29 November 2010

emel buat tok lah

selama mana
mahu kausembunyikan
busuk dengki dalam lilit
serbanmu?

dalam labuh jubahmu
kau simpan racun
untuk dituang
ke dalam gelas
saudaramu sendiri.

kaulah patung bernyawa
yang memilih hidup
untuk menjadi kuda
tunggangan
atau lembu yang
ditindik hidung
atau babi belaan
yang gemuk di kandang.

sahrunizam abdul talib
bera.
29 November 2010

10 November 2010

bermain politik di dalam selut

permainan ini selalunya aneh
mereka bermain tanpa batas masa
dan sempadan ruang.

mereka pintar mengolah helah
dengan akal sejemput
dan nafsu melaut
mereka membiak
bagai ulat
di tengah
kudis derita insan lain.

segalanya peluang
meskipun sedikit ruang
sekali tangan menghulur
bibirnya berombak takbur.

di dalam selut
segalanya teratur menurut plot.


sahrunizam abdul talib,
bera, Pahang
10-11-10

04 November 2010

mataku masih di sini

dalam baris-baris aksara
aku tenggelam
di sebuah dunia asing
yang jauh berbeza
dengan negeriku.

di dunia itu
kulihat raksasa
kepalanya dua
dan lidahnya dua
tapi kepalanya
bercantum
dan nafsunya melekat
bagai kembar siam.

di dunia asing itu
raksasa mengganas
dan kembali menggans.

mataku masih
di sini.

sahrunizam abdul talib
bera,pahang
04-11-10