02 Januari 2015

BANJIR: MUSIBAH DAN HIKMAH

i) Banjir mulai surut. Walaupun surutnya umpama gerak siput. Agak perlahan. Rumah mak dan abah masih tenggelam. Cuma lantai  atas sudah bebas air. Langit juga sudah cerah. Awan sudah berwarna putih. Inshallah esok barangkali ada khabar yang lebih bahagia.

ii) Seperti yang telah saya tulis di dalam facebook, pihak yang bertanggungjawab seharusnya memikirkan perancangan bagi meminimumkan musibah banjir yang kini hampir saban tahun berlaku.  Kerja-kerja mendalamkan sungai mesti dilakukan. Projek tebatan banjir mesti dibuat. Penanaman hutan di gunung ganang yang botak wajib dimulakan. Penempatan baharu bagi mangsa banjir yang terlalu kerap perlu diusahakan. Masa untuk menuding jari dan meratapi hukum alam tidak perlu lagi. Memang mangsa banjir perlukan selimut, mi segera, lilin dan air minuman. Namun itu bantuan jangka pendek. Sekarang ini rancangan jangka panjang yang rakyat ingin tahu.

iii) Hari ini mula perlahan-lahan menatap lembar buku. Buku pertama yang sedang diulit untuk 2015 ialah Perang Salib tulisan Prof. Dr. Ahmad Shalaby terbitan Pustaka Nasional Singapura,1983. Moga buku ini dapat memberi manfaat dalam usaha untuk lebih memahami tentang hal-hal seputar Perang Salib yang sering diperkatakan itu.

iv) Membeli sepohon bunga kertas yang kecil tetapi agak tua di nurseri milik Uncle Cina. Asas bonsainya sudah ada. Hanya memerlukan sedikit kreativiti untuk memotong dahan yang tidak perlu den serba menganggu. Minat kembali menghijau.

  
tikaman alam


alam tak punya pilihan
kesabaran bukannya lautan tanpa tepi
dalam diam alam memeram dendam
sesekali alam berbisik melepas gundah
tak siapa sudi meminjamkan telinga.

hari ini alam melepaskan tikaman
yang luka  seringnya yang tak berdosa
darahnya membuak membanjiri dada
yang lemas seringnya yang tak punya pilihan.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.

02 januari 2015







 














01 Januari 2015

2015

i- Hari pertama 2015. 2014 sudah terbenam di lembar sejarah. Daerah kecil kami masih dilanda musibah. Air bah begitu cepat datang, tetapi sangat lambat perginya.Rumah mak dan abah di kampung masih berendam. Hanya air mata yang berguguran di kelopak dada. Masuk hari ini sudah enam hari banjir mengepung pergerakan kami. Kaki perabot pasti sudah kembang. Mungkin bila-bila masa sahaja akan tumbang. Namun, mata hari di langit banyak menjanjikan kami harapan. Harapan yang bersinar secerah cahaya matahari. Moga kalian tabah kepada semua mangsa banjir di seluruh daerah kecil kami dan di seluruh negara.

ii- Selepas solat subuh, berkesempatan membuka facebook. Rupanya Sasterawan Negara Abdullah Hussain sudah dijemput Ilahi dalam usia yang sudah melebihi angka 90. Satu kesempatan hidup yang sangat panjang. Sudah ditakdirkan, Allahyaraham tidak berpeluang melihat terbitnya matahari di timur pada tahun 2015. Seorang pengarang pergi, maka ditinggalkan berjuta aksara di lembar berpuluh buku. Abdullah pasti sentiasa diingati dengan Interlok, Imam, Noni dan banyak lagi.

iii- Sedang melayari facebook seorang penulismuda  Kedah, Mohd Helmi Ahmad mengutus khabar di kotak mesej. Allhamdulillah. Hadiah tahun baharu yang sangat beerti. Kumpulan puisi kelima saya, Dari Pagi ke Diksi sudah diterbitkan dan sudah mula dijual di laman web ITBM. Terima kasih ITBM dan editor tiga buah kumpulan puisi saya dengan ITBM Encik Enche Abdullah.






2015

Matahari sulung kembali tersenyum
bagai menatang sedulang janji
musibah akan segera beredar
alam akan kembali kepada fitrah.

Andai kita terlupa alamlah pengingatnya
pengingat yang setianya tak diragukan
andai ada dosa kepada alam
segeralah mencari pintu untuk kembali
ke rumah insaf.

Terima kasih buat Tuhan
yang masih meminjamkan aku nafas
untuk aku melihat matahari kembali senyum
dan langit kembali dikuasai awan putih.

Sahrunizam Abdul Talib
Bera.
01-01-15








18 November 2014

kata yang berselerakan

setelah puas dikepung waktu
diburu gelisah hidup
aku kembali mencari kata
kata yang beselerakan
di dalam diri sendiri.

aku kembali ke kampung ini
kampung tangis pertamaku
kampung yang jauh dari riuh
tempat aku menunggu fajar
dan menghantar senja pulang.

setelah jauh diseret  usia
aku kembali mencari kata
kata yang berselerakan.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
18 november 2014