30 November 2013

buat lid

waktu tetap berputar selagi matahari beredar
dari bangku penonoton kami hanya mewakilkan diam
tanpa jerit pekik hatta syahdu berbisik
kami pilih diam tabah menjinak rasa
daripada gelisah menternak suara.

sahrunizam abdul talib
bera.pahang
30-november-2013






Akhirnya engkau keluar dari gua

lontar suara dan pintar lakonmu
akhirnya pecah malam tadi di udara
hanyirnya menembak hidungku.

telah kubaca dari mula
riak wajahmu dan galak iramamu
tak pernah memaut rasaku.

setelah lama memilih dusta
engkau akhirnya keluar dari gua
menyarung bajumu sendiri.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
30 Nov 2013






23 November 2013

menyerahkan hak

tajam duri tajam lagi dugaan
sesekali tubuhmu tembus tertusuk
darahnya mengalir menjadi semangat
di balik dinding batu
jasadmu pernah membeku
namun tidak sesekali hatimu.

di jalan-jalan namamu dijulang
meski namamu gagal dihantar ke dewan
itu bukanlah alasan untuk langkahmu
terhenti setengah jalan.

di tengah-tengah marhaen engkau diingati
di dalam darahmu tidak ada darah bangsawan
yang bakal melekakanmu dengan kedudukan.

petang yang manja ini namamu kembali di atas
menyerahkan  hak kepada yang berhak .

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
23-november-2013


catatan di muktamar

selain bakat dan ketokohan
ini dunia penuh pertanyaan
sedikit sekali orang berfikir
sedikit lagi orang menilai.

dunia ini dunia persaingan
bakat dan ketokohan
bukanlah seluruh jawapan
andai legasimu teramat kabur.

di sini semuanya mahu ke atas
tangga dan lif antara pilihan
tewas, usah salahkan keturunan
resam politik sejuta mungkin



sahrunizam abdul talib
23-november-2013
bera



20 November 2013

musim bertempur

esok musim bertempur
cerah matahari, cerah lagi matamu
yang memisahkan hanyalah
kecil perbezaan sedang persamaan
dituntut untuk meneroka masa depan.

bijaksana bukan sekadar perlu
saat menghunus pedang tapi juga mustahak
tika menepis serang.

berkata-kata itu bijak andai
yang terlantun emasnya
tapi dungu andai disambut seteru
sebagai peluru.

di dahimu dan dahiku
ada grafiti yang dilukis tangan-tangan nakal
bijaksana cuma dapat memadamkannya.

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang.
20 november 2013








qatar

di tanahairku tiba-tiba namamu
di bibir semua.

di padang bola ada tragedi berdarah
harimau malaya ditikam bertalu-talu
dan kini dikabarkan menunggu detik
malaikat maut merangkul pinggangnya.

di sidang siasah ada tindak goyah
seorang menteri diserang bertubi-tubi
dan kini diberitakan sedang melatah
memaksa rakyat melafazkan terima kasih.

di padang bola ada raja  berambut putih
di  dewan siasah muncul permaisuri berambut kembang.

qatar, qatar, qatar.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
20 nov 2013



terima kasih

selain terima kasih
ucap apakah lagi yang manis
untuk dilahap olehmu?

ketika tabung arnab pecah berderai
bergelimpangan hanyalah kaca
dan berdarah hanyalah hati.

di celah bintang berkerdip
engkaulah musim
yang mengendong awan hitam.

sahrunizam abdul talib
bera,
pahang.
20-november-2013



12 November 2013

di tubuhmu darah muda mengalir

pada jiwa muda
di dadamu ada nyala bara
kau memilih ruang terbuka
ketika punya peluang bersemuka.

di hadapan ramai
antara dungu dan cerdik
kau pilih jalan mengherdik.

sahrunizam abdul talib
bera
121113




11 November 2013

jalan itu telah kaupiih

telah kaupilih jalan itu
jalan yang bersimpang
biarpun akal sesekali bertempik
namun suaranya dimamah angin jua.

sengaja kauhambat kedudukan
ketika abu bakar gerun padanya.

06 November 2013

pada malam rusuh

ketika pilihan seluas alam
kau pilih  menjadi penipu
nafsumu yang selaut menewaskan
akalmu yang sejemput.

pada malam  rusuh
kau terbalikkan angka
yang kecil menjadi raksasa
yang besar menjadi hama.

gelita malam benar-benar menjadi alibi.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
06 november 2013

israel kecil di belakang rumahku

dia bukan bangsa penjajah
seperti yang diseranah sejarah
tapi dia israel kecil yang tak pernah puas
melebarkan haram wilayah.

kelmarin dia membina kembali
kesombongan dengan tajam jeriji.

benarlah akal tak dapat disukat
pada putih kopiah.


06 november 2013
bera, pahang.