23 Ogos 2013

sajak lapan hari sebelum tiga puluh satu ogos

lapan hari sebelum tiga puluh satu ogos
sebelum kek dibelah lima puluh enam
dan lilin ditiup berkali-kali
izinkan hamba berkongsi resah sebuah bukit
benarkan hamba berkongsi gelisah sebuah tanah tinggi
di sebuah negeri yang sentiasa subur di hati hamba.

maafkan hamba kerana terpaksa memilih
untuk berkayuh ke hulu menyongsang alir air
telah lama darah hamba mendidih
frazer petualang dijulang pejuang
sebuah bukit berkabus dihadiahkan kepadanya
dan cameron penjenayah mata penjenayah
dihadiahkan sebuah tanah tinggi.

kitakah yang teramat pemurah atau
sejarahkah yang dipikulkan beban?

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
23 ogos 2013

15 Ogos 2013

bahasa jentolak

di hujung jalan mati
bahasa damai telah berubah
menjadi bahasa jentolak.

mereka mengutip bintang-bintang
yang berguguran
dan menatap langit  keruh
sepanjang malam.

dataran itu mereka membasuh
kesedihan dengan darah syuhada

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
15 ogos 2013



14 Ogos 2013

harum kasturi

akhirnya sekumpulan bintang buas itu
memilih membenamkan tajam taring mereka
ke tubuh-tubuh empuk.

dataran itu telah berubah wajah.

merah darah. simpang-siur peluru.

harum bau kasturi dari tubuh bidadari
telah memenuhi segenap ruang.


sekejap lagi malaikat maut yang bakal menjemput
roh mereka ke jannah.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
14 ogos 2013


10 Ogos 2013

sajak ini untuk morsi

kau tak pernah mati
meski gelarmu gugur
dan gerakmu lumpuh
namamu tetap hidup
di dada jutaan rakyat.

benar, mereka kaya
senjata
namun mereka tak
pernah memiliki
kasih sayang yang
dihulur berjuta rakyat
ke dalam genggammu.

lihatlah di sana
mereka tak berganjak
sebiji tamar dikongsi
sepuluh mulut
mereka diikat iman
dan Tuhan yang satu.

sahrunizam abdul talib
10 ogos 2013





catatan di medan satu

mereka pemuja demokrasi paling atas
mereka jugalah pencabul demokrasi paling buas
yang terpilih disisih, yang disisih kini terpilih
mereka menunjukkan pilihan
ibarat memilih ikan di pasar.

jalan itu yang pernah dirintis petualang
setelah kalah mereka memilih jalan mudah
suara rakyat telah disiat-siat
menjadi carik-carik kertas yang entah bila
akan bercantum.

meski bibir hidup dengan senyuman
jiwa mereka telah lama mati
di atas gelimpangan mayat
mereka menulis sejarah dengan tinta darah.

sahrunizam abdul talib
10 ogos 2013
tangkak