01 Januari 2015

2015

i- Hari pertama 2015. 2014 sudah terbenam di lembar sejarah. Daerah kecil kami masih dilanda musibah. Air bah begitu cepat datang, tetapi sangat lambat perginya.Rumah mak dan abah di kampung masih berendam. Hanya air mata yang berguguran di kelopak dada. Masuk hari ini sudah enam hari banjir mengepung pergerakan kami. Kaki perabot pasti sudah kembang. Mungkin bila-bila masa sahaja akan tumbang. Namun, mata hari di langit banyak menjanjikan kami harapan. Harapan yang bersinar secerah cahaya matahari. Moga kalian tabah kepada semua mangsa banjir di seluruh daerah kecil kami dan di seluruh negara.

ii- Selepas solat subuh, berkesempatan membuka facebook. Rupanya Sasterawan Negara Abdullah Hussain sudah dijemput Ilahi dalam usia yang sudah melebihi angka 90. Satu kesempatan hidup yang sangat panjang. Sudah ditakdirkan, Allahyaraham tidak berpeluang melihat terbitnya matahari di timur pada tahun 2015. Seorang pengarang pergi, maka ditinggalkan berjuta aksara di lembar berpuluh buku. Abdullah pasti sentiasa diingati dengan Interlok, Imam, Noni dan banyak lagi.

iii- Sedang melayari facebook seorang penulismuda  Kedah, Mohd Helmi Ahmad mengutus khabar di kotak mesej. Allhamdulillah. Hadiah tahun baharu yang sangat beerti. Kumpulan puisi kelima saya, Dari Pagi ke Diksi sudah diterbitkan dan sudah mula dijual di laman web ITBM. Terima kasih ITBM dan editor tiga buah kumpulan puisi saya dengan ITBM Encik Enche Abdullah.






2015

Matahari sulung kembali tersenyum
bagai menatang sedulang janji
musibah akan segera beredar
alam akan kembali kepada fitrah.

Andai kita terlupa alamlah pengingatnya
pengingat yang setianya tak diragukan
andai ada dosa kepada alam
segeralah mencari pintu untuk kembali
ke rumah insaf.

Terima kasih buat Tuhan
yang masih meminjamkan aku nafas
untuk aku melihat matahari kembali senyum
dan langit kembali dikuasai awan putih.

Sahrunizam Abdul Talib
Bera.
01-01-15








Tiada ulasan: