13 Disember 2010

seorang negarawan ulung

seorang negarawan ulung
bicara politik
selepas potong riben
tanda rasmi
sebuah kedai roti
lima bintang
di lembah elit.

seorang negarawan ulung
bicara politik
di mana sahaja
di kedai kopi
di kedai roti
hatta di kamar kecil.

seorang negarawan ulung
bicaranya politik
dari tegang subuh
ke kedut malam.

13-12-10
Bera.

07 Disember 2010

akhirnya dinasti tikus putih

seekor tupai putih
akhirnya jatuh jua
ke tanah.

tika punya taring tajam
dihumban jujur nasihat
ramai yang merapat
dengan niat
dan muslihat.

dari dahan ke dahan
dia melompat
dan mengelak
mengelak lagi
dan melompat lagi.

hari ini
seekor tupai putih
gugur ke tanah
di sisinya daun kering
melontar senyum
sinis.

sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
07-12-2010

04 Disember 2010

lunak bicara

demi memutihkan tindak
diolahnya bahasa lunak
katanya ini bukan kenaikan harga
tapi cuma turunnya subsidi
dengan penuh diplomasi
dibancuh manipulasi
dengan kelok ekonomi terkini
dibandingnya jiran kanan dan kiri
katanya kita masih
yang paling rendah antara
yang paing tinggi.


rakyat jauh di desa
membayar harga setia dengan
angguk kosong di depan tivi..


sahrunizam abdul talib
bera, pahang.
04-12-10