18 November 2014

kata yang berselerakan

setelah puas dikepung waktu
diburu gelisah hidup
aku kembali mencari kata
kata yang beselerakan
di dalam diri sendiri.

aku kembali ke kampung ini
kampung tangis pertamaku
kampung yang jauh dari riuh
tempat aku menunggu fajar
dan menghantar senja pulang.

setelah jauh diseret  usia
aku kembali mencari kata
kata yang berselerakan.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
18 november 2014




02 Ogos 2014

jiwa tertawan

ketika malam tiba dan kami tertidur
kalian masih di sana membidik peluang
dalam selirat muslihat  dan simpulan hajat
perlahan-lahan seorang demi seorang

tertawan jiwanya dalam penjara seteru.

masa lampau kian kelam dalam ingatan
lubang sejarah yang mencipta musibah
semakin  kabur oleh gamit kedudukan
dalam senja merah kalian telah tertawan
oleh pujukan yang tak pernah diam
menggoda kewarasan juga iman.


sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
02 ogos 2014


 
 


01 Ogos 2014

yang berdarah kita semua

gelar yang bertenggek di pangkal namamu
tidak sama sekali mencerminkan akalmu.

pada sekujur jasadmu,  yang berkuasa lidah
yang tohor akalmu, yang dalam kejahilan.

jika itu matlamatnya, namamu menjulang
meski julang itu  mudah sekali mengajak padah.

di antara peluru dan bunga, yang kau pilih peluru
perlahan-lahan kaulepaskan peluru.

yang tertembak, temanmu sendiri.
yang berdarah, kita semua.

sahrunizam abdul talib
bera
01/08/2014


31 Julai 2014

di tengah permainan ini

usia dan pengalaman
yang bergayut di bahumu
tak pernah menjadikan
engkau seorang dewasa.

di tengah permainan  ini
engkau hanyut di kali mimpi
hanya kerana goda  rasa
engkau tewas berkali-kali.

mulutmu bergerak pantas
mendahului akal  waras
gelar di pangkal namamu
simbol bertenggek di kepalamu
hanya membebankan dirimu.

di tengah permainan ini
engkau lemas ditikam bayang.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
31 julai 2014



13 Julai 2014

kota itu mereka punya

kota bersih dan indah itu
kota taman-taman untuk para dewa
di sana ada tasik dan kolam
tempat dewa-dewa berseronok
dan bersiram.

kau gelandangan,
kau kutu jalanan,
kau pengemis,
kau pelukis grafiti,
kau setinggan dan
kau peneroka tanah
kau hanya perlu berdiri di sana
lihat di sana ada tanda
dilarang masuk dicacakkan
oleh para pengampu,
perasuah,
penjilat,
pendusta,
perompak
dan penyeluk saku negara.

baumu yang busuk bakal
mencemarkan udara kota yang nyaman.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
13 julai 2014





01 Jun 2014

nikmat jalan ini

bagi yang berhati lembut
hukuman ini terlalu keras
namun semua percaya
sekali kakimu di pentas
tidak tunduk kau pada ugut.

hidup terlalu indah
namun kerap juga berhelah
semalam kau terjatuh
dan mungkin juga parah
meski tersembunyi di wajah
segala bergetar dalam sejarah.

nikmatilah jalan itu
jalan yang telah kaupilih
meski hari ini namamu tersisih
esok pasti kaulupakan segala pedih.

sahrunizam abdul talib
1 jun 2014
bera

05 Mei 2014

kerana kau hanyalah engkau

kerana kau hanyalah engkau
dan bukannya siapa-siapa
engkau diamlah di sana
bermain dengan diksi
sambil menatap langit
yang sesekali keruh
dan sesekali jernih.

lupakan pada  kerdip lampu
yang melimpah
dan gamat tepuk
yang menjajah
terkadang riuh hanyalah
bahasa resah
milik mereka yang
kerap tercicir diksi.

tidak mengapa
kembalilah engkau ke dalam diri
pujuklah resah berombak
sesekali menatap langit
pasti ada bulan yang
bakal tersenyum nanti.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
05:05:14


24 April 2014

kembali menatap diri

di antara ribuan pengarang
dan jutaan aksara

aromanya kian gelora
dalam bingit suasana
dan gegak  dunia
dengan diam aku kembali 
sendiri menatap diri.

di antara ribuan nasi
antah juga di periuk.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
240414

21 April 2014

lidah, lidah dan lidah

di lidahmu ada bijaksana
di lidahmu jua ada kejahilan
sesekali tergelincir
aibnya terpercik ke wajah.

lidah tak kenal darjah ilmumu
lidah tak kenal tingkat dudukmu
lidah lembut bak belut
dunianya, dunia selut.

jika lidah bijaksana
jauh hidup dari merana.

sahrunizam abdul talib
bera
21-04-14

18 April 2014

duri di kaki

sebuah perjalanan panjang
tiba jua di titik akhir
peralihan hari juga
adalah peralihan alam
sekian lama engkau
meraikan perbezaan
hari ini mereka
menangisi pemergian.

kesempatan hidup
biarlah diberikan makna
jalan itu telah kaupilih
sesekali duri di kaki
tak pernah mematikan hati.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
180414









 

15 April 2014

dari senja ke senja

senja tiba dalam diam
merayap dalam senyap
aku masih di bangku ini
menatap keruh wajah langit
burung-burung seakan terlupa
jalan pulang ke sarang.

sesekali  guruh bertengkar
langit tetap membisu
seakan tiada jawapan
pada sekian banyak pertanyaan
yang sesekali dilontar
sesekali dikutip kembali.

sebentar lagi malam bakal tiba
rintih suara hujan di bumbung
alam mulai direbut gelita
bersatu dalam senyap.

yang pasti saat itu kian dekat.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
15 april 2014










12 April 2014

muzik alam

muzik alam kembali berputar
sebaik malam perlahan beredar
burung-burung riuh bernyanyi
bercerita tentang panda, golf dan antartika.

suara burung jernih dari nurani
tiada keruh fitnah atau keladak tohmah
saat mulut manusia menurut perintah perut .

sahrunizam abdul talib
12 april 2014
bera





05 April 2014

memburu sejalur cahaya

hari demi hari
minggu demi minggu
bulan demi bulan
tahun demi tahun
kami menonton
dan akhirnya muak
dengan bacul
yang tersimpan
di saku kuasa tuan.

kami juga belajar
tentang mata hukum
yang tersihir oleh
darjat juga
keturunan.

dalam gelap
terowong
kami masih
memburu sejalur
cahaya.

sahrunizam abdul talib
bera.
05/04/2014

27 Mac 2014

zaman meniti zaman

pegangan dan perjuangan
banyak menuntut dari memberi
sekali teguh percaya
selamanya tak mungkin goyah
hanya kerana ugut hukuman
selebihnya kalian lebih yakin
mati hanya sekali.

nil bakal merah dan melimpah
darah syuhada banjirnya
menenggelamkan rasa pencinta
sedang kalian lebih merindui
harum kasturi di syurga abadi.

zaman meniti zaman
sirah sentiasa hidup di lembar
tahrir tampil menjadi saksi 
hukum upaya membunuh jasad
tapi selamanya gagal menundukkan
kepercayaan.

sahrunizam abdul talib
27 mac 2014





24 Mac 2014

daun-daun merah

inilah harga pada sebuah setia
yang diwarisi dari generasi ke generasi
daun-daun merah luruh digoreng matahari
pohon-pohon yang dahaga
dan bagai enggan menyusukan rezeki.

tiada siapa yang peduli
pada sebuah gelisah milik kalian
di dewan-dewan penuh kemuliaan
dengan tali leher yang bergantungan
dan sut membungkus segala bangga
mereka lupa pada sebuah setia.

tiada sepatah pembelaaan
tiada sepatah harapan
tiada sepatah ingatan
di sana bicara mereka semakin liar
sesekali bertempik untuk mulut
sesekali berteriak untuk perut
dan banyak berfikir dengan lutut.

pada suatu hari selepas subuh
matahari sebentar lagi tersenyum
di tanah sepetak kecil pusaka
kalian terduduk dan hanya mampu
membilang daun-daun merah
yang gugur sehelai demi sehelai.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
24 mac 2013

23 Mac 2014

senyum matahari

matahari tiba dengan senyuman
langsir alam perlahan diselak
siang ahad menerima amanah
sejarah sekejap lagi bakal tertulis
setelah matahari pulang ke sarang
antara dua, seorang dijulang menang.

pensel, peti dan dakwat
menjadi pelengkap sebuah demokrasi
suara rakyat tumpah di kertas
sebuah kerusi di dewan berdebar
menanti pemilik tanggungjawab.

antara tanggungjawab dan harapan
rakyat bebas menentukan pilihan.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
23 mac 2014












tewas adalah guru

hidup ini tak selalunya di atas
sesekali engkau pasti tewas
dan  belajar menelan pahit
setelah lama kau teguk manis.

meski arenanya negeri lahirmu
itu bukan pasport
untuk kau lolos menjejak podium
dan girang senyum bersama piala.

dalam pertempuran ini
seteru pasti tak diam
sesekali alpa menghurung aksi
selamanya perit menikam rasa.

biarkan air matamu tumpah
lebat hujan pasti membasuh tebing
biarkan kenangan berlumpur
dihanyut arus deras
untuk sebuah matahari esok.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
23 mac 2014

17 Mac 2014

hidup selalunya keras

bijaksana di kertas
tak bermakna engkau juga
cendekiawan di pentas.

hidup selalunya keras
untuk mereka yang
sering kehilangan waras.

dalam jerebu
membiak tanda soal
membungkus akal.

hidup sebenarnya simpang
tanpa papan tanda
dan tunjuk arah.

tanpa penobatan
wang adalah Tuhan
yang sentiasa di atas.


sahrunizam abdul talib,
bera, pahang.
17 Mac 2014









12 Mac 2014

rahsia tuhan

seluruh dunia termangu dan keliru
rindu sesekali turun bagai lebat hujan
dan titisnya bertakung di pipi.

dalam sebuah kehilangan
ada teka-teki panjang
semakin dicari,
semakin misteri.

saat gundah membarah
sumbang suara membingit
degarnya menjolok langit.

huruf demi huruf
di sebaliknya ada rahsia
rahsia langit
dan rahsia Tuhan.

sahrunizam abdul talib
bera.
12-03-14








 

08 Mac 2014

sejarah

sejarah tetap sejarah
dicatat atau dibiarkan
pergi bersama masa
datang penuh makna.

sejarah takkan berulang
setiap peristiwa hanya sekali
datang untung dikenang
pergi dan dilupai.

sejarah adalah universiti
tanpa bangku dan dewan kuliah
hanya penuntut yang bijaksana
akan memungut hikmah.

sejarah adalah sebahagian kita
di tangan kita ada pilihan
mencipta sejarah atau
menjadi bahan sejarah.

setiap saat adalah sejarah
semalam satu lagi sejarah
esok pasti ada sejarah.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
08 mac 2014


07 Mac 2014

malam ini bulan tenggelam

kata menjadi teramat mahal
saat penyair memilih diam
sedang di sana pemabuk kata
sedang berdansa dalam pesta
malam ini benar
bulan telah tenggelam.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
070314

02 Mac 2014

BERMAIN DENGAN LAUT

berpuluh tahun engkau di sana
bermain dengan laut
sesekali ribut menerpa
sesekali ombak menduga
sesekali bahterapun bocor
namun hingga saat ini
engkau masih di sana
meski busana yang kausarung
jelas berbeza namun
bahteranya masih serupa.

emgkau masih di sana
berkawan denga laut
meski sesekali kudrat renta dicabar
namun kau masih memimpin debar.

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang.
02 Mac 2014

21 Februari 2014

tersesat jalan pulang

meski berpuluh tahun dipinjamkan usia
ternyata engkau belum menjumpai
jalan pulang yang sebenar.

ternyata usia hanyalah angka
usia juga hanyalah kedut di kulit
dan subur putih di rambutmu.

setelah sekian lama tidak berkocak
tasik tenang ini kembali dilontar batu
oleh tanganmu yang masih belum
menjumpai jalan pulang.

meskipun akalmu dikepung kebebalan
namun masih ramai yang mahu
menjadi pengekor jahilmu.

usia yang bersisa kaubelanjakan
dengan lidahmu yang angkuh
enggan menurut jalan Tuhan.

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
21 februari 2014

16 Februari 2014

benarlah kata bijaksana

berpuluh tahun bahumu
mengandar beban itu
engkau masih belum jemu
untuk duduk berlama di sana.

benarlah kata bijaksana
sekali kuasa di genggam
selamanya dendam
tak pernah padam.

dari hitam rambut
ke uban yang subur
dari lutut tegang
ke tingkahmu kendur
engkau masih berselera
menyantap saji dunia.

benarlah kata bijaksana
siasah jarang menawarkan
jawapan pada sebuah
pertanyaan.

sahrunizam abdul talib
16 februari 2012

09 Februari 2014

selamat pagi kataku

dalam debar ada cakar
dalam cakar ada tengkar
dalam tengkar ada debar.

dunia berulang-alik
di antara sejarah gelisah
dan semalam yang resah.

sesekali kita berkongsi
cerita yang lukanya
kian dalam dan tajam.

selamat pagi kataku.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
09 februari 2012

08 Februari 2014

keruh langit selatan

malam ini langit selatan kembali keruh
bintang-bintang seperti enggan berkerdip
sebutir dua  gugur menggeliat di rumput
meski setompok cahaya masih bersisa
kalian gelisah menjolok mimpi palsu.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
08 januari 2014


01 Februari 2014

tanda tanya

apabila detiknya tiba
seperti juga undangan malaikat maut
engkau harus beredar tanpa berpeluang
untuk menangguhkan walaupun sesaat.

tiada lagi rayuan atau sedu-sedan
masa lalu hanyalah kenangan silam
yang sifar erti buat mereka .

dunia yang sedang engkau diami
dunia  yang penuh tanda tanya
sedikit alpa masa hadapan bakal gelita.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
01 februari 2014








28 Januari 2014

pelahap angka

selagi bibirmu masih mampu bergetar
kau boleh mengolah sejuta helah
dalih untuk menghalalkan pincang tindak
saat dunia tersenyum sinis lantas
hilanglah segala yang manis.

seorang pelahap angka sepertimu
terlalu bijak bermain bahasa bibir
ketika masih ramai yang  tertidur
engkaulah wira di sukma mereka
yang bertali-temali panjang dan jauh.

pada suatu pagi yang resah
engkau sumbatkan angka ke mulutmu
ketika masih ada yang hanya mampu
bersarapan dengan menelan air liur basi.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
280114




kulepaskan engkau ke laut

hari ini engkau bukan lagi anak seluang
kulepaskan engkau ke laut
di sana nanti belajarlah
mengenal ragam laut
ombak yang  ghairah berlari
pantai yang diam berfikir
musim yang bertukar ganti
ribut yang menguji
karang yang jelita
dan seluruh warga laut.

meski telah berada di laut
sesekali kenanglah kembali
pada manisnya waktu saat
kau masih bergelar seluang.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
280114




12 Januari 2014

setelah lapan tahun

lapan tahun bumi enggan
menyambut jasad rentamu
nyawamu tersangkut di halkum
di atas ranjang musibah
engkau terlantar kejang
dikepung bayang hitam
masa silammu.

bumi akhirnya patuh pada
perintah Tuhan
dan namamu pasti diludahi
dalam nestapa jauh
sebuah duka bernama Palestina.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
120114

10 Januari 2014

dalam debar

petang di sana berdebar rasa
semalam kita berkongsi denyut jantung
dalam teka-teki takdir
ada cerita yang berbeza.

sahrunizam abdul talib
bera
100114




matahari tertidur

wajah alam kembali muram
awan mengirimkan hujan
ke bumi tanpa alamat dan
poskod.

matahari tertidur
barangkali kepenatan
setelah sepanjang tahun
memuntahkan sinar.

bumi mana yang tak basah
hati mana yang tak gundah.

sahrunizam abdul talib
bera
100114

05 Januari 2014

catat di senja cacat.

janji, manisnya dihumban
segalanya berterabur menjadi
kerikil di jalanan.

dunia sama rata telah pecah
bagai air empangan
di hujan lebat.

kitar dunia
seperti buai berpusing
di tapak pesta.

untuk terus  di sana
kau mesti taat
untuk menjadi hamba jenama.

bajumu, tali lehermu, keretamu
barangkali juga seluar kecilmu
harus nombor satu.

dalam samar senja
benar aku telah diratah detik
kanan dan kiri telah serupa
atas dan bawah tiada beza.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
05 januari 2014

 

01 Januari 2014

sifar jiwa

merdeka hanyalah sepotong kata
kosong makna sifar jiwa.

suburnya menghijau di bibir
tapi kendur layu di hati.

ketakutan cumalah bayang
yang datang bersama malam.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
01 Januari 2014