24 Mac 2014

daun-daun merah

inilah harga pada sebuah setia
yang diwarisi dari generasi ke generasi
daun-daun merah luruh digoreng matahari
pohon-pohon yang dahaga
dan bagai enggan menyusukan rezeki.

tiada siapa yang peduli
pada sebuah gelisah milik kalian
di dewan-dewan penuh kemuliaan
dengan tali leher yang bergantungan
dan sut membungkus segala bangga
mereka lupa pada sebuah setia.

tiada sepatah pembelaaan
tiada sepatah harapan
tiada sepatah ingatan
di sana bicara mereka semakin liar
sesekali bertempik untuk mulut
sesekali berteriak untuk perut
dan banyak berfikir dengan lutut.

pada suatu hari selepas subuh
matahari sebentar lagi tersenyum
di tanah sepetak kecil pusaka
kalian terduduk dan hanya mampu
membilang daun-daun merah
yang gugur sehelai demi sehelai.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
24 mac 2013

Tiada ulasan: