10 Januari 2015

BANJIR, AIR DAN KEZALIMAN

CATATAN 09/01/15

i) Banjir bukan sekadar mengirim air malahan lumpur dan selut. Meskipun air sudah lama surut, dugaan mangsa banjir masih bersambung. Kali ini bekalan air paip pula belum dibekalkan dengan sempurna oleh pihak PAIP yang hanya pintar dan cekap menaikkan taarif air. Implikasinya mangsa banjir sukar untuk membersihkan rumah masing-masing kerana air yang dibekalkan terlalu kecil.

ii) Rupanya kezaliman tidak pernah memilih warna, bendera dan slogan. Kezaliman ada di mana-mana. Di dalam jubah meleret, di dalam serban bertimbun di atas kepala dan sering juga bertenggek di wajah yang bersih dan kelihatan tanpa noda. Ya, kezaliman ada di mana-mana.

Puisi Orang-orang Kecil

Nasib manusa sering berbeza
yang bertuah dilahirkan dalam
dulang emas
yang malang dipusar hidupnya
dalam kitaran ganas.

Waktu ini hidup tak punya pilihan
manusia hanya berserah
selainnya akur pada ketentuan
yang telah dikepung takdir.

Orang-orang kecil kerap diduga
namun mereka juga tak punya daya
untuk menongkah dugaan.

Hidup adalah kesempatan
ramai yang licik dan sedikit yang pintar
akan terlepas dari hukum alam.

Selebihnya kitaran ganas akan
menghukum mereka
untuk mengendong sengsara
sepanjang lorang hayat.

09-01-10






Tiada ulasan: