30 November 2010

begitu kata mereka

kata mereka
kami tak peduli
pada gempita huruf
tentang balah beza
untuk lekatkan tuan
di dahi siapa.

kata mereka
itu cuma dongeng
hampas dan sifar makna
tak mungkin mengubah
apa-apa.

kata mereka
siapapun tuan
mereka tetap begini
mengunyah janji
tanpa gigi.


sahrunizam abdul talib
bera, Pahang
30- November-2010

29 November 2010

emel buat tok lah

selama mana
mahu kausembunyikan
busuk dengki dalam lilit
serbanmu?

dalam labuh jubahmu
kau simpan racun
untuk dituang
ke dalam gelas
saudaramu sendiri.

kaulah patung bernyawa
yang memilih hidup
untuk menjadi kuda
tunggangan
atau lembu yang
ditindik hidung
atau babi belaan
yang gemuk di kandang.

sahrunizam abdul talib
bera.
29 November 2010

10 November 2010

bermain politik di dalam selut

permainan ini selalunya aneh
mereka bermain tanpa batas masa
dan sempadan ruang.

mereka pintar mengolah helah
dengan akal sejemput
dan nafsu melaut
mereka membiak
bagai ulat
di tengah
kudis derita insan lain.

segalanya peluang
meskipun sedikit ruang
sekali tangan menghulur
bibirnya berombak takbur.

di dalam selut
segalanya teratur menurut plot.


sahrunizam abdul talib,
bera, Pahang
10-11-10