02 Julai 2013

aku dan kenangan

kalian dan kehidupan tak pernah berbeza
singgah sebentar dan perlahan-lahan bersama angin
meninggalkan aku sepi dan keliru.

mujurlah aku tak punya rumah agam
yang lebih ghairah menternak sunyi
kerana di ruang sempit inipun
kesunyian menjadi teramat rakus.

sesekali mahu saja kubunuh waktu
kerana waktu telah menjadi tembok penjara
memisahkan aku dan kenangan.

seperti juga kehidupan
kita tak punya apa
selebihnya harus cepat mengerti
segala yang dipinjam mesti dipulangkan.

sahrunizam abdul talib
bera
02 julai 2013