23 Ogos 2013

sajak lapan hari sebelum tiga puluh satu ogos

lapan hari sebelum tiga puluh satu ogos
sebelum kek dibelah lima puluh enam
dan lilin ditiup berkali-kali
izinkan hamba berkongsi resah sebuah bukit
benarkan hamba berkongsi gelisah sebuah tanah tinggi
di sebuah negeri yang sentiasa subur di hati hamba.

maafkan hamba kerana terpaksa memilih
untuk berkayuh ke hulu menyongsang alir air
telah lama darah hamba mendidih
frazer petualang dijulang pejuang
sebuah bukit berkabus dihadiahkan kepadanya
dan cameron penjenayah mata penjenayah
dihadiahkan sebuah tanah tinggi.

kitakah yang teramat pemurah atau
sejarahkah yang dipikulkan beban?

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
23 ogos 2013

Tiada ulasan: