31 Disember 2011

menanti gugurnya angka terakhir

satu
demi
satu
gugur.

menanti
angka
terakhir
gugur.

gugur
dan
gugur.

g
u
g
u
r.

sahrunizam abdul talib
bera
31 dis 2011

24 Disember 2011

menanti cerah

di luar kamar, mendung terapung di langit
hujan sesekali berbisik dan sesekali menjerit
wajah tengkujuh pantai timur sesekali beriak
tenang dan sesekali berombak garang.

di dalam kamar, cuaca yang cerah di awal
bertukar menjadi hujan tiba-tiba
basah meja oleh banjir perasaan yang melimpah.

di luar dan dalam kamar mendung mengepung
hujan belum menampakkan rasa jemu
untuk berhenti dengan tiba-tiba.

seluruh alam menanti cerah.


sahrunizam abdul talib
bera, pahang
24-12-11

23 Disember 2011

masa lampau bukan sekadar angka

masa lampau bukan sekadar angka
yang berceracak di halaman kalendar
digayut pada paku-paku karat
di dinding purba.

di balik angka bersembunyi makna
dan rahsa yang perlu dibilang dan
disingkap dengan
teliti dan waspada.

di balik angka menghendap serigala
yang sentiasa bersiaga
untuk menewaskan singkat akal manusia
yang kerap lupa dan terpedaya.

cacat masa lampau bukan untuk diwarisi
tapi untuk dipelajari.

sahrunizam abdul talib
23-12-11
bera

22 Disember 2011

andai riuh itu seketul , diam pula segunung emas

berulang kali kau membuka pekung
yang lama berumah di hatimu.
kau melatah ketika diacah dan
diagah. sesekali apabila disergah
engkau bangkit mempamer gelabah.
kau memang bijak menjungkir balik
kata-kata. kerana kata-kata pernah
membuncitkan poketmu dengan ringgit.

sebutir demi sebutir kauhadiahkan
seteru dengan peluru tanpa mata hati.
tak semena-mena kau menjadi teramat
asyik dengan lensa dan mikrofon.
kau menjadi terlalu ghairah dengan
juadah beracun yang disaji di hadapanmu.

dalam riuh kata-kata, perlahan-lahan
sejarahmu terselak aib. lorong perjuangan
tanpa lumpur dan tanpa duri. tangga yang
pernah kaudaki lurus dan tidak berliku.
tanpa peluh dan tanpa air mata kau tiba
di puncak disambut permaidani merah.

dalam diam kaugantungkan mimpimu di awan
kaubuka pintu dan jendela untuk musuh.
seketika kau hanyut dalam khayalan
yang tiada garis sempadan.
joranmu mulai goyah dan longgar
apabila nafsumu menyambar cacing.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
22-12-11

20 Disember 2011

masa hadapan di genggam mereka

tak perlu melatah atau gundah
emosi adalah ibu segala api
sesekali belajar memahami
lebih bermakna daripada
mengajar memusuhi mereka.

masa hadapan di genggam mereka
dalam setiap tindak ada makna
cahaya tidak hidup tanpa api
api dinyalakan oleh manusia.

belajarlah membaca tindakan
dengan fikiran bukan perasaan.

sahrunizam abdul talib
20-12-11
bera

19 Disember 2011

ke darat luas

di hadapan laluan kian tirus
saatnya mungkin tepat
di kelilingmu laut membiru
ombak bergulung dan selera jerung
bersatu dalam rahsia laut
dan rahsia Tuhan.

pilihan cuma satu
kauharus segera menanggalkan baju
yang kausarung sekian lama
untuk membalut jasadmu.

pilihan hanya satu
bot penyelamat tak mungkin tiba
jaket keselamatan telah lama
kauhumbankan ke laut
yang tinggal padamu
hanyalah semangat dan kudrat.

tanpa ucap selamat jalan
sekarang juga kaumesti terjun
dan berenang menuju darat luas
yang mungkin menjanjikan
bahagia buatmu.

sahrunizam abdul talib
19-12-11
bera

15 Disember 2011

setiap kali melintasi wilayah merah ini

hujan yang mengepung perjalanan
di kiri dan kanan
belakang dan hadapan
tidak pernah membasahkan fikirku.

ini wilayah merah yang parah
rintih suara ditimbus ringgit
yang menjadi sebuah bukit
dan segalanya menjadi beban
untuk dihadam oleh sejarah.

terima kasih juga kepada hujan
yang membunuh debu-debu merah
yang sentiasa berkeliaran
dan hinggap pada ibu segala
sombong.

sahrunizam abdul talib
15-11-11
bera

05 Disember 2011

dalam alpa sesaat

dalam alpa sesaat
hidup semakin singkat
dan detiknya kian dekat
menunggu jemput malaikat.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
051211

03 Disember 2011

seekor haiwan versi transformasi

dunia sedang meluncur laju bak peluru
yang diam bakal tenggelam
manusia sering terlupa
setiap hari mereka melonggokan sejarah
di kaki jutaan manusia yang lain.

kata mereka ini abad transformasi
ya, ini abad yang serba baharu dan ghairah
kita sambut seruan dengan lapang fikiran
sesekali sinis datang, nyahkan sahaja.

meski keliru, kita hadamkan segala cerita
anggaplah itu dongeng beracun fitnah
meski tak terkejar akal, biarkan
biarkan kerana haiwan versi transforamsi
najisnya bukan lagi di kandang
tapi di kondo gebu seperti istana,
kenderaannya bukan lagi lori 3 tan
tapi mercedes model paling baharu
padangnya bukan lagi di pinggir desa
tapi di putrajaya.

biarkan, biarkan jangan sekalipun
kau persoalkan kerana jika sekali bicara
atau kau tulis di muka buku
namamu bakal terpadam daripada
senarai panjang seorang rakan.

dalam abad transformasi segalanya diacu
eloklah sekadar tunduk dan bisu.


sahrunizam abdul talib
bera,
03 disember 2011

02 Disember 2011

bahasanya di hadapan ribuan mata

di hadapan ribuan mata
dia berbahasa lunak
memunggah isu baharu
ke dalam dewan agam
dengan kukunya yang tajam
dia cuba mengambus segala
masa lalu yang kian terbeban
di pundak dan bergayut di tengkuk.

disingsingnya lengan baju yang gundah
diselaknya kaki kain yang resah
segalanya tidak menjadi
ditenungnya ribuan mata
untuk menangguk simpati
sesekali diteran suaranya
untuk dilhat garang
dan tentunya air mata
penawar paling mujarab
untuk mencairkan hati khalayak.

yang keliru bertambah keliru
yang ragu bertambah ragu
bahasanya seperti ular melingkar
lidahnya lembut bak belut
matanya bagai langit kelat.

di hadapan ribuan mata
mikrofon dan rostrum menjerit
meminta jawaban.

sahrunizam abdul talib
bera,pahang
02-12-11

01 Disember 2011

raju, muthu dan lembu

berpuluh tahun tanpa baju dan sepatu
di tangannya sebatang kayu
dia dan lembu-lembu bersatu
tanpa secebis perkataan jemu.

raju hanya pengembala lembu
beratus lembu itu muthu yang punya
ya, muthu saudagar lembu
dari generasi ke generasi.

hasil jualan lembu
muthu membeli bas sekolah
muthu juga membeli bas kilang
muthu juga membuka pusat cuci kereta
darah lembu telah mengalir ke jantungnya.

muthu saudagar lembu
raju hanya sipengembala lembu
demi sesuap nasi untuk meenachi
dan sebelas anak yang sentiasa lapar
dia merelakan matahari menikam kulitnya.

jurang hidup antara muthu dan raju
sejarak awan dan rumput
tetapi mereka disatukan
oleh lembu dan keringat
hijau rumput dan tengik tahi lembu.

mereka tak pernah berharap
pada hujan keruh dari langit
lumpurnya menimbun di depan mata
rahsia mereka hanyalah
jernih semangat dan jerih kudrat.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
01-12-11

24 November 2011

selamat tinggal pulau

di pulau kecil ini teramat letih aku
menghitung kuning daun yang gugur
ketika matahari dan bulan
sentiasa bertukar duduk.

meski tak pernah kuungkap dengan
kata juga aksara
cinta dan kasihku
telah lama larut
di putih pasir pulau.

tanpa perahu dan pendayung
juga tanpa jaket dan pelampung
aku harus berenang meninggalkan
pulau kecil tetapi besar maknanya.

dan tak perlu kaugusar
yang pahit telah kukebumikan di pulau ini
hanya yang manis kan kubawa ke darat.

sahrunizam abdul talib
24-11-11
bera

22 November 2011

aku yang bukan aku

telah lama aku di sini
menjadi aku yang bukan aku
dan tidak juga menjadi kau.

tiada yang asal di sini
kau juga aku, hanyalah penumpang
tiada yang tuan di sini
kita sama singgah demi fitrah insan;
untuk sepinggan nasi.

aku mesti berangkat
kaudiamlah di sini
dan bebas memilih
untuk menjadi batu atau kayu.

sahrunizam abdul talib
221111

19 November 2011

aku perlu berangkat

tiba saatnya aku perlu berangkat
tinggallah para kenangan jauh dan dekat
yang pahit bukannya ubat dan
manis sekadar hasrat.

tinggallah tapak- tapak kaki
dan kata-kata yang menumpang di dinding
tinggalah para sahabat
untuk terus berbisik-bisik sewaktu
minum pagi atau makan tengahari.

aku berangkat bukannya seperti
pulangnya seorang pahlawan
yang memikul mayat sahabat di medan tempur.

tiba saatnya seperti juga kematian
segalanya tidak mampu ditunda walau sedetik
tinggalah anak dan anak-anakku
untuk menjadi lebih berani
menatap bulan dan matahari.

sahrunizam abdul talib
18-11-11

17 November 2011

durimu untukku

seingatku, berkali-kali telah kuhulurkan bunga untukmu
dan telah berkali-kali juga kaubalas dengan duri.

sahrunizam abdul talib
bera
17-11-11

12 November 2011

gelora rasa

dalam dunia sempit
kauterkepung oleh keangkuhan
tanpa kausedar
segalanya hanya sekejap
kerusi yang kaududuk
nafas yang kauhirup
aksara dan angka yang kauidam
dan gelora rasa
hanya sebentar singgah
dan kemudian sirna.

segalanya kini semakin kelam
seperti langkah senja menuju malam
dan kita kian berjarak.

sahrunizam abdul talib
12-11-11

24 Oktober 2011

di negeri cantik

singgah di sini di negeri cantik
hatiku dipaut kagum
dongeng bangsaku pemalas
hapus oleh wisma demi wisma
berceracakan dan tertulis megah
nama bangsaku.

dari jauh telingaku kerap
diperdaya dongeng
betapa negeri cantik
tertinggal jauh di belakang.

tak pernah kulupa pada sebuah negeri
pada sedapnya nasi berlauk
dan enaknya nasi kerabu.

sahrunizam abdul talib
kota bharu
24 oktober 2011

22 Oktober 2011

bertikam dengan bayang-bayang

di negeri yang jauh dari negeriku
ada yang memilih untuk bertikam
dengan bayang- bayang.

ketakutan mulai menggunung
jiwa kecil terus mengecut
seperti belon tercucuk peniti.

meskipun berkali-kali diulang
dalih tetap dalih
hodoh helah tidak bertukar
cantik hujah.

di mana-mana korban tetap ada
selagi keberanian terus bernyawa.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
22 oktober 2011

06 Oktober 2011

dia dan gunting

meski beratus kali dirayu
dia tetap berkeras
dengan gunting di tangan
dia terus mempamerkan
angkuh.

dia tetap percaya
pada tajam gunting
mampu melumatkan musuhnya
biarpun hayatnya sendiri
semakin cair dan mengecil
seperti sebongkah ais
ditujah matahari.

sahrunizam abdul talib
bera
06 10 11

23 September 2011

si penjual tanah dan air

ketika tengkar belumpun reda
dalam diam si penjual itu
mendongak ke langit
mencongak laba
yang bakal bersatu di kantung.

tanpa peduli pada sesiapa
si penjual dengan angkuh
yang bersetinggan di wajahnya
menggamit kembali penakluk
untuk berpesta di sini.

si penjual tanahair
terus berpesta-pestaan
dalam renyai hujan.

sahrunizam abdul talib
23 september 2011

09 September 2011

kita masih lagi bertengkar

di sini kita masih bertengkar
tentang hadapan atau belakang
tentang kiri atau kanan
tentang atas atau bawah.

dalam tengkar ada keliru
tentang pejuang atau petualang
tentang pengkhianat atau penyelamat
tentang pahlawan atau penakut
tentang rotan atau tali barut.

dalam tengkar ada hasrat
dalam tengkar ada matlamat
dalam tengakar ada tersirat.

di tangga yang kelima puluh empat
kita masih teraba-raba
mencari wajah sendiri.


sahrunizam abdul talib
09-09-11
bera

03 September 2011

sepetang di tanjung ibu

duduk-duduk di sini meneman petang
semangkuk cendol dan sepiring rojak
di bawah khemah putih milik sepasang
peniaga india muslim
di sisinya budaya ayam goreng dan pizza
lebih mengheret selera orang muda.

sesekali raung keretapi datang bersama angin
sebuah pekan lusuh dengan deretan kedai
yang berwajah sebelum merdeka
sesekali mataku terpaku pada rumah melayu
yang masih terselit sebuah dua
dengan laman yang mengajak nostalgia.

di sini ibu kandung punya sejarah panjang
rahimnya pernah melahirkan ribuan tokoh
ketika bahasa yang menyuluh budiman
lorong-lorong fikir teraju tanah ini
semakin bersimpang-siur.

sahrunizam abdul talib
tanjung malim
02 september 2011

01 September 2011

terima kasih tuan

semalam,
tanganNya telah memilih tuan
tuan tak perlu gentar
atau gusar.

kami sentiasa menemani tuan
sepanjang denai terakhir ini
meski bukan dengan sekujur jasad
tapi dengan doa.

hidup tuan seperti susu ibu
yang memberikan erti kepada
bayi yang disusuinya.

tiada istilah kompromi
dalam daftar kata bahasamu
tuan pernah memimpin ribuan massa
mencipta sejarah mula untuk
generasi esok.

tuan tak pernah tunduk
kepada manusia berjiwa hamba
tapi bibir berdongeng merdeka.

kami tak suka berjanji
kerana janji ialah haiwan liar
yang sukar diikat
tapi percayalah tuan
kami tak mudah gelabah
pada acah dan jerkah
untuk menggulikan bahasa kami.

sahrunizam abdul talib
1 september 2011




31 Ogos 2011

catatan baharu

humbankan segala keliru
mari kita tulis catatan baharu
dan segera kita pancung jiwa hamba
yang sekian lama hidup
dan beranak-pinak dalam
buku-buku usang di rak-rak purba.

mari kita padamkan nama-nama kelabu
yang sekian lama dijulang menang
dan dinobatkan wira segala wira
lalu dihafal dari bibir ke bibir
anak-anak kita di bangku sekolah.

mari kita tulis catatan baharu
dari hati yang paling jernih
dan kita gali kembali nama-nama
yang sekian lama tertimbus
menjadi korban kepada
sebuah permainan .

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
31 ogos 2011

27 Ogos 2011

sebuah pusara bernama puduraya

lima hari sebelum ulang tahun merdeka
empat hari sebelum idilfitri
dia yang masih dijajah akalnya
menguburkan pudu raya
di tengah hiruk-pikuk kemodenan.

satu lagi nama melayu yang indah
dan kaya sejarah
berkubur oleh tohor akal
seorang manusia melayu
yang berjuang kononnya untuk melayu.

pudu raya telah berubah wajah
aminah juga mesti ditukar kepada amy
jeliah juga mesti ditukar kepada jely
katanya nama melayu tidak moden
nama melayu berimej kampung.

puduraya telah menjadi sebuah pusara
enam hari sebelum ulang tahun merdeka
dan lima hari sebelum idilfitri, hari raya.


sahrunizam abdul talib
27 ogos 2011

17 Ogos 2011

pada suatu sidang akhbar

semalam dalam sut lengkap
dia menjelirkan lidah
di hadapan para wartawan,
jurugambar dan juga pencacai.

dari rakaman foto
jelas sekali lidahnya merah,
bercabang dua
seakan-akan lidah binatang dua alam
yang gemar melahap bangkai.

seluruh kamar berkarpet merah
berhawa dingin
tercemar oleh busuk mulut
seorang pembohong.

seorang demi seorang wartawan
dan jurugambar bingkas beredar
kerana bau busuk yang tak tertahan lagi.

tinggalah pencacai di keliling pinggang
bergayut di bawah dagunya
bagai kembar siam
yang setia berpantun seloka memuji
wangi mulut tuannya.

sahrunizam abdul talib,
bera.
17-ogos-2011



16 Ogos 2011

di negeri yang jauh dari negeriku

di negeri yang jauh dari negeriku
seekor demi seekor sesumpah muncul
dengan warna yang beraneka
sesekali merengek, sesekali meraung
sesekali mencarut dan sesekali melolong.

binatang licik itu sentiasa berkeliaran
muncul dengan wajah tanpa dosa
bagai wajah bayi yang baru keluar
dari perut ibu.

kerana kehadirannya yang jarang diperhati
maka sesumpah pun bersumpahlah
lensa dihalakan ke wajahnya
dan berkali-kali sesumpah itu
bertukar kulit di tengah riuh khalayk.

sahrunizam abdul talib
bera
160811

14 Ogos 2011

akalmu membeku di kepala lutut

rupanya berani hanya berpencak
di bibir merahmu
akalmu membeku di kepala lutut
di pentas ucap kaulah ayam sabung
yang tiada tolok banding.

meskipun kau sering terlupa
sejarah tak pernah tidur
untuk beraksi di buku catatan
esok apabila kau tiada
namamu akan ditulis dengan arang.

sahrunizam abdul talib
14 ogos 11

04 Ogos 2011

kau masih di penjuru itu, menghafal kata-kata lusuh

katamu kau punya pegangan
ke kiri hanyalah licik kuasa
ke kanan juga hanyalah licik kuasa
sekejap kautoleh ke kiri dan kanan
kau gelengkan pada keduanya
kau akhirnya memilih titik tengah`
ketika dunia sekeliling
sudah berputar ligat
kau masih di penjuru itu
menghafal kata-kata lusuh
dengan akal yang tergari.

(Akhirnya seribu universiti
belum tentu dapat memerdekakan
akal kontotmu itu)

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
4 Ogos 2011

tidurlah sepuasnya

tidurlah sepuasnya
kerana mulut dan perutmu
telah sendat diisi
lupakan pada segala peristiwa
yang telah merengek di belakangmu
dan bakal mengaum di hadapanmu.

lupakan pada angkasa di negerimu
yang bakal bergentayangan racun
lupakan pada sungai di negerimu
yang bakal lemas oleh sisa toksik
lupakan pada generasi hari depanmu
yang bakal sompek dan sumbing.

tidurlah sepuasnya
sambil bibirmu menghafal kata-kata lusuh
tentang keamanan yang wajib dijaga
dan kebebasan yang mesti dipelihara.

sahrunizam abdul talib
bera
4 Ogos 2011

14 Julai 2011

pesan buat yang bernama intelektual

jika itu yang kaupercaya
siapalah aku untuk memintasnya
berbekalkan gaya intelektual
kau kerap bersembunyi di belakang tubuh
ahli falsafah tersohor dunia
baris-baris aksaramu tampak hebat
tapi sayang hanya di permukaan.

bukankah falsafah itu juga
bicaranya kebenaran dan kemanusiaan
tapi sayang deria baumu hanya mampu
mengesan busuknya sampah
yang disebarkan angin
sedangkan gunung sampah di hadapan mata
kaupejamkan dengan berjuta alasan.

walau siapapun dirimu
engkau perlu memancangkan sikap
ketakutan tidak pernah melahirkan kecerdikan
sejarah pasti mengutukmu nanti
jika kau memilih untuk terus begini
aku percaya anak-anakmu nanti akan
bingung membaca catatan yang kautinggalkan.

sahrunizam bin abdul talib
bera,
14 julai 2011

di tangan kita

kita boleh sahaja memilih
untuk memekakkan telinga
dan menutup mata
mengabaikan aneka peristiwa
yang berputar di luar rumah.

pilihan di tangan kita
hidup tidak akan kembali
untuk ke dua kali
di tengah tidak bermakna
selamat selamanya.

hidup bukan hanya
untuk perut dan mulut
di luar sana menuntut
mesin fikir sentiasa ligat
mengesan jawapan yang bersembunyi.

sahrunizam abdul talib
bera
14 julai 2011

10 Julai 2011

09 Julai 2011

aku menjadi terlalu malu

antara kiri dan kanan
dia tidak lagi memilih
zon selesa di tengah.

setelah berabad di lembar
masanya telah tiba
dia beraksi di dunia sebenar.

waktu hanya terdaya
memamah wajahnya
tapi terlupa meratah jiwanya.

aku menjadi terlalu malu
kerana muda generasiku
cuma mampu mengintai di balik langsir.

esok dia kembali ke lembar
menulis sejarah hari ini
dengan hati yang lebih tajam.


sahrunizam abdul talib
9 julai 2011

25 Jun 2011

antara dua mulut

pagi itu di meja sarapan
kausumbat telinga kami dengan
gumpalan kata.

aku hanya tunduk dan diam
kerana diam yang emas
lebih baik daripada
berbicara yang perak.

diamku mengalir
pagi merayap perlahan
sunyi mengambil tempat.

antara dua mulut
kaupinta kami berpuasa
hujahmu sunat dan tentunya
pahala.

sedang di sana
tangan berkudismu tak henti
menyuapkan lazat makanan
ke mulut para penjilat
yang satu khemah dan fikiran
meskipun kau tahu
tentang hitam dan putih.

sahrunizam abdul talib
bera

23 Jun 2011

sedang membaca

catatan dari penjara perempuan, sebuah memoir tulisan nawal el saadawi, dr. sebuah buku terjemahan daripada buku asalnya memoirs from the women's prison terbitan yayasan obor indonesia.

buku yang menarik; teladan dan sempadan berada di celah-celah lembarnya. saya hanya mengutip dan sesekali mengunyahnya.

22 Jun 2011

cerita di pinggir pasu

pagi membukakan tingkapnya
hidungku segera ditusuk harum
santalia.

di pinggir pasu
kuning daun menjadi dalil
segalanya hanyalah kesementaraan.

dari tingkap yang ternganga
bagai mulut paus mengidam mangsa
pandangku berlari-lari anak.

di luar sana dongeng merayap
menjadi seekor tedung
bisa patuknya menuju ke jantung.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
22 jun 2011

21 Jun 2011

tak pernah aku cemburu

tak pernah aku cemburu
kerana takwa tidak disukat
berdasarkan kerap kau.

meski seratus kali
kaucium dan kaukucup
batu hitam itu
namun sayang
hatimu tak pernah
putih.

sahrunizam abdul talib
21 jun 2011

di padang woodball

di sini petangnya hijau
oleh rumput yang berceracak.

di laman ini
kita tidak beradu kebolehan
dengan sesiapa.

pertarungan hanya berlangsung
dalam diri.

yang menang dan yang tewas
hanyalah kita.

selebihnya sabar kita kerap
digulingkan oleh nafsu.

sahrunizam abdul talib
21 jun 2011

irdina

akhirnya gerabak kehidupan
menumpangkan engkau ke stesen
yang keempat.

di stesen ini kau tak perlu
turun.

hanya panjangkan lehermu
hulurkan ke luar jendela
dan kau lihatlah ke belakang
pada landasan yang telah
ditinggalkan.

di hadapan kaulihatlah
perjalananmu masih panjang
sebentar lagi engkau bakal
tiba di stesen berikutnya.

sahrunizam abdul talib
21 julai 2011

kaupilih

di tong-tong sampah itu
kau hidup dan membiak
di antara joget ulat
dan busuk yang tajam
kau selesa di sana
membidik ksempatan
dengan mata ghairah.

biar diseru berulang kali
kau gelengkan kepala
antara dua pilihan
kaupilih kekotoran.

sahrunizam abdul talib
21 jun 2011

15 Jun 2011

terima kasih Tuhan

terima kasih Tuhan
kerana masih memberikan
aku kesempatan
untuk menghirup rahmatMu.

aku tidak pasti
kembara ini mampu bertahan
sampai bila?

segalanya dalam genggamMu.

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
15 jun 2011

12 Jun 2011

maafkan aku sahabat

akhirnya kau kembali jua ke sana
tanpa sedetik cepat dan sesaat lewat
sms wan pada malam yang sepi
bukan sekadar mengejut lena
tapi ibarat pesanan malaikat maut
jarak antara aku dengan saat itu
semakin dekat.

yang tinggal kini hanyalah masa silam
hampir satu jam kenangan itu berguling
pada malam yang benar-benar sepi
lantai rumah pena menjadi saksi
saat kita gelandangan memburu aksara
di mirama dan di acara baca puisi
kita kerap bertemu di satu titik
titik yang mendekatkan kita
di kotamu kita saling bersatu fikiran
bersilang hujah tentang sastera dan siasah.

maafkan aku sahabat
waktu dan jarak sering dihukum
untuk menghalalkan kekerdilan diri
moga engkau damai di sana
sesungguhnya hidup ini ibarat
sebuah memoir yang berjudul
dari tanah mula ke tanah akhir.

sahrunizam abdul talib,
bera, pahang
12 jun 2011

03 Jun 2011

mengenal manikam

kalian harus bijak
mengenal manikam
sesumpah ada di mana-mana
bercokol di kopiah
bersembunyi di jubah.

02 Jun 2011

mari dan mari

mari kita bariskan bunga manggar
dan palukan kompang
menyambut racun yang bakal
menyerbu ke rumah kita
sebentar lagi.

mari kita ucapkan terima kasih
kepada tuan-tuan yang budiman
dan puan-puan yang bijakawan
kerana berhemah dalam keputusan
dan bijaksana dalam tindakan.

sahrunizam abdul talib
02 Jun 2011

31 Mei 2011

hikayat pulau sejengkal

dengan wajah yang cemas
dia segera bingkas dari peraduan
meninggalkan kamar bersalut emas
seraya berkata
"ayuh teruna perkasa dan dara jelita
mari kita pertahankan pulau sejengkal
daripada serangan todak menggila
dengan betis-betis kalian"

maka berbondong-bondonglah
teruna dan dara dari segenap ceruk
membawa betis masing-masing
dengan hati yang gundah-gulana.

maka hikayat ini akan bersambung lagi
tapi entah bila.


sahrunizam abdul talib
31 mei 2011
bera

30 Mei 2011

hanya catatan

gerak bibir dan rentak hatimu
nyata terlalu jauh berbeza
sejauh bumi dengan matahari.

kau putarkan kata
menjadi arahan
kau keraskan kata
menjadi hukuman.

meski berkali-kali kucuba
memujuk rasa
ternyata tindakmu memadamkan
segalanya.

28 Mei 2011

gelap itu seni

bukankah gelap itu indah
gelap itu seni
ya, cerah sudah klise
sudah basi
marilah kita padamkan lampu
jika lampu sudah dipasang,
jangan pasang lampu
jika lampu belum dipasang.

kata orang, ya kata orang
biarkan gula naik harga
supaya orang malaysia
tak hirup gula
nanti kencing menjadi manis.

ya kata orang, kata orang
selepas ini tarif elektrik naik
bagus untuk alam
kata mereka nanti
marikan kita padamkan lampu
demi kasih dan cinta kita
pada bumi.

wahai penyair
mari kita menulis sajak
di dalam gelap
kerana sajak itu indah
gelap itu seni.


28 mei 2011

lembu kurus lawan lembu gemuk

di sana sekawan lembu gemuk
sedang melahap rumput
di padang ragut.

leher lembu-lembu itu
bergayut tali seperti
laku manusia bertali leher.

telinga lembu-lembu itu
bertindik lambang perhambaan
yang diwarisi zaman berzaman.

mulut lembu-lembu itu
sentiasa mengunyah makanan
yang disumbat oleh tuan'nya'.

di luar padang ragut
banyak lembu-lembu kurus
sentiasa kebuluran.

lembu-lembu kurus itu
sentiasa diperah susunya
yang cair dan hampir kering.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
28-05-11

26 Mei 2011

di hadapanku selonggok sampah

matahari tegak di ubun
peluh beraja di tubuhku
di hadapanku selonggok sampah
dengan pemetik api
yang baharu kubeli
di kedai marhaen(kedai RM2)
kucuba membakar sampah-sampah
yang berlonggokan.

hehe
segala sia-sia
sampah-sampah di hadapanku
mengilai bagai pontianak
memperbodoh tindakku.

matahari tegak di kepala
di hatiku penuh bara
sekali lagi kucuba
pemetik api di tangan
arrggh namun segalanya sia-sia.

sampah ini teramat kebal
barangkali di tubuhnya mengarus
darah pendekar seperti
tersirat dalam buku hikayat
tubuhnya tidak dimakan api.

selonggok sampah tersenyum
di sisinya terbaring nazak
pemetik api yang baharu
kuhempaskan di atas aspal.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
26 mei 2011

dunia sejuta kacau

sesekali ingin kulupakan segala
dunia menjadi semakin kacau
kita menjadi kian keliru
oleh simpang peristiwa
sesekali jauh terlajak
sesekali tersesat.

semakin banyak yang kuhadamkan
dari huruf-huruf yang bertaburan
kepalaku semakin berat dibebani
persoalan dan jawaban pun terbang
entah ke mana.

kuselongkar kembali buku-buku sajak
kukunyah muka demi muka
dan perlahan-lahan kutinggalkan
dunia kacau
dan di redup petang ingin aku
dihalaman menggunting-gunting
pohon bonsai yang lama gersang kasih.

ketika yang kucari jawaban
nyatanya semakin banyak persoalan
berlonggok di fikir.


sahrunizam abdul talib
bera, pahang
26 Mei 2011

23 Mei 2011

3 rangkap sajak

sekali rasaku kau rompak
sejuta kali jiwaku berontak.

maafkan aku kerana memilih berani
dan menghumbankan penakut di kali.

kau tak perlu memahami
kerana kau yang mengajar aku jadi besi.

sahrunizam abdul talib

22 Mei 2011

tanah runtuh dan mulut menteri

16 orang terbunuh(kebanyakannya kanak-kanak dan remaja) dalam tragedi tanah runtuh ,di sebuah rumah anak-anak yatim di Hulu Langat, Selangor, semalam. Insiden tanah runtuh ini bukanlah yang pertama terjadi di Selangor. Ingatan kita tentunya tidak pernah melupakan kejadian yang berlaku di Higlands Tower dan Hulu Klang tidak berapa lama dahulu.

Setiap kali berlakunya tragedi tanah runtuh maka setaip kali itu jugalah kita akan menyaksikan episod salah-menyalah dan tuduh-menuduh dalam kalangan pemimpin dan orang politik. Budaya menudingkan telunjuk kepada muka orang(terutama sekali pihak yang tidak sehaluan) sememangnya cukup popular di negara kita.

Dalam reaksi cemasnya, seorang menteri dengan cukup pantas menyatakan rumah anak yatim ini tidak berdaftar dengan kementeriannya. Sikap melatah menteri ini seharusnya tidak perlu bagi menjaga perasaan keluarga mangsa yang masih dalam kesedihan. Sikap tergesa-gesa untuk melepas batang tengkuk masing-masing bukanlah satu tindakan yang bijak dan patut dihormati.

Kenyataan sebegitu jika sekalipun mahu dikeluarkan, seharusnya mengambil sedikit masa. Usahlah sedap-sedap mulut bagi menambahkan lagi luka keluarga mangsa. Sepatutnya dalam menghadapi situasi sebegini, kementerian yang diterajui menteri tersebut seharusnya menghulurkan tangan membantu meringankan beban perasaan keluarga waris bukannya menjirus air garam pada luka, yang pedihnya hanya Tuhan yang tahu.

Orang yang bijak ialah orang yang berfikir sebelum bercakap.Saya kira menteri ini bukan tergolong dalam kelas tersebut.

21 Mei 2011

duduk di bangku pemerhati

JIKA diberi pilihan, saya pasti mengelak untuk menghadiri majlis-majlis yang bersifat rasmi. Namun kadangkala atas nama tugas dan tanggungjawab, saya terpaksa juga mengheret kaki dan hati walaupun dengan perasaan yang amat berat.

Yang paling saya tidak suka ialah majlis-majlis yang turut mengundang orang-orang penting, berjenama serta bertaraf 'super vvip'. Pelbagai protokol, peraturan yang mengada-negada dan sengaja dibuat-buat menambahkan rasa lemas saya untuk terus berlama-lama di majlis yang sebegitu. Pelbagai peraturan yang sengaja ditambah dan direka-reka seperti penetapan meja mengikut kasta dan darjat, peraturan berpakaian, berdiri tegak bagai patung sewaktu menyambut kehadiran tetamu agung benar-benar mendera perasaan saya. Entah mengapa hati saya mudah memberontak sewaktu berhadapan dengan situasi yang sebegitu.

Sewaktu berada di majlis yang seperti ini, saya gemar membaca watak-watak manusia pelbagai kerenah dan lagak. Pada majlis-majlis seperti ini terdapat banyak sekali tukang sibuk yang sama ada benar-benar sibuk atau sememangnya mempunyai tabiat suka menyibuk. Watak-awatak sebegini akan sentiasa muncul dari satu majlis ke majlis yang lain.

Watak-watak seperti ini akan ligat ke hulu dan ke hilir bagai gasing gila. Mereka akan berada di atas pentas dan di hadapan dewan dengan gaya yang amat meyakinkan. Sesekali mereka dilihat berkepit dengan telefon bimbit bagi mempamerkan darjah kesibukan mereka. Watak ini gemar menonjolklan diri bagi meyakinkan orang betapa merekalah yang paling sibuk dan kuat berkerja. Sebenarnya perwatakan manusia seperti ini sesuai sekali menjadi orang politik.

19 Mei 2011

budaya feudal dalam minda orang melayu

SAYA selalu kasihan melihat gelagat orang Melayu yang pada zahirnya punya kedudukan yang tinggi tetapi masih tidak mampu menanggalkan jiwa hamba dalam minda mereka. Hal ini dapat di lihat di mana-mana sahaja dan sentiasa berulang-ulang dari masa ke semasa.

Setiap kali ada majlis-majlis yang bakal dihadiri oleh mereka yang punya pangkat dan kedudukan, maka golongan yang berjiwa hamba ini akan bertungkus lumus menyusun pasu-pasu bunga, mengganti alas meja, meletakkan bunga plastik bersaiz gergasi di meja makan, membalut kerusi dengan kain dan entah apa lagi yang tak pernah terfikir oleh akal manusia yang sihat. Hal-hal yang remeh ini lebih dibesar-besarkan berbanding pengisian majlis.

Semua itu diada-adakan kerana berpunca daripada jiwa hamba yang melekat dalam akal mereka yang sebenarnya bertujuan tidak lain untuk mengampu dan membodek.

17 Mei 2011

bapa yang baik

SEORANG bapa yang baik tidak akan membezakan kasih sayang di antara sesama anak-anaknya. Seorang bapa yang baik akan bersikap adil dalam semua perkara. Ketidakadilan seorang bapa akan membuatkan anak-anak yang merasakan diri mereka tidak dilayan dengan adil akan berasa kecil hati.

Kecil hati anak tersebut mungkin tidak akan berhenti di dalam hatinya secara begitu sahaja. Anak-anak boleh menterjemahkan rasa kecil hati dengan pelbagai cara dan kaedah.

Sememangnya kasih sayang tidak boleh dinilai dalam bentuk material atau kebendaan. Tetapi dalam dunia material hari ini, material juga telah dipercayai oleh banyak orang sebagai satu bentuk kasih sayang.

Kata orang-orang tua "Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai". Kata-kata ini seharusnya dihadam dengan cermat oleh sang bapa. Sebelum terlewat masa masih ada untuk bapa berfikir kembali. Mengundur ke belakang bukan bererti kalah atau penakut.

Ingatlah, kebahagiaan sesebuah keluarga bukan terletak pada seorang dua anak, tetapi hasil kerjasama, persefahaman, kasih sayang dan kesedaran semua anak.

16 Mei 2011

amarah itu api

darjatmu tidak tercalar
jika kau belajar menjadi air.

sesekali hembuslah api itu
yang sedikit nyala
tapi banyak bara
di dalam dada.

nyala itu mustahak
tetapi sayang
yang nyata di mataku
hanya bara.

hembuslah api itu
kerana api itu amarah.

sahrunizam abdul talib
160511

15 Mei 2011

seekor gajah putih bernama perpustakaan awam

DI hadapan rumah saya tersergam agam sebuah perpustakaan daerah. Jika mahu dibandingkan dengan perpustakaan awam di daerah yang lain, perpustakaan ini merupakan antara perpustakaan yang agak besar daripada sudut fiziknya.

Perpustakaan ini dibuka dari hari Isnin hingga hari Jumaat. Sabtu dan Ahad perpustakaan ini ditutup dengan rasminya. Waktu perpustakaan ini dibuka mungkin tidak dihiraukan oleh banyak orang. Tetapi bagi mereka yang berhasrat untuk berkunjung ke perpustakaan, waktu ini kemungkinan tidak sesuai. Seperti yang kita maklum, hari Isnin sampai Ahad merupakan hari kebanyakan orang di negara ini berkerja dan bersekolah. Waktu bekerja di Malaysia biasanya antara jam 8.00 pagi -5.00 petang. Dan, pada masa itu jugalah waktu perpustakaan ini dibuka. Jangka waktu tersebut juga merupakan waktu sebahagian besar anak-anak kita berada di sekolah.

Pada pandangan saya, apalah salahnya jika pihak pengurusan perpustakaan berfikir dari sisi yang sedikit berbeza. Dalam hal ini saya memuji langkah bijak Perpustakaan Awam di negeri Johor. Hari perpustakaan ditutup pada hari Isnin. Hari-hari yang lain perpustakaan dibuka. Saya katakan ini langkah yang bijak kerana banyak orang yang mempunyai masa terluang pada hari Sabtu dan Ahad. Pada hari inilah waktu yang sesuai bagi ibu bapa yang bekerja dan anak yang bersekolah pada hari-hari lain bagi bersama-sama berkunjung ke perpustakaan. Dengan cara ini maka tercapailah hasrat untuk mengalakkan rakyat Malaysia mencintai buku dan seterusnya mencintai perpustakaan.

14 Mei 2011

antara selamat datang, "ahlan wah sahlan" dan "welcome"

LUKA di mata darahnya di hati. Bayangkan dengan bangganya perkataan "Welcome" dan "Ahlan Wah Sahlan" digayut dengan saiz gergasi di pintu masuk, menyeringai setiap kali para tetamu masuk dan bertandang ke dalam ruang yang agam dan serba baharu.Aneh seribu kali aneh, perkataan "Selamat Datang" langsung tidak ada dalam kamus para perencana papan tanda gergasi tersebut.

Ini adalah sejenis penyakit akal kontot yang dimiliki oleh sebahagian besar orang Melayu. Biarpun badan lepas bebas, namun akal dan fikir mereka masih lagi terkurung dalam sangkar golongan kolonial. Mereka daripada golongan ini akan merasakan darjat mereka akan diangkat setinggi langit apabila dapat menulis sesuatu dalam bahasa Inggeris terutamanya di mana-mana papan tanda yang bergayutan. Menulis dalam bahasa Melayu mungkin dianggap kolot, kekampungan(walaupun kebanyakan mereka berasal dari kampung), dan akan diketawakan.

Penyakit akal kontot ini sebenarnya yang menjangkiti kebanyakan manusia Melayu pada hari ini. Semuanya berasa martabat mereka akan naik mencanak apabila muncul dalam televisyen dengan bicara dalam bahasa Inggeris.

Hal ini tentu sekali berbeza dengan pemimpin China yang pernah datang ke negara ini tidak berapa lama dahulu. Ketika pemimpin negara kita berucap dalam bahasa Inggeris, pemimpin China itu dengan penuh keyakinan berucap dalam bahasa Cina. Satu persoalan yang timbul apakah dengan berucap dalam bahasa Cina pemimpin tersebut tiba-tiba menjadi bodoh dan kelihatan tidak cerdik? Tidak ada pula mana-mana media yang melaporkan sdemikian rasanya.

Satu hal yang pasti, penyakit akal kontot ini mesti diperangi habis-habisan jika sekiranya kita mahu menjadi lebih cerdik dan dikenang sejarah sebagai orang yang cerdik.

11 Mei 2011

cerita saya dan buku

BULAN lepas dua kali saya berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PDDP. Jadi stok buku-buku yang belum dibaca masih banyak. Saya menemui gerai yang menjual buku-buku terbitan Pustaka Antara di tingkat bawah sewaktu kunjungan kali kedua. Antara buku-buku yang dibeli di sini ialah empat buah novel Arenawati. Kesemua novel tersebut semakin payah untuk didapati lagi sekarang. Kali pertama saya tidak berjumpa dengan gerai ini.Maklumlah kali pertama saya berkunjung pada hari Sabtu. Pengunjung terlalu ramai. Berjalanpun susah, apa lagi mahu bersantai-santai memilih den mengulit buku.

Sebenarnya tidak semua buku yang saya beli habis dibaca. Ini memang satu tabiat pembacaan yang buruk. Tabiat pembacaan saya sebenarnya bergantung kepada buku yang saya baca. Kalau isinya menarik, kena pula dengan selera pembacaan, buku berkenaan pasti dibaca hingga habis. Tempoh pembacaan untuk buku sebegini biasanya tidak melebihi satu minggu. Ada juga buku yang dibaca, kemudian ditinggalkan dan akhirnya habis dibaca. Buku kategori kedua ini kurang menarik jika mahu dibandingkan dengan buku yang pertama tadi. Sementara buku ketiga ialah buku yang hanya dibaca sekerat jalan dan langsung ditinggalkan. Biasanya buku-buku dalam kategori ini pastinya ada terselit penanda buku di tengah-tengah lembarannya, sekaligus menandakan buku tersebut tidak berjaya dikhatamkan.

Demikianlah sesebuah buku itu mempunyai daya tarikan sewaktu pembelian dan daya tarikan sewaktu pembacaan. Seringkali terjadi terhadap saya, daya tarikan sewaktu membeli tidak seiring dengan daya tarikan sewaktu membaca. Akhirnya banyak juga buku yang masih terselit pelbagai penanda buku di tengahnya. Walau bagaimanapun, buku tersebut mungkin tidak menarik pada hari ini, tetapi pada masa hadapan siapa tahu? Pada ketika itu, buku tersebut akan memaksa pembaca(mungkin termasuk saya) untuk kembali menyambung proses pembacaan yang lama terhenti.

08 Mei 2011

di tengah peristiwa

yang tiba di stesen ini
sebuah demi sebuah
gerabak tanda tanya
sedang kita kian letih
menanti ketibaan jawapan.

masih terkenang dabik di dada
sopan santun hias peribadi
budi bahasa pakaian diri
kini segalanya menjadi halimunan.

di tengah peristiwa
segalanya menakutkan
bukannya kerana seramnya hantu
tetapi kerana liciknya penipu.

8 mei 2011

07 Mei 2011

antara obama dengan osama: di tengahnya kita

dengan bangganya obama mengumumkan kejayaan misi perisik dan pembunuh upahan amerika syarikat(as) membunuh osama yang katanya bersembunyi di pakistan. rupanya osama bukan sahaja ditakuti semasa jantungnya masih berdegup. jenazah osama juga sentiasa menghantui obama dan as. hinggakan jenazahnya tidak diizinkan dikebumikan seperti jenazah kaum muslim yang lain. dikhabarkan jenazah osama telah disemadikan di laut. tindakan yang mendapat kecaman keras daripada ulama-ulama terkemuka di seluruh dunia.

kini obama boleh tersenyum puas. seorang penyangak dunia menurut sifir dan congak as telah berjaya dihapuskan. namun, jika obama belajar sejarah peperangan moden, osama langsung tidak tersenarai dalam carta bapak perang moden. nama osama sah tidak ada. tolehlah ke arah mana-mana konflik dunia. baik di iraq, di afghanista juga di palestin. kesemuanya ada tangan-tangan berlumur darah milik presiden as.

tetapi aneh sekali apabila telinga disumbatkan kata-kata yang meloncat dari bibir para pengampu as. antara kata-kata milik pengampu ialah dunia akan aman pada era pasca osama. kata-kata yang senaif ini sebenarnya adalah cermin kepada darjah intelek yang dipunyai oleh pengampu tersebut.

06 Mei 2011

woodball dan penipu

Di mana-mana memang berkeliaran ramai penipu. Manusia penipu ini akan muncul dengan pelbagai watak dan penampilan. Jadi jangan terkejut. Ada penipu yang muncul dengan blazer dan tali leher. Ada pula penipu yang memakai kot dan menaiki kereta mewah. Mereka ini biasanya menduduki kerusi-kerusi empuk, berpusing di bilik-bilik yang berhawa dingin. Bilik mereka sangat selesa, luas dan biasanya tidak dikongsi dengan orang lain. Mereka ini biasanya layak dan berhak menandatangani surat-surat penting.


Ini kisah penipu. Pada suatu ketika yang tidak berapa lama dan tidak juga terlalu baharu, seorang penipu dan juak-juaknya telah menandatangani surat memanggil anak-anak dari seluruh negeri bagi diadukan kemahiran dalam satu pertandingan. Maka berduyun-duyunlah anak-anak yang tidak mengerti apa-apa dari seluruh negeri menyertai peraduan tersebut. Telah ditakdirkan Tuhan di penghujung peraduan, anak-anak dari daerah kerdil dan diramalkan tidak mempunyai apa-apa peluang telah menewaskan anak-anak mereka yang kebanyakannya berstatus dunia, daerah nusantara dan kawasan-kawasan yang sama waktu dengannya. Empat tempat teratas dibolot oleh anak-anak dari daerah kecil, terpencil lagi kerdil.


Akibat terkejut dengan kemenangan yang tidak disangka-sangka itu, maka sekali peraduan dianjurkan. Sekali lagi anak-anak dari daerah kerdil menduduki empat daripada lima tempat terbaik. Maka melelehlah air liur anak-anak johan dunia sebaik sahaja berhadapan dengan realiti tersebut.

Dengan pantas mereka bertindak. Penyangak yang bertali leher, kerap dilihat memakai blazer dan menduduki tempat tertinggi dalam sebuah organisasi yang menjaga hal ehwal kecergasan mula bertindak seperti orang meroyan. Maka, anak-anak yang berada di kedudukan satu sampai empat dikuis dan dihumabankan jauh. Dengan alasan untuk menjaga hati lawan di peringkat nasional nanti, maka anak-anak yang berkedudukan di tempat kelima hingga kesembilan telah dipilih. Inilah alasan yang jika beruk di hutan mendengarnya, mereka akan terperanjat dan segera bertukar menjadi ungka.

Semenjak hari itu dan selepas peristiwa ini, saya akan menjadi lebih hati-hati dengan manusia yang bertali leher dan berblazer hitam. Saya hampir-hampir hilang kepercayaan kepada spiesis yang terjerut integriti dan maruah diri dengan tali leher yang beraneka corak dan warna.

04 Mei 2011

pesta buku dan artis

PADA tahun ini, saya dua kali berkesempatan menjejakkan kaki ke Pesta Buku Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PDDP)Kuala Lumpur. Sesekali pelik juga sebuah bangunan milik Melayu kononnya lebih dikenali sebagai PWTC berbanding PDDP. Hal ini tentu sekali tidak menghairankan. Barangkali inilah di antara hal yang dibicarakan oleh Raja Ahmad Aminullah dalam buku tarbaharunya "Minda Tertawan". Nada yang seakan-akan sama juga turut dibicarakan oleh Azizi Abdullah dalam bukunya berjudul "Jiwa Hamba". Orang Melayu khususnya seakan-akan masih berbangga dengan semua perkara warisan penjajah sehinggakan untuk menjual tanah di ceruk paya pun mereka akan menaikkan papan iklan "Land for sale". Tabik. Rupanya beruk yang menghuni belukar di Malaysia pun sekarang sudah pandai berbahasa Inggeris.

Berbalik ke PDDP dalam kunjungan kedua saya pada hari Rabu minggu lepas. Sementara menunggu jarum jam di tangan menunjukkan pukul 2.30 petang, saya membawa diri dan kaki duduk di ruang legar PDDP. Kalau tidak silap saya di aras bawah. Empat orang pejuang bahasa berada di atas pentas. Dua orang saya kenal tetapi dua lagi saya tidak tahu namanya. Seorang panel merupakan seorang profesor Matematik yang terkenal dengan kekentalan semangat bahasanya sementara seorang lagi tokoh PIBG peringkat nasional yang kerap mukanya keluar masuk televisyen dan akhbar bertindak sebagai moderator. Bukan namanya pejuang bahasa jika bicara mereka selain daripada bahasa. Ketika saya datang, sudah masuk 'round' 2. Sekadar meminjam istilah moderator glamour tersebut.

Selepas usai sesi bersama tokoh-tokoh bahasa berkenaan, tibalah giliran seorang pelawak terkenal menaiki pentas dan tanpa berlengah lagi memperkenalkan dan menjemput empat orang rakan artisnya naik ke pentas. Seorang pelakon drama, seorang pelawak veteran, seorang pengarah katanya dan seorang lagi artis wanita, masih muda dan ketika berada di atas pentas tidak henti-henti jari jemarinya membelai rambutnya yang berwarna bulu jagung.

Tema bicara artis-artis berkenaan ialah seputar dunia buku dan artis. Saya menanti dengan penuh debar buah fikir dari artis berkenaan. Namun sehingga saya mengangkat kaki meninggalkan acara tersebut saya benar-benar kecewa. Rupa-rupanya terlalu jauh pengetahuan artis kita jika mahu dibandingkan dengan artis seberang Indonesia misalnya. Entah apa percakapan merapu mereka. Antaranya dialognya "Saya bukanlah peminat buku". Dan hampir kesemuanya memulakan dengan " Saya tak tau apa yang saya nak cakapkan".

Ya. saya bersetuju dengan hujah teman saya di sebelah. Atis berkenaan tidak bersalah. Yang salahnya ialah pihak yang menjemput artis berkenaan.

03 Mei 2011

kisah benar di balik pentas

SAYA amat menyedari, dalam apa jua pertandingan sekalipun, matlamat utama setiap pihak yang bertanding ialah untuk mengenggam kemenangan. Maka, bagi mencapai hasrat tersebut pelbagai kaedah, strategi bahkan tipu muslihat akan dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak mempunyai maruah dan harga diri. Baik secara halus dan bersembunyi atau secara terang-terangan hingga menjolok mata dan rasa.

Namun, kadang kala keterencatan itu juga mungkin berpunca daripada pihak penganjur sendiri yang tidak ikhlas, sambil lewa biarpun di bibir mereka perkataan intergriti sentiasa basah dan berdengung di telinga.

Dengan alasan untuk mengurangkan kos dan memudahkan urusan, maka hanya yang arif dari daerah-daerah tertentu sahaja diambil. Biarpun pertandingan dipecahkan kepada dua bidang iaitu bidang A dan bidang B, namun oleh kerana bebal dan sombong, maka hanya yang arif dari bidang B sahaja dipacakkan di kerusi tuan yang arif lagi bijaksana. Selain itu apa yang lebih lucu lagi peraturan yang mereka taip, peraturan itu jugalah yang mereka letakkan di bawah sepatu hitam berkilat mereka.

Apa yang lebih malang lagi, kebebalan ini akan muncul lagi pada tahun-tahun yang mendatang dan watak bebal sombong ini juga akan muncul lagi dengan lagak jaguh kampung dusun. Dan, pada setiap tahun juga upacara yang serba memualkan ini akan berulang dan berulang.

01 Mei 2011

buat hakim botak berbaju merah dan kawan-kawan

kau duduk di kerusi itu
kaki kananmu belum pasti
tapi kaki kirimu di neraka.

pagi itu kau tersepit
kau tidak lagi di tengah
antara manis kenangan
dan harap keadilan
kau tunduk oleh rayuan
dan kerlingan teman.

malam itu
tanpa pakaian
kau menjejaki pentas
memperaga keaiban diri.

30 mei 2011

23 April 2011

datang ke pesta buku-pesta buku datang lagi

HARI ini hajat tertunda. Esok, Insyallah, saya akan ke PDDP(versi Melayu) untuk PWTC. Aneh bukan. Pusat Dagangan Melayu tapi singkatannya dalam bahasa Inggeris. Inilah kelebihan alias keanehan sebuah negara bernama Malaysia. Beberapa kategori dan tajuk buku sudah lama bermain dalam kepala. Saya berjanji untuk memilih yang benar-benar terbaik sahaja untuk disumbat dalam beg sandang.

18 Mac 2011

langit kelat di timur

pagi ini
langit berwajah kelat
angin menggeliat
racun berguling
tanpa arah.

di dada manusia
ada ombak
sesekali menghempas.

di suatu sudut
masih ada dongengan
dan mimpi
untuk membina kedegilan.

sahrunizam abdul talib
bera
18-Mac-2011

16 Mac 2011

dalam getir perjalanan

itu jalan sengaja kaupilih
kau yang meminta-minta
dan tak siapa yang memaksa
untuk kauberdiri memikul beban.

kau bukan kepala sejati
menyalahkan ekor
ketika bertemu jalan mati
dalam getir perjalanan
sebuah perjuangan.

rungut atau sindir
bukannya jawaban
kaumesti terus berdiri
dengan kaki sendiri
bukannya asyik
merintih pancang.

usah mendabik jasa
dengan angkuh di dada
perjuangan menuntut jalan
bukannya alasan.


sahrunizam abdul talib
bera, pahang
16 Mac 2011

10 Mac 2011

kau bukan Tuhan

petang itu kau bukan lagi kau
kau api yang menyala
luruh segala bijaksana
dari sejemput akal
yang dipinjamkan ke kepalamu
semuanya terjun ke lutut.

dalam gigil amarah
bibirmu melahap segala kata
kau baling kesabaran
dengan pincang tingkah
dan lancang helah.

kau bukan Tuhan
untuk menghisab dosa pahala
kau bukan mufti
untuk mengukir fatwa.


sahrunizam abdul talib
10 mac 2011

09 Mac 2011

setelah kau rampas petang kami

seperti seekor ibu badang
kaumuntahkan segala yang busuk
yang sekian lama bergumpal di perutmu
di hadapan kami.

petang untuk muafakat
bertukar hangat
di bibirmu menyala api
di hatimu berceracak duri.

setelah kau rampas petang kami
kau tukul kepala di antara kami
dengan biadap kata-kata.

sahrunizam abdul talib
090311
bera

06 Mac 2011

akalmu di tapak sepatu mahalmu

rupanya curigaku pada gelar
yang berderet di pangkal nama
manusia sepertimu
selalu benar.

akalmu yang diagungkan selalu
bagai permata di puncak menara
nyata hanya seperti kerikil
terbuang di jalanan.

kata-kata yang terjun dari bibirmu
hanyalah sampah-sarap
yang tidak boleh dikitar semula
apa lagi untuk dimanfaatkan.

kau cendekia palsu
bagai bunga plastik tanpa bau
terpacak di taman ilmu.

lehermu dibelit tali penjajah
menyekat bebas nafas
otakmu beku dan berkarat
dalam dingin alat penghawa.

sahrunizam abdul talib
06 mac 2011

05 Mac 2011

buat seorang lelaki berkuasa tapi berjiwa hamba

tak pernah kuhirau
pada empuk kerusi yang kaududuk
atau corak jenama pada sehelai kain
yang sentiasa membelit lehermu itu.

kau boleh menulis pelbagai gelar
di pangkal namamu dengan segala
puja dan sanjung
itu pun tak kupeduli.

yang pasti kaumasih terjajah
lidahmu yang berkarat
dan otakkmu yang kau sangka berkilat
rupanya masih lidah dan otak hamba
meski tangan dan kakimu terlepas
akalmu masih di penjara kolonial.

kau persendakan anak bangsamu
dengan sinis dan kutukan
kau rendahkan akar budayamu
dengan keji dan hinaan
kauletakkan bahasa ibumu
di bawah tapak kasut mahalmu
dengan hasut angkuh yang menyerbu dada
kauagungkan lidah penjajah
dan kaukelar leher ibumu.


kaumiliki segalanya
tapi yang tak kaupunya
akal seorang melayu merdeka.


sahrunizam abdul talib
05-03-11

25 Februari 2011

ya tuan, api di sana

kau lihatlah dengan akal
ya tuan, api di sana
lidahnya menjilat
pucuknya menuju langit
dan asapnya
menikam mata.

sesekali belajar
bahasa api
lebih bererti
sebelum kau
ditunjukkan jalan mati.

benar tuan
api itu merayap
dan sebentar lagi
mungkin tiba di kakimu.


usah kau sumpah api
kerana amarah api
tak pernah peduli
pada titahmu
yang kian tawar!


sahrunizam abdul talib
bera
25-02-11

20 Februari 2011

israel di belakangku

bagai rumpun lalang
dan rimbun dedalu
di belakangku
israel menghijau subur
menjalarkan angkuhnya
seperti kangkung subur
di tepi longkang.

telah lama kupadamkan namanya
di buku catatan
dan kuhitamkan wajahnya
di lembar ingatan.

dengan senyum manis
dia meninggalkan jejaknya.
di mana-mana.

sahrunizam abdul talib
20 feb 2011

03 Januari 2011

CATATAN TIGA JANUARI

a) DI ruang udara burung-burung hantu itu bertaburan. Najisnya tersangkut di mana-mana. Sebelum senja sekelompok tuan burung hantu itu berlonggok sesama sendiri di satu penjuru. Mereka hanya mendongak sambil menghitung laba di dalam hati.

b) Hari pertama musim baharu sarat dengan iltizam dan harapan. Semalam adalah pra permulaan yang suram. Segalanya pahit untuk ditelan.

02 Januari 2011

DI NEGERI PAPAN TANDA

YA Tuhan ! 2 daripada 4 buah lampu tidak mempunyai tiub. 2 buah lampu yang punya tiub tidak mengeluarkan cahaya meskipun penat jari menekan suis. Sebuah kipas di bahagian tengah hanya tinggal rangka. Bilah-bilah kipas satupun tiada. Dua buah kipas di kiri dan kanan kamar hanya tinggal kesan yang ianya pernah dipatahkan pada suatu ketika dahulu.

Udara berlegar-legar dan mati di dalam kamar. Peluh meluru keluar dari liang roma bagai hujan lebat pada musim tengkujuh. Aku mencari-cari di mana titik pada segala asal kejadian. Sekelip mata, jiran di sebelah mendirikan tembok.

Barangkali ini bukan satu dosa kerana kita teramat selesa dalam belai penghawa dingin dan usap kipas siling yang ligat. Pedulikan pada mereka. Jangan beri muka dan terlalu manjakan mereka. Mereka perlu dididik tahan lasak. Mereka sangat bertuah berbanding kanak-kanak Palestin. Biarkan mereka bermandi peluh. Biarkan mereka meraba-raba mencari sebuku sabun untuk mandi atau buku nota Sejarah untuk mengulangkaji. Kerana mereka bukan zuriat kita. Biarkan . Biarkan mereka bukan zuriat kita. Itu bukan masalah besar. Mari kita tarik selimut untuk tidur lena pada malam ini.

Di negeri Papan Tanda mereka ditempikkan akan makna syukur. Rahsianya mudah .Untuk menjadi orang berjaya kau tak perlu menggeleng.

01 Januari 2011

DILARANG BERUJIKAJI

MAKA berjoget segala tikus dan makin tinggilah lompat para katak sebaik sahaja mendengarkan amaran daripada Ketua Saintis Nombor Satu Negara agar seluruh warga wilayah kecil molek itu tidak melakukan sebarang ujikaji.