ke pintu
dilontarkan ke ruang tamu
atas nama kebebasan
daging-daging saudara dimakan
tanpa secalit rasa dosa.

budaya gasar rimbun
dalam tandus pekerti adab
bahasa santun telah lama pulang
ke negeri abadi.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
07-06-12

04 Jun 2012

dongeng pelahap angka

seribu tahun dahulu
di sebuah wilayah tanpa nama
lahirlah beratus-ratus makhluk
yang tidak suka pada lazat hidangan
di bawah tudung saji
tetapi punya nafsu
pada angka-angka yang gebu
lagi menggiurkan.

di sebuah wilayah lain yang berjiran
angka yang rendang dibonsaikan
dan angka yang bonsai segera
dirimbunkan.

di wilayah ini dan itu
dongeng pelahap angka
berkerumun pada zaman yang termangu
bagai laku kelkatu pada lampu.


sahrunizam abdul talib
bera, pahang
4 jun 2012