31 Ogos 2011

catatan baharu

humbankan segala keliru
mari kita tulis catatan baharu
dan segera kita pancung jiwa hamba
yang sekian lama hidup
dan beranak-pinak dalam
buku-buku usang di rak-rak purba.

mari kita padamkan nama-nama kelabu
yang sekian lama dijulang menang
dan dinobatkan wira segala wira
lalu dihafal dari bibir ke bibir
anak-anak kita di bangku sekolah.

mari kita tulis catatan baharu
dari hati yang paling jernih
dan kita gali kembali nama-nama
yang sekian lama tertimbus
menjadi korban kepada
sebuah permainan .

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
31 ogos 2011

27 Ogos 2011

sebuah pusara bernama puduraya

lima hari sebelum ulang tahun merdeka
empat hari sebelum idilfitri
dia yang masih dijajah akalnya
menguburkan pudu raya
di tengah hiruk-pikuk kemodenan.

satu lagi nama melayu yang indah
dan kaya sejarah
berkubur oleh tohor akal
seorang manusia melayu
yang berjuang kononnya untuk melayu.

pudu raya telah berubah wajah
aminah juga mesti ditukar kepada amy
jeliah juga mesti ditukar kepada jely
katanya nama melayu tidak moden
nama melayu berimej kampung.

puduraya telah menjadi sebuah pusara
enam hari sebelum ulang tahun merdeka
dan lima hari sebelum idilfitri, hari raya.


sahrunizam abdul talib
27 ogos 2011

17 Ogos 2011

pada suatu sidang akhbar

semalam dalam sut lengkap
dia menjelirkan lidah
di hadapan para wartawan,
jurugambar dan juga pencacai.

dari rakaman foto
jelas sekali lidahnya merah,
bercabang dua
seakan-akan lidah binatang dua alam
yang gemar melahap bangkai.

seluruh kamar berkarpet merah
berhawa dingin
tercemar oleh busuk mulut
seorang pembohong.

seorang demi seorang wartawan
dan jurugambar bingkas beredar
kerana bau busuk yang tak tertahan lagi.

tinggalah pencacai di keliling pinggang
bergayut di bawah dagunya
bagai kembar siam
yang setia berpantun seloka memuji
wangi mulut tuannya.

sahrunizam abdul talib,
bera.
17-ogos-2011



16 Ogos 2011

di negeri yang jauh dari negeriku

di negeri yang jauh dari negeriku
seekor demi seekor sesumpah muncul
dengan warna yang beraneka
sesekali merengek, sesekali meraung
sesekali mencarut dan sesekali melolong.

binatang licik itu sentiasa berkeliaran
muncul dengan wajah tanpa dosa
bagai wajah bayi yang baru keluar
dari perut ibu.

kerana kehadirannya yang jarang diperhati
maka sesumpah pun bersumpahlah
lensa dihalakan ke wajahnya
dan berkali-kali sesumpah itu
bertukar kulit di tengah riuh khalayk.

sahrunizam abdul talib
bera
160811

14 Ogos 2011

akalmu membeku di kepala lutut

rupanya berani hanya berpencak
di bibir merahmu
akalmu membeku di kepala lutut
di pentas ucap kaulah ayam sabung
yang tiada tolok banding.

meskipun kau sering terlupa
sejarah tak pernah tidur
untuk beraksi di buku catatan
esok apabila kau tiada
namamu akan ditulis dengan arang.

sahrunizam abdul talib
14 ogos 11

04 Ogos 2011

kau masih di penjuru itu, menghafal kata-kata lusuh

katamu kau punya pegangan
ke kiri hanyalah licik kuasa
ke kanan juga hanyalah licik kuasa
sekejap kautoleh ke kiri dan kanan
kau gelengkan pada keduanya
kau akhirnya memilih titik tengah`
ketika dunia sekeliling
sudah berputar ligat
kau masih di penjuru itu
menghafal kata-kata lusuh
dengan akal yang tergari.

(Akhirnya seribu universiti
belum tentu dapat memerdekakan
akal kontotmu itu)

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
4 Ogos 2011

tidurlah sepuasnya

tidurlah sepuasnya
kerana mulut dan perutmu
telah sendat diisi
lupakan pada segala peristiwa
yang telah merengek di belakangmu
dan bakal mengaum di hadapanmu.

lupakan pada angkasa di negerimu
yang bakal bergentayangan racun
lupakan pada sungai di negerimu
yang bakal lemas oleh sisa toksik
lupakan pada generasi hari depanmu
yang bakal sompek dan sumbing.

tidurlah sepuasnya
sambil bibirmu menghafal kata-kata lusuh
tentang keamanan yang wajib dijaga
dan kebebasan yang mesti dipelihara.

sahrunizam abdul talib
bera
4 Ogos 2011