CATATAN 6-1-2015
i) Banjir telah surut sepenuhnya. Setelah air berengsot pergi, tibalah pula giliran selut mengambil tempat. Malahan masih terdapat rumah-rumah yang belum dapat dibersihkan kerana bekalan air paip masih belum dibekalkan. Ketiadaan bekalan air menyebaban mangsa banjir sukar untuk membersihkan rumah mereka. Bayangkan di dalam rumah selut boleh mencapai ketinggian hingga dua kaki. Jalan raya juga turut dipenuhi lumpur sehingga beberaa kali saya menyaksikan penunggang motorsikal tidak dapat mengawal kenderaan mereka akibat lumpur yang menyebabkan jalan licin. Apabila hujan sudah turun lagi nanti maka debu pula akan bertaburan. Mujurlah orang kampung tidak dilahirkan dalam dulang emas. Jika tidak sudah tentu ramai yang mendapat penyakit bawaan banjir.
ii) Saya sempat merakamkan suasana kampung-kampung di tepian Sungai Pahang selepas banjir, baik di Bera mahupun Temerloh. Jelas sekali kesan kemusnahan banjir pada tahun ini amat dahsyat sekali. Kelihatan di tepi-tepi jalan bertimbun barang-barang dan peralatan rumah yang musnah sama sekali. Hanya linangan air mata mangsa yang dapat menceritakan segala-galanya. Jelas wajah-wajah sugul dapat ditatap di mana-mana.
iii) Banjir juga membuktikan kemanusiaan masih hidup dan akan terus hidup. Terbukti masih ramai lagi masyarakat Malaysia yang prihatin akan nasib dan kesusahan orang lain. Banyak sekali kumpulan tiba tanpa henti menyumbangkan bantuan untuk para mangsa.
MENATAP WAJAH-WAJAH LUKA
Setelah kerongkong enggan bicara
maka wajah-wajah luka
menyimpan sejuta rahsia.
6-01-15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan