telah gugur seekor helang
yang dongaknya sentiasa ke langit
sayapnya mengimpi awan
paruhnya tak henti mematuk
dan kerongkongnya sentiasa bergetar
kagumnya sentiasa pada kepak,
paruh dan kerongkong yang dimiliki.
membidik masa lalu
helang tak pernah bermain di ranting
seperti merbah yang setia
dongak helang sentiasa ke langit
dan sayapnya mengimpi awan.
kerongkongnya sentiasa bergetar
di hadapan lensa kepaknya semakin ligat
kerongkongnya sentiasa begetar
dongaknya sentiasa ke langit
helang baginya bukan belatuk ataupun
enggang.
tapi helang selalu lupa pada angin
helang juga selalu lupa pada cuaca
pada angin yang kencang
dan cuaca yang berubah
kerongkong helang sentiasa bergetar
bisanya meracun kawan
tetapi madu buat lawan.
helang lupa pada alam yang ditumpang
helang lupa pada rumput, pada ranting
dan pada pohon yang pernah ditenggeknya
kerongkong helang sentiasa bergetar
kerana kerongkongnya pernah menjadi
lombong emas suatu ketika dahulu.
helang tetaplah helang
dia bukan merbah, tekukur atau belatuk
dongaknya sentiasa ke langit
tempatnya bukan di ranting,
di sangkar rotan mahupun di batang buruk.
kerongkong helang tetap bergetar
meskipun sayapnya
dan jasadnya telah kembali ke tanah
kelmarin.
sahrunizam abdul talib
bera
100112
2 ulasan:
Salam ziarah Tuan.
Terima kasih Sdr Helmi. Moga terus prolifik
Catat Ulasan