01 September 2015

SUKU TERAKHIR

SATU September 2015. Suku tahun terakhir semakin dekat. Lapan bulan telah kita tinggalkan. Di dalamnya ada sejarah. Di dalamnya ada seranah. Jalan panjang telah kita lalui. Jalan berliku bakal kita harunBenargi. Daun-daun kering yang gugur tidak mungkin kembali ke pelepah.Demkianlah hidup ini.

Hari ini, aku kembali belajar tentang manusia. Manusia yang punya sedikit jawatan dan pangkat selalunya mudah lupa diri. Mereka hanya mahukan apa yang kita punya. Tetapi, mereka amat berkira untuk memberi. Benarlah hidup tidak diluruskan pangkat dan jawatan.

01 September 2015

04 Ogos 2015

Rawan di Negeriku

HARI ini, Selasa 4 Julai 2015 jam 10.15 malam aku kembali ke petak kecil ini. Petak yang menyimpan pelbagai kenangan, khususnya kenangan dalam dunia penulisan dan sastera.Setelah hampir tujuh bulan menyepi, aku akhirnya kembali ke wilayah kecil ini di tengah gelora dan gelombang besar di tanahair yang besar di hati kita tetapi kecil di mata dunia.

Bayangkan dan bayangkan, selama mana pantai yang sejemput ini mampu terus-menerus menahan asakan gelora dan gelombang yang sangat menguji. Telah banyak empayar yang berkecai bahana amanah yang pecah. Telah banyak wilayah yang berderai angkara nafsu yang tidak mampu diempang. Benar sekali, di belakang seorang tokoh, setia berdiri di sisinya seorang wanita yang setia. Tetapi, kerap juga terjadi di sisi empayar yang rsama pecahnya, turut rebah seorang wanita bedebah.

Ah, biarpun mahu segera dilupakan, ingatan itu tetap tampil bersama rawan. Rawan yang semakin mengembung dan entah bila-bila akan berderai.



hidup biar sekejap
asal sentiasa diingati
kerana yang baik-baik.












tak guna menongkat langit
namun diseranah
oleh sejarah.




04 julai 2015


10 Januari 2015

BANJIR, AIR DAN KEZALIMAN

CATATAN 09/01/15

i) Banjir bukan sekadar mengirim air malahan lumpur dan selut. Meskipun air sudah lama surut, dugaan mangsa banjir masih bersambung. Kali ini bekalan air paip pula belum dibekalkan dengan sempurna oleh pihak PAIP yang hanya pintar dan cekap menaikkan taarif air. Implikasinya mangsa banjir sukar untuk membersihkan rumah masing-masing kerana air yang dibekalkan terlalu kecil.

ii) Rupanya kezaliman tidak pernah memilih warna, bendera dan slogan. Kezaliman ada di mana-mana. Di dalam jubah meleret, di dalam serban bertimbun di atas kepala dan sering juga bertenggek di wajah yang bersih dan kelihatan tanpa noda. Ya, kezaliman ada di mana-mana.

Puisi Orang-orang Kecil

Nasib manusa sering berbeza
yang bertuah dilahirkan dalam
dulang emas
yang malang dipusar hidupnya
dalam kitaran ganas.

Waktu ini hidup tak punya pilihan
manusia hanya berserah
selainnya akur pada ketentuan
yang telah dikepung takdir.

Orang-orang kecil kerap diduga
namun mereka juga tak punya daya
untuk menongkah dugaan.

Hidup adalah kesempatan
ramai yang licik dan sedikit yang pintar
akan terlepas dari hukum alam.

Selebihnya kitaran ganas akan
menghukum mereka
untuk mengendong sengsara
sepanjang lorang hayat.

09-01-10






08 Januari 2015

HIDUP INI TELALU SINGKAT

i) Tugas rasmi 2015 bermula hari ini. Tidak lama lagi rutin harian akan disendati pelbagai kerenah hidup. Tahun baharu, bermakna setahun lagi hayat kita berkurun. Setahun lagi usia kita bertambah.

ii) Berkesempatan menziarahi seorang rakan yang sakit dan sedang diuji. Hidup ini terlalu singkat.

iii) Hujan turun sepanjang hari. Matahari gagal sama sekali untuk tersenyum.


iv) Ruang Sastera BH bercerita tentang pengantarabangsaan karya. Kata tokoh, sastera kita semakin ketinggalan berbanding negara jiran yang sudah jauh mendahului kita.

v) Di suatu sudut, pemecatan pekerja atas alasan kesihatan sama sekali tidak dapat diterima oleh mana-mana akal yang masih waras. Bayangkan sewaktu sihat, tenaga diperas. Setelah sakit terus ditindas. Bayangkan apabila Pyanhabib dan Pak Ishak mula berang!


SALAM BUAT PEJUANG


Jalan yang telah lama kaulalui
kini adalah jalan mati.

Hidup ini teramat keras
dan kerap dimanipulasi penindas,
penindas sentiasa menyangka
mereka akan sentiasa berada di atas.

Demokrasi hanya megah di bibir
slogan hanya gah di manifesto lusuh
gelar dan sanjung melangit
mudah menghanyutkan perasaan.

Pejuang tetap pejuang
dunia masih terlalu luas
untuk engkau terus brnafas
kebebasan yang terpasung
akan bangkit melawan
dengan seluruh keazaman.

Sahrunizam Abdul Talib
Bera.
08-01-15











 

 



HUJAN OH HUJAN

CATATAN 07/01/15

i) Melalui bandar Temerloh. Ternyata masih banyak kesan banjir yang menerkam Temerloh. Terdapat masih banyak rumah yang belum dibersihkan.

i) Cepatnya masa bergerak. Hari ini sudah hari ketujuh tahun 2015. Sepanjang jalan ke Kuala Lumpur, di sepanjang Lebuh raya Karak aku melihat banyak sekali konvoi kemanusiaan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Pantai Timur. Pelbagai bendera pada kenderaan masing-masing menandakan identiti kumpulan masing-masing.

ii) Destinasi pertama di Kuala Lumpur ialah  ke ITBM untuk membeli kumpulan puisi kelima, Dari Pagi ke Diksi. Malangnya buku tersebut masih belum berada di atas rak Kedai Buku 1Malaysia, ITBM. Satu naskhah buku tersebut dipamerkan di ruang lobi ITBM. Mujur sekali nasibku, kerana buku yang aku tempah belum dipos. Terus memunggah sekotak buku berisi 50 naskhah. Allhamdulillah dapat juga menatap buku terbaharu yang penuh makna ini.

iii) Balik dari ITBM terus ke sate Samuri berdekatan di tepi Jalan Hulu Klang. Satenya enak, besar dan harga berpatutan.

iv) Dalam hujan rintik menuju ke stesen LRT Taman Melati. Destinasi tujuan untuk ke KLCC. Di KLCC tiada apa yang mampu dibeli. Semua harga mampu tengok.

v) UIA ambil Along. Membelah Banjaran Titiwangsa balik ke Pahang dalam hujan. Sesekali lebat, sesekali rintik dan sesekali teduh.


HUJAN RINTIK  DI KUALA LUMPUR

Selera tengkujuh masih belum reda
titik-titik hujan masih ghairah dan bernafsu
langit masih termenung jauh.

Dalam hujan rintik, di perut LRT
stesen demi stesen disinggahi dan ditinggalkan
seperti juga usia kita
singgah sekejap dan begitu pantas berlalu.

Kota ini seperti lazimnya
sendat dan sering keliru
semuanya menghambat waktu
berjalan laju tidak seperti rentak di kampungku.

Hujan masih belum sidang
ngeri mimpi semalam masih bernyawa.

Sahrunizam Abdul Talib
Bera, Pahang.
07-01-15





07 Januari 2015

MENUJU MASYARAKAT PENYAYANG

CATATAN 6-1-2015

i) Banjir telah surut sepenuhnya. Setelah air berengsot pergi, tibalah pula giliran selut mengambil tempat. Malahan masih terdapat rumah-rumah yang belum dapat dibersihkan kerana bekalan air paip masih belum dibekalkan. Ketiadaan bekalan air menyebaban mangsa banjir sukar untuk membersihkan rumah mereka. Bayangkan di dalam rumah selut boleh mencapai ketinggian hingga dua kaki. Jalan raya juga turut dipenuhi lumpur sehingga beberaa kali saya menyaksikan penunggang motorsikal tidak dapat mengawal kenderaan mereka akibat lumpur yang menyebabkan jalan licin. Apabila hujan sudah turun lagi nanti maka debu pula akan bertaburan. Mujurlah orang kampung tidak dilahirkan dalam dulang emas. Jika tidak sudah tentu ramai yang mendapat penyakit bawaan banjir.

ii) Saya sempat merakamkan suasana kampung-kampung di tepian Sungai Pahang selepas banjir, baik di Bera mahupun Temerloh. Jelas sekali kesan kemusnahan banjir pada tahun ini amat dahsyat sekali. Kelihatan di tepi-tepi jalan bertimbun barang-barang dan peralatan rumah yang musnah sama sekali. Hanya linangan air mata mangsa yang dapat menceritakan segala-galanya. Jelas wajah-wajah sugul dapat ditatap di mana-mana.

iii) Banjir juga membuktikan kemanusiaan masih hidup dan akan terus hidup. Terbukti masih ramai lagi masyarakat Malaysia yang prihatin akan nasib dan kesusahan orang lain. Banyak sekali kumpulan tiba tanpa henti menyumbangkan bantuan untuk para mangsa.

MENATAP WAJAH-WAJAH LUKA

Setelah kerongkong enggan bicara
maka wajah-wajah luka
menyimpan sejuta rahsia.

6-01-15







06 Januari 2015

MUSIBAH DI DALAM SELUT

Catatan 05-01-14

i) Banjir telah mulai surut. Air telah semakin hilang dihisap bumi. Matahari kembali garang menumpahkan sinarnya. Rumah-rumah yang berendam di sepanjang tepian Sungai Pahang sudah kembali timbul dan masih tegak, biarpun kesedihan masih bertakung di sana-sini.

ii) Pasca banjir 2015 agak luar biasa. Pengalaman merasai banjir  besar pada tahun 1988, 2007 dan 2014 tidak sama dengan pengalaman selepas banjir pada tahun ini. Selut yang luar biasa sekali di dalam dan luar rumah serta di atas jalanraya menceritakan tentang alam yang semakin sakit.

iii) Semalam bergotong-royong bersama keluarga membersihkan segala lumpur yang masih bersisa dan sangat tebal di luar rumah. Almari di bahagian atas rumah emak semua sekali tidak boleh digunakan lagi. Semua bahagian bawah dan kaki almari telah kembang.

iv) Menyusur sepanjang jalan di kampung halamanku, Kuala Triang menyaksikan satu pemandangan yang sangat menyentuh rasa. Sepanjang-panjang jalan kesan rumah ditenggelami air. Di hadapan rumah masing-masing beselerakan barang-barang yang rosak, pakaian yang dibuang dan bau lumpur yang menyerang hidung. Malahan masjid Kuala Triang masih lagi berstatus antara masjid terapung di negara kita.

MUSIBAH DI DALAM SELUT

Air mata beransur kering di kelopak
tapi pasti lama bertakung di hati.

Sesekali sungai yang setia
memuntahkan amarah
musibah pun tak memilih mangsa
ketika sang celaka memilih diam
di atas bukit istana agam.

Sahrunizam Abdul Talib
05-01-14





MELAKA DAN MUZIUM

Catatan 04-01-15


i) Bangun pagi, aku dan Akmal Hakeem sarapan di Cafe Hotel. Biasalah nasi lemak wajib ada. Soal sedap atau tidak, hal itu sangat subjektif sifatnya. Kami makan seadanya.

ii) Selepas semua bersiap, kami meninggalkan hotel dan singgah di sebuah warung masih di Banda Hilir kerana dua orang anak masih belum sarapan. Mereka masing-masing meminta nasi goreng dan mi hoon. Kedua-duanya berapi.

iii) Selepas sarapan kami menyedari betapa kami meletakkan kereta betul-betul di sebelah bekas penjara H.M Jail yang kini telah dijadikan sebagai muzium oleh pihak berkuasa penjara.  Penjara ini wujud semenjak 1860 lagi. Kami mengambil keputusan untuk masuk ke penjara berkenaan. Perasaan pertama ialah teruja dan sangat berdebar. Kami disambut oleh kakitangan penjara yang sentiasa senyum dan peramah. Mungkin mereka menyedari kami masuk ke sana bukannya dengan status banduan.

iv) Banyak pelajaran yang kami dapat sebaik sahaja selesai memasuki muzium penjara ini. Hal yang paling tidak boleh dilupakan ialah kami melihat dengan mata kepala sendiri bilik untuk menjatuhkan hukuman gantung, bilik banduan akhir yang berhadapan dengan bilik gantung, bilik hukuman sebat, sel penjara dan lokap tahanan. Semuanya mampu menegakkan bulu roma kami.

v) Sebelum keluar, kami melawat hasil seni para banduan yang dipamerkan disudut pameran. Ternyata ramai juga banduan yang memiliki bakat yang sangat luar biasa dalam dunia seni lukis. Ada diantara hasil mereka yang sangat mengkagumkan. Ternyata Melaka memang kaya dengan muzium. Semalam kami berkesempatan melawat Muzium Kapal Selam di Pantai Klebang.

vii) Selepas keluar penjara kami menaiki beca di Banda Hilir bagi meneruskan kembara keluarga. Kali ini  lokasi seterusnya ialah Pasar Karat Jonker Walk. Di Pasar Karat ini terdapat berbelas orang peniaga, majoriti Cina mempamer dan berdagang barangan antik dan lusuh mereka. Aku sempat membeli spek mata hitam dan 10 kotak mancis lama yang kebanyakannya berlogokan hotel di Singapura.

viii) Destinasi kami seterusnya ialah makan tengahari. Kami memilih makan tenghari di bahagian atas bazar jualan di Banda Hilir. Banyak pilihan makanan yang menarik dengan harga yang berpatutan. Pengalaman malam semalam, makan asam pedas di sebuah restoran terkenal dengan asam pedasnya mengajar kami erti berhati-hati. Aku terpaksa membayar RM115.00 untuk hidangan makan malam 5 beranak.

viiii) Selepas makan, kami segera menuju ke destinasi berikutnya. Pasar Karat Tanjung Gading Muar di lebuh AMJ. Terdapat dua tempat yang saling berdekatan menjual barangan antik, karat serta lusuh di sana. Di tempat yang pertama, aku dan isteri tidak membeli apa-apa. Tempat yang pertama merupakan sebuah bangunan kedai. Sementara tempat yang kedua ialah isteri membeli pelita minyak tanah, kole air tembaga, sebuah teko dan dua biji sudu. Sementara saya membeli biasalah sembilan buah buku sastera dans sejarah lama dengan harga RM 115.00. Boleh tahan juga harganya. Buku-bukunya ialah novel  Badai Sampai Sore karya Motingo Boesje (1967), kumpulan puisi Bunga Pahit oleh Masuri S.N (1967),novel Pesta oleh Hasan Ali  (1964), buku sastera Polemik  H.B Jasin (1972), kumpulan drama Atap Genting Atap Rumbia oleh Kala Dewata (1968) dan Dengan Air Mata Terbuka oleh Idrus (1961). Sementara terdapat 3 buah buku sejarah iaitu Asia Tenggara dengan Malaysia dan Singapura (1969) serta buku Sejarah Perlis dan Sejarah Terengganu oleh Haji Buyong Adil.


CATATAN DARI  DALAM TEMBOK

Melangkah ke dalam tembok  agam
ada gementar yang sengaja kusembunyikan
dingin segera membungkus tubuh
di sini pernah  ada warga yang terkepung
oleh dosa yang terkurung dalam jasad.

Tembok ini pasti tak mampu bercerita
hanya sel yang sepi termenung jauh
menakung kenangan yang dikongsi
bersama mereka yang pernah menjadi warga
conteng di dinding adalah saksi
yang sentiasa hidup untuk dibaca

Di ruang akhir ada kenangan yang berguling
imiginasi liar mengheret wajah sugul
air mata telah kering untuk meraikan kesedihan
malaikat maut semakin dekat dan rapat
esok buku hayat bakal ditutup untuk selamanya.

Sahrunizam Abdul Talib
Bera, Pahang
04-01-15






03 Januari 2015

MELAKA OH BECA

i) Banjir mulai surut. Namun tidak surut sepenuhnya. Masih banyak jalan yang terputus hubungan. Matahari terus tersenyum girang. Menjanjikan harapan yang juga cerah. Secerah matahari.

ii) Pagi ini kami mengambil keputusan 'melarikan' diri sekejap untuk ke Melaka. Melaka memang kreatif. Di Pantai Klebang, Dataran 1 Malaysia, berpuluh bas 'buruk' telah diubahsuai secara kreatif menjadi hotel yang dikenali sebagai Bustel. Selain itu beberapa buah bas yang lain telah diubahsuai menjadi restoran dan sebuah tandas. Di Melaka juga ada berpuluh muzium. Antara yang paling unik ialah Muzium Kapal Selam juga di Pantai Klebang.

iii) Di Banda Hilir, terdapat tempat-tempat tarikan pelancong seperti Jonker Walk, yang kaya dengan warisan dan kebudayaan kaum Cina. Satu tarikan Melaka yang saya kira tidak lagi ditemui di mana-mana tempat di Malaysia ialah beca berhias dan lengkap dengan sistem audio yang baik. Keistimewaan beca ini semakin terserlah pada waktu malam, di mana beca-beca ini dihiasi lampu pelbagai warna dan diiringi muzik.

pengayuh beca


mereka bijak menyembunyikan gundah hidup
sungguh hidup yang singkat tak memerlukan
rintihan yang panjang berjela.

setiap kayuhan adalah mata rezeki seisi keluarga
ketika kota terus menjolok langit.


03 januari 2014





02 Januari 2015

BANJIR: MUSIBAH DAN HIKMAH

i) Banjir mulai surut. Walaupun surutnya umpama gerak siput. Agak perlahan. Rumah mak dan abah masih tenggelam. Cuma lantai  atas sudah bebas air. Langit juga sudah cerah. Awan sudah berwarna putih. Inshallah esok barangkali ada khabar yang lebih bahagia.

ii) Seperti yang telah saya tulis di dalam facebook, pihak yang bertanggungjawab seharusnya memikirkan perancangan bagi meminimumkan musibah banjir yang kini hampir saban tahun berlaku.  Kerja-kerja mendalamkan sungai mesti dilakukan. Projek tebatan banjir mesti dibuat. Penanaman hutan di gunung ganang yang botak wajib dimulakan. Penempatan baharu bagi mangsa banjir yang terlalu kerap perlu diusahakan. Masa untuk menuding jari dan meratapi hukum alam tidak perlu lagi. Memang mangsa banjir perlukan selimut, mi segera, lilin dan air minuman. Namun itu bantuan jangka pendek. Sekarang ini rancangan jangka panjang yang rakyat ingin tahu.

iii) Hari ini mula perlahan-lahan menatap lembar buku. Buku pertama yang sedang diulit untuk 2015 ialah Perang Salib tulisan Prof. Dr. Ahmad Shalaby terbitan Pustaka Nasional Singapura,1983. Moga buku ini dapat memberi manfaat dalam usaha untuk lebih memahami tentang hal-hal seputar Perang Salib yang sering diperkatakan itu.

iv) Membeli sepohon bunga kertas yang kecil tetapi agak tua di nurseri milik Uncle Cina. Asas bonsainya sudah ada. Hanya memerlukan sedikit kreativiti untuk memotong dahan yang tidak perlu den serba menganggu. Minat kembali menghijau.

  
tikaman alam


alam tak punya pilihan
kesabaran bukannya lautan tanpa tepi
dalam diam alam memeram dendam
sesekali alam berbisik melepas gundah
tak siapa sudi meminjamkan telinga.

hari ini alam melepaskan tikaman
yang luka  seringnya yang tak berdosa
darahnya membuak membanjiri dada
yang lemas seringnya yang tak punya pilihan.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.

02 januari 2015







 














01 Januari 2015

2015

i- Hari pertama 2015. 2014 sudah terbenam di lembar sejarah. Daerah kecil kami masih dilanda musibah. Air bah begitu cepat datang, tetapi sangat lambat perginya.Rumah mak dan abah di kampung masih berendam. Hanya air mata yang berguguran di kelopak dada. Masuk hari ini sudah enam hari banjir mengepung pergerakan kami. Kaki perabot pasti sudah kembang. Mungkin bila-bila masa sahaja akan tumbang. Namun, mata hari di langit banyak menjanjikan kami harapan. Harapan yang bersinar secerah cahaya matahari. Moga kalian tabah kepada semua mangsa banjir di seluruh daerah kecil kami dan di seluruh negara.

ii- Selepas solat subuh, berkesempatan membuka facebook. Rupanya Sasterawan Negara Abdullah Hussain sudah dijemput Ilahi dalam usia yang sudah melebihi angka 90. Satu kesempatan hidup yang sangat panjang. Sudah ditakdirkan, Allahyaraham tidak berpeluang melihat terbitnya matahari di timur pada tahun 2015. Seorang pengarang pergi, maka ditinggalkan berjuta aksara di lembar berpuluh buku. Abdullah pasti sentiasa diingati dengan Interlok, Imam, Noni dan banyak lagi.

iii- Sedang melayari facebook seorang penulismuda  Kedah, Mohd Helmi Ahmad mengutus khabar di kotak mesej. Allhamdulillah. Hadiah tahun baharu yang sangat beerti. Kumpulan puisi kelima saya, Dari Pagi ke Diksi sudah diterbitkan dan sudah mula dijual di laman web ITBM. Terima kasih ITBM dan editor tiga buah kumpulan puisi saya dengan ITBM Encik Enche Abdullah.






2015

Matahari sulung kembali tersenyum
bagai menatang sedulang janji
musibah akan segera beredar
alam akan kembali kepada fitrah.

Andai kita terlupa alamlah pengingatnya
pengingat yang setianya tak diragukan
andai ada dosa kepada alam
segeralah mencari pintu untuk kembali
ke rumah insaf.

Terima kasih buat Tuhan
yang masih meminjamkan aku nafas
untuk aku melihat matahari kembali senyum
dan langit kembali dikuasai awan putih.

Sahrunizam Abdul Talib
Bera.
01-01-15