Catatan 04-01-15
i) Bangun pagi, aku dan Akmal Hakeem sarapan di Cafe Hotel. Biasalah nasi
lemak wajib ada. Soal sedap atau tidak, hal itu sangat subjektif sifatnya. Kami
makan seadanya.
ii) Selepas semua bersiap, kami meninggalkan hotel dan singgah di sebuah
warung masih di Banda Hilir kerana dua orang anak masih belum sarapan. Mereka
masing-masing meminta nasi goreng dan mi hoon. Kedua-duanya berapi.
iii) Selepas sarapan kami menyedari betapa kami meletakkan kereta
betul-betul di sebelah bekas penjara H.M Jail yang kini telah dijadikan sebagai
muzium oleh pihak berkuasa penjara. Penjara ini wujud semenjak 1860 lagi.
Kami mengambil keputusan untuk masuk ke penjara berkenaan. Perasaan pertama
ialah teruja dan sangat berdebar. Kami disambut oleh kakitangan penjara yang
sentiasa senyum dan peramah. Mungkin mereka menyedari kami masuk ke sana
bukannya dengan status banduan.
iv) Banyak pelajaran yang kami dapat sebaik sahaja selesai memasuki muzium
penjara ini. Hal yang paling tidak boleh dilupakan ialah kami melihat dengan
mata kepala sendiri bilik untuk menjatuhkan hukuman gantung, bilik banduan
akhir yang berhadapan dengan bilik gantung, bilik hukuman sebat, sel penjara
dan lokap tahanan. Semuanya mampu menegakkan bulu roma kami.
v) Sebelum keluar, kami melawat hasil seni para banduan yang dipamerkan
disudut pameran. Ternyata ramai juga banduan yang memiliki bakat yang sangat
luar biasa dalam dunia seni lukis. Ada diantara hasil mereka yang sangat
mengkagumkan. Ternyata Melaka memang kaya dengan muzium. Semalam kami berkesempatan
melawat Muzium Kapal Selam di Pantai Klebang.
vii) Selepas keluar penjara kami menaiki beca di Banda Hilir bagi meneruskan
kembara keluarga. Kali ini lokasi seterusnya ialah Pasar Karat Jonker
Walk. Di Pasar Karat ini terdapat berbelas orang peniaga, majoriti Cina
mempamer dan berdagang barangan antik dan lusuh mereka. Aku sempat membeli spek
mata hitam dan 10 kotak mancis lama yang kebanyakannya berlogokan hotel di
Singapura.
viii) Destinasi kami seterusnya ialah makan tengahari. Kami memilih makan
tenghari di bahagian atas bazar jualan di Banda Hilir. Banyak pilihan makanan
yang menarik dengan harga yang berpatutan. Pengalaman malam semalam, makan asam
pedas di sebuah restoran terkenal dengan asam pedasnya mengajar kami erti
berhati-hati. Aku terpaksa membayar RM115.00 untuk hidangan makan malam 5
beranak.
viiii) Selepas makan, kami segera menuju ke destinasi berikutnya. Pasar
Karat Tanjung Gading Muar di lebuh AMJ. Terdapat dua tempat yang saling
berdekatan menjual barangan antik, karat serta lusuh di sana. Di tempat yang
pertama, aku dan isteri tidak membeli apa-apa. Tempat yang pertama merupakan
sebuah bangunan kedai. Sementara tempat yang kedua ialah isteri membeli pelita
minyak tanah, kole air tembaga, sebuah teko dan dua biji sudu. Sementara saya
membeli biasalah sembilan buah buku sastera dans sejarah lama dengan harga RM
115.00. Boleh tahan juga harganya. Buku-bukunya ialah novel Badai
Sampai Sore karya Motingo Boesje (1967), kumpulan puisi Bunga Pahit
oleh Masuri S.N (1967),novel Pesta oleh Hasan Ali (1964), buku
sastera Polemik H.B Jasin (1972), kumpulan drama Atap Genting
Atap Rumbia oleh Kala Dewata (1968) dan Dengan Air Mata Terbuka oleh Idrus
(1961). Sementara terdapat 3 buah buku sejarah iaitu Asia Tenggara dengan
Malaysia dan Singapura (1969) serta buku Sejarah Perlis dan Sejarah
Terengganu oleh Haji Buyong Adil.
CATATAN DARI DALAM TEMBOK
Melangkah ke dalam tembok agam
ada gementar yang sengaja kusembunyikan
dingin segera membungkus tubuh
di sini pernah ada warga yang terkepung
oleh dosa yang terkurung dalam jasad.
Tembok ini pasti tak mampu bercerita
hanya sel yang sepi termenung jauh
menakung kenangan yang dikongsi
bersama mereka yang pernah menjadi warga
conteng di dinding adalah saksi
yang sentiasa hidup untuk dibaca
Di ruang akhir ada kenangan yang berguling
imiginasi liar mengheret wajah sugul
air mata telah kering untuk meraikan kesedihan
malaikat maut semakin dekat dan rapat
esok buku hayat bakal ditutup untuk selamanya.
Sahrunizam Abdul Talib
Bera, Pahang
04-01-15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan