08 Januari 2015

HIDUP INI TELALU SINGKAT

i) Tugas rasmi 2015 bermula hari ini. Tidak lama lagi rutin harian akan disendati pelbagai kerenah hidup. Tahun baharu, bermakna setahun lagi hayat kita berkurun. Setahun lagi usia kita bertambah.

ii) Berkesempatan menziarahi seorang rakan yang sakit dan sedang diuji. Hidup ini terlalu singkat.

iii) Hujan turun sepanjang hari. Matahari gagal sama sekali untuk tersenyum.


iv) Ruang Sastera BH bercerita tentang pengantarabangsaan karya. Kata tokoh, sastera kita semakin ketinggalan berbanding negara jiran yang sudah jauh mendahului kita.

v) Di suatu sudut, pemecatan pekerja atas alasan kesihatan sama sekali tidak dapat diterima oleh mana-mana akal yang masih waras. Bayangkan sewaktu sihat, tenaga diperas. Setelah sakit terus ditindas. Bayangkan apabila Pyanhabib dan Pak Ishak mula berang!


SALAM BUAT PEJUANG


Jalan yang telah lama kaulalui
kini adalah jalan mati.

Hidup ini teramat keras
dan kerap dimanipulasi penindas,
penindas sentiasa menyangka
mereka akan sentiasa berada di atas.

Demokrasi hanya megah di bibir
slogan hanya gah di manifesto lusuh
gelar dan sanjung melangit
mudah menghanyutkan perasaan.

Pejuang tetap pejuang
dunia masih terlalu luas
untuk engkau terus brnafas
kebebasan yang terpasung
akan bangkit melawan
dengan seluruh keazaman.

Sahrunizam Abdul Talib
Bera.
08-01-15











 

 



Tiada ulasan: