10 Januari 2016

BAUKSIT

HARI ini belajar sedikit tentang bauksit daripada akhbar. Rupanya bauksit ini merupakan bahan mentah untuk dijadikan aluminium. Seingat , saya mulai mengenal perkataan bauksit sewaktu belajar geografi di sekolah menengah. Selebihnya saya memang tahu bauksit merupakan sejenis galian.

Hari ini bauksit merupakan antara perkataan yang paling popular di negara kita. Jangan silap eja sudahlah. Bauksit dan biskut dua perkara yang berbeza sejauh langit dan bumi. Hari ini bauksit sejenis galian yang terpendam di dasar bumi semenjak berjuta-juta tahun menjadi popular.

Bauksit benar-benar menggemparkan negara. Pahang Darul Makmur telah berubah menjadi Pahang Darul Merah. Angkara bauksit, satu sudut di wilayah Kuantan, ibu negeri Pahang dilanda wabak merah. Merah hinggap di mana-mana. Merah adalah debu kesan daripada penggalian bauksit.

Banyak pihak yang berasa simpati. Biarpun, berat mata memandang, berat lagi derita warga Kuantan yang diserang petaka debu.Sungai merah. Laut merah. Bumbung dan warung merah. Pokok hijau bertukar merah. Hati sedia merah bertambah merah. Akhirnya merah bertukar marah.

Marah diterjemahkan dalam pelbagai bentuk.Beberapa buah lori bauksit khabarnya dibakar rentung.
Namun di sebalik ramai yang sengsara, terdapat juga khabarnya mereka yang bertukar status menjadi jutawan segera. Tanpa berfikir panjang, hijau ladang sawit sekelip mata bertukar merah bauksit.

10:01:16

Tiada ulasan: