05 Mei 2014

kerana kau hanyalah engkau

kerana kau hanyalah engkau
dan bukannya siapa-siapa
engkau diamlah di sana
bermain dengan diksi
sambil menatap langit
yang sesekali keruh
dan sesekali jernih.

lupakan pada  kerdip lampu
yang melimpah
dan gamat tepuk
yang menjajah
terkadang riuh hanyalah
bahasa resah
milik mereka yang
kerap tercicir diksi.

tidak mengapa
kembalilah engkau ke dalam diri
pujuklah resah berombak
sesekali menatap langit
pasti ada bulan yang
bakal tersenyum nanti.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
05:05:14