15 Jun 2013

ingatan pada salak-salak bertaburan

masih kau ingat tika aku bagai pengemis
mengutip salak-salakmu bertaburan di lantai
tenabang, sahabatku?

aku tahu, engkau di belakang dengan ketawamu,

telah kubilang biji-biji salak manis itu
bakal menjadi beban buat tubuh dan kaki
kita yang kian capek.

tapi, kaulah haji
dan pak cik yang tak pernah mau tunduk
pada kataku.

dan pada ketika-ketikanya
engkau di sebelah supir
sengaja memejamku mata kerana cemburu
pada mata renung milikku yang sentiasa
berselera pada segala kumuh  jakarta.

sahrunizam abdul talib
bera
15 jun 2013



tangan senja

perlahan tetapi lembut
tangannya memimpin tanganku
ke negeri tirus..

dengan apakah nanti
harus kujawab segala soalan
ketika mulutku  dan mulutmu
sudah dikunci?

satu demi satu
amaran hinggap di tubuhku
bagai dedalu yang subur di pohon
mangga di laman rumahku.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
15 jun 2013


11 Jun 2013

puisi ketika senja terapung

seorang demi seorang pergi
dipilih waktu untuk mengenal hidup
tinggallah kami sesekali digaru perasaan
dengan sekawan kenangan
yang sentiasa berkepak dan terbang

sahrunizam abdul talib
12 jun 2013
bera, pahang


di lantai 3a seorang aku

berpuluh ribu judul
baharu dan lama
bertindih lapis
berebut menyerbu mataku
di ruang yang dijajah sunyi

pengarang menjual fikiran
untuk dibeli pembaca budiman.

aku manusia kerdil
di tengah agam kota
memburu setitis ilmu dari laut
yang sesayup tepi.

tiada yang indah di sini
selain dari berlama-lama
memilih untuk berkasih
dengan beribu pengarang
yang terpilih juga tersisih.

sesekali debu kota singgah
pada plastik pembalut yang
memisahkan pembeli dengan
penjual fikiran.

hanya yang bijaksana membaca judul
dapat menyelam ke dasar lembar
mencari mutiara yang terbenam
di antara berjuta aksara.

sahrunizam abdul talib
thamrin mall, tanah abang,
jakarta
29 mei 2013

10 Jun 2013

ditelannya sebuah nama

pada kunjungan ini
kakiku dan tanggamu
seakan berat untuk saling
melepaskan segala kenangan
yang sempat dipungut dan impian
yang kerap tercicir.

laut dan langitmu
terlalu letih untuk meraikan
sengketa ini kerana yang terluka
akhirnya hanyalah kita.

sebuah nama yang mesra di bibir
semakin merelakan takdir yang
tajam dan menikam.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
10.06.2013


06 Jun 2013

penyu menangis lagi


berpuluh tahun kau hadir dan kini mahu diusir
senyum kota ini bukan lagi untuk dikongsi olehmu
wajah lusuh bagai jerawat batu di pipi gebu
mengundang dendam dan sakit hati yang dalam.

kota ini tidak lagi peduli pada jerit dan rintih
kata mereka kau harus pergi dari sini
wajahmu yang kumal dan comot
bakal menerima kutukan yang lebih hebat nanti
jika kau terus berdegil untuk terus berdiri di sini.

kota ini bakal menyumbatkan sejarah di bakul sampah
kota batu tak punya hati dan perasaan
sekali kota menjerit roboh, maka robohlah kau
meski berjuta marhaen menjerit tidak.

sahrunizam abdul talib
pasar payang,
kuala terengganu
selasa 04/06/2013

04 Jun 2013

di celah-celah himpitan hidup

dari jendela avanza dipandu yazid
mataku bergegas menyelongkar
hidup bagai jadam di tengah kota ini.

di hadapanku nadzri sudah lama
mengheret matanya ke alam kayangan.

di lorong-lorong sempit ini
terpamer sebuah jakarta yang sifar kosmetik
tanpa ghairah gincu di bibir
dan jenama bedak melumuri pipi.

mereka menggeledah sampah-sarap untuk
agar jantung terus berdegup. 

di kananku, deretan penjaja barang lusuh
menanti pelanggan dalam redup bahasa mata.

pada setiap kesempatan yang membujur
mereka dengan siaga cuba menyambarnya
dengan anugerah kreatif akal.

sahrunizam abdul talib
bandara sukarno hatta-blok m square
jakarta selatan
28 mei 2013




 

di sini aku hanyalah buih

perlahan-lahan kami bersatu
dengan jutaan manusia juga kenderaan
yang saling berebut ruang dan peluang
raung jentera dan hon yang menjerit
mengingatkan aku pada tanahairku
yang bertaburan maki hamun di jalanraya.

di kota sendat ini manusia menjadi
teramat penyabar untuk walau sesekali
berkurang ajar.

mereka hanya berkejar merebut ruang
juga waktu yang sering gelisah
di sini tiada maki hamun dan sumpah seranah
kerana seluruh warga sudah diajar
untuk berkongsi kota ini seadanya.

di tengah alir kenderaan yang beragam
aku hanyalah buih yang terapung
dan pada bila-bila masa akan
pecah dalam gawat ini.

sahrunizam abdul talib
bandara sukarno hatta-blok m square
jakarta
28 mei 2013

salam nusantara

ketika matahari tegak berdiri
kami tiba membawa jabat salam
disambut aroma bakso dan
irama dangdut.

kuala lumpur perlahan-lahan
dilipat kemas dalam ingatan
jakarta kami datang membuka
petamu untukberkongsi sedikit
gelisah yang dipendam wargamu.

di sini tangan jakarta menyambut
kami dengan senyum dan batik yang
mencorak indentiti sebuah Indonesia.

Bandara Sukarno Hatta
Jakarta
28 Mei 2013