29 Disember 2010

kata pagi

belajarlah rahsia embun
di pucuk rumput
jernih fikir
bersih rasa
dan akur pada
asal alam.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
29 disember 2010

27 Disember 2010

pasca kepulangan (1)

kau pulang dengan
sepotong gelar
di pangkal nama.

perlahan-lahan
kaulupakan
air matamu yang tumpah
di tanah kewajipan
yang pernah mencairkan
hatimu
telah kaulontar
manis mabrur
dari janji Tuhan.


kau kembali menjadi
ibu serigala mengaum
dalam dingin udara
di bilik muafakat.

kaulupakan sebongkah kekuatan
kau cungkil sezarah kelemahan
kami terpinga-pinga
dalam kebingungan
panjang .

sungguh
kami insan punya rasa
dan harga diri
benar rezeki dari Tuhan
kami tak pernah mengemis
walau sedebu darimu
kau juga hamba
tidak sempurna
seperti kami.

di helai terakhir takwim
kau memilih untuk
bergelar ibu serigala
di tunggul kuasa.

sahrunizam abdul talib
bilik muafakat
24 disember 2010

24 Disember 2010

pasca kepulangan

bezanya tiada
kau hanya menambah
sepotong gelar
di pangkal nama.


sebentar tadi
kaumuntahkan segalanya
di hadapan kami
segala yang terperam
diperutmu kaulambakkan
di lantai
busuknya menikam rasa.

puas kucuba belajar
memahami
yang menerpa otakku
hanyalah sederet
tanda tanya.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.

21 Disember 2010

angkuh sepotong kata

nyenyak dicubit dering
redup di petang
berpindah garing di rasa
dari layar telbim
tuding sepotong kata
angkuh dalam senyap.

kubaca sepotong kata
lahir dari rahim jiwa
milik manusia
lapar kuasa.

sebelum noktah
angkuh menerjah!



sahrunizam abdul talib
bera. pahang. malaysia
21 disember 2010

13 Disember 2010

seorang negarawan ulung

seorang negarawan ulung
bicara politik
selepas potong riben
tanda rasmi
sebuah kedai roti
lima bintang
di lembah elit.

seorang negarawan ulung
bicara politik
di mana sahaja
di kedai kopi
di kedai roti
hatta di kamar kecil.

seorang negarawan ulung
bicaranya politik
dari tegang subuh
ke kedut malam.

13-12-10
Bera.

07 Disember 2010

akhirnya dinasti tikus putih

seekor tupai putih
akhirnya jatuh jua
ke tanah.

tika punya taring tajam
dihumban jujur nasihat
ramai yang merapat
dengan niat
dan muslihat.

dari dahan ke dahan
dia melompat
dan mengelak
mengelak lagi
dan melompat lagi.

hari ini
seekor tupai putih
gugur ke tanah
di sisinya daun kering
melontar senyum
sinis.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
07-12-2010

04 Disember 2010

lunak bicara

demi memutihkan tindak
diolahnya bahasa lunak
katanya ini bukan kenaikan harga
tapi cuma turunnya subsidi
dengan penuh diplomasi
dibancuh manipulasi
dengan kelok ekonomi terkini
dibandingnya jiran kanan dan kiri
katanya kita masih
yang paling rendah antara
yang paing tinggi.


rakyat jauh di desa
membayar harga setia dengan
angguk kosong di depan tivi..


sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
04-12-10