10 Januari 2016

VAPE

SAYA bukan pencandu vape. Tidak juga rokok, shisha, cerut, paip dan speisis yang sejenis dengannya. Saya benci dengan asap vape yang sesekali dihembuskan secara berkepul-kepul ke muka saya sewaktu saya sedang khusyuk menikmati sarapan nasi berlauk di warung Mek.m

Saya juga bukan peniaga vape. Saya juga tidak pernah menjejakkan kaki ke mana-mana premis perniagaan vape. Saya hanya meminjamkan mata melihat premis vape yang tiba-tiba tumbuh subur bagai kulat taun selepas hujan.

Saya juga tidak menggemari kebanyakan premis vape yang mengabdikan bahasa Inggeris pada kebanyakan nama perniagaan mereka. Saya cuma bersangka baik. Barangkali peniaga vape di Malaysia ini semuanya Mat Saleh dan perniagaan ini juga disasarkan kepada pelanggan Inggeris.

Saya juga tidak senang jika mengetahui tiga orang anak teruna saya menjadi pencandu vape. Moga dijauhkan oleh Tuhan akan hal ini. Seperti juga halnya saya tidak menyukai keturunan saya menjadi hamba kepada asap rokok.

Namun, saya sedikit terkilan dengan kaedah tergesa- gesa dalam menangani dan langsung mengharamkan perniagaan vape. Bagi saya matlamatnya sangat suci tetapi kaedah perlaksanaannya sedikit tercemar. Sewajarnya peniaga kecil ini diberikan sedikit waktu. Modal dilabur bukan kecil.

10:01:16

Tiada ulasan: