27 Jun 2012

sajak kepada malaysiaku

engkaukah malaysiaku
yang masih meringkuk di ranjang itu
ketika setiap penjuru alam
sedang meraikan kehadiran
sinar matahari?

tiba-tiba sahaja
mata-mata yang liar
jinak di wajahmu malaysiaku
sambil mencari kata-kata
yang sering diperkosa asli
dan tulusnya.

engkaukah malaysiaku
yang masih duduk di sudut ranjang
terpinga-pinga dalam serpih mimpi?

aku tak ingin memaksa
tetapi tiada salahnya
sesekali bukalah jendela yang
telah lama tertutup
dan kau tataplah wajah dunia
yang sudah berubah sepuasnya.

sahrunizam abdul talib
bera
27 jun 2012

16 Jun 2012

puisi di sudut tirus

ucap dan doa yang kuterima semalam
tiba-tiba menjadi ketakutan yang panjang
bagai mimpi ngeri membelah malam.

aku yang sering alpa telah diseret
semakin jauh dan waktu untukku telah
terkepung di sudut yang kian tirus.

daun-daun kuning yang gugur
ranting rapuh dan bunga-bunga layu
dan suram wajah senja
menyerbu ke sudut itu dengan diam
tapi tergesa-gesa.

di sudut tirus ini
fikir merayap perlahan seperti
siput di celah-celah pasu.

sahrunizam abdul talib
bera
16 jun 2012

08 Jun 2012

cerita di petak kecil

di petak kecil ini
aku terus membaca dan mengembara
di antara baris aksara
mataku kerap bertembung
aneka watak dan tindak.

segala yang bernama rahsia
telah berderai bagai tembikai
terhempas di aspal.

di petak kecil ini
ruang manusia menampal bangga
pada sebuah papan hidup
yang sentiasa berkata-kata.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang
080612